Saturday, September 26, 2009

Piala Malaysia: Selangor idam trofi keempat


SELANGOR berpeluang mencipta sejarah menjadi pasukan pertama merangkul empat gelaran semusim apabila menerima undian mudah dalam saingan Piala Malaysia yang bermula hari ini.

Selepas menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super, Selangor diramal mudah untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan D bersama KM Naza, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.

Pasukan bimbingan K Devan itu dilihat mempunyai barisan yang serba lengkap di setiap posisi dan konsisten sepanjang musim ini.

Skuad Merah Kuning sudah menjulang Piala Malaysia (serta Piala Malaya) sebanyak 32 kali dengan kali terakhir melakukannya pada 2005 selepas menewaskan Perlis 3-0 tetapi kempunan trofi berprestij itu kepada Kedah 3-2, tahun lalu.

Kumpulan yang dianggap sedikit sukar ialah dari Kumpulan B, apabila empat pasukan negeri termasuk pasukan pilihan, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak mengisi slot tersebut.

Kumpulan C pula dianggap terbuka dengan mana-mana pasukan mempunyai peluang seimbang untuk ke suku akhir, Johor FC mengetuai kumpulan diikuti Perak, UPB-MyTeam dan Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur yang dibimbing oleh Razip Ismail, sudah pasti mahu membuktikan bahawa saingan Piala Malaysia kali ini perlu dianggap serius buat mereka.

Menjuarai Piala Malaysia secara hatrik iaitu pada 1987, 1988 dan 1989 boleh dianggap terlalu lama dan penyokong pasukan Skuad Ibukota itu.

Kumpulan E menyaksikan Kedah dan Kelantan akan bertemu sesama sendiri, manakala Pulau Pinang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengisi dua lagi slot untuk kumpulan tersebut.

Saingan sengit juga bakal berlaku dalam Kumpulan E, apabila Kedah dan Kelantan diundi bersama, kedua-dua pasukan yang banyak membariskan pemain anak tempatan sentiasa mendapat sokongan padu dari penyokong setia mereka.

Kelantan sudah pasti akan cuba memadam kesedihan selepas gagal menjuarai Piala FA tahun ini setelah tewas di tangan Selangor dalam saingan akhir.

Kedah pula walaupun terumbang-ambing pada awal saingan, mereka berjaya bangkit selepas itu dengan sentuhan beberapa pemain kebangsaan termasuk Khyril Muhymeen Abd. Zambri dan Baddrol Bakhtiar.

Juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir dan diiringi tiga pasukan yang menduduki tangga kedua terbaik dari lima kumpulan tersebut.

Saingan suku akhir pertama di jangka akan bermula pada 20 Oktober ini, diikuti dengan suku akhir kedua empat hari kemudian

Perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung pada 7 November bertempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Jadual Piala Malaysia


Keputusan Piala Malaysia

No comments: