Saturday, September 26, 2009

EPL: Liverpool, Tottenham menang besar


EMPAT gol jaringan Robbie Keane membantu Tottenham Hotspurs mencatat kemenangan besar dengan membelasah pendatang baru, Burnley 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di White Hart Lane malam ini.

Keane memula tirai jaringan selepas mudah menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-18 sebelum menambah tiga lagi gol di babak kedua perlawanan pada minit ke-74, 77 dan 87.

Satu lagi gol tuan rumah dijaringkan oleh Jermain Jenas pada minit ke-33. Kemenangan ini membolehkan Spurs memanjat dua tangga untuk menghuni kedudukan keempat dalam carta liga di belakang Liverpool yang turut menang besar malam ini.

Di ANFIELD, penyerang sensasi Sepanyol, Fernando Torres melakukan hatrik untuk membantu Liverpool membelasah Hull City 6-1.

Jaringan pertama Torres hadir pada minit ke-12 sebelum Geovanni mengikat kedudukan 1-1 untuk Hull.

Bagaimana pun Torres memastikan Liverpool terus di depan 13 minit kemudian dan keputusan 2-1 kekal hingga berakhir babak pertama.


Hanya dua minit selepas babak kedua bersambung Torres melengkapkan jaringan hatriknya bagi mengukuh kedudukan tuan rumah sebelum ketua pasukan The Reds, Steven Gerrard menjadikan kedudukan berubah menjadi 4-1 pada minit ke-61.

Ryan Babel melengkapkan malam gemilang tuan rumah dengan menjaringkan dua gol pada dua minit terakhir perlawanan untuk keputusan penuh 6-1 memihak kepada skuad bimbingan Rafael Benitez.

Juara bertahan, Manchester United pula berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Stoke City 2-0 hasil jaringan Dimitar Berbatov pada minit ke-62 dan John O'shea minit ke-77.

Sebaliknya pendahulu liga, Chelsea mengalami kekalahan pertamanya musim ini selepas tewas 1-3 di Wigan. Malang berganda buat The Blues apabila penjaga golnya, Petr Cech dilayang kad merah pada perlawanan berkenaan.

Sementara itu dalam perlawanan lebih awal, Louis Saha terus menambah keperitan buat Portsmouth bagi kekalahan ketujuh berturut-turut apabila penyerang Perancis itu melakukan penyudah cantik membolehkan Everton menang tipis 1-0 di Stadium Fratton Park.

Jaringan ketujuh Saha musim ini dalam semua kejohanan terjadi melalui kesilapan Younes Kaboul yang terus menyemarakkan permulaan suram Portsmouth musim ini.

Keputusan Perlawanan EPL

No comments: