Saturday, March 14, 2009

Liverpool atau United?

Pertembungan dua kelab gergasi England

KEJAYAAN menewaskan kelab besar seperti Real Madrid nyata memberikan momentum tambahan buat Liverpool untuk menjinakkan United di Old Trafford malam ini.

Malam ini, kelab dari Anfield itu bertandang ke Old Trafford dengan reputasi tinggi selepas membelasah Real 4-0 dalam saingan Liga Juara Eropah, Rabu lepas, seterusnya layak ke suku akhir dengan agregat 5-0.

Mereka akan berhadapan Manchester United, iaitu aksi yang ditunggu-tunggu oleh penyokong kedua-dua pasukan tersebut, apatah lagi ia bakal memberi kesan kepada pemburuan gelaran EPL buat kedua-dua pasukan.

Walaupun masih segar dengan kemenangan bergaya ke atas Real tetapi kehadiran mereka di Old Trafford membawa reputasi selaku pasukan yang menduduki tempat ketiga Liga Perdana England dan ketinggalan tujuh mata di belakang United.

Mereka sedar tugas sukar menanti mereka di Old Trafford tetapi Liverpool mengakui mereka sudah bersedia menghadapi aksi terhebat itu.

Mereka yakin memperoleh sesuatu daripada perlawanan itu sekiranya tampil dengan prestasi hebat seperti yang dipamerkan pada aksi menentang Real, Rabu lalu.

Mereka sedar bahawa Old Trafford adalah 'gelanggang maut' kepada pasukan pelawat tetapi mereka tidak gentar menghadapinya.

Berdasarkan prestasi ketika membelasah Real, Liverpool mampu menghadirkan masalah kepada United.

Pada aksi Liga Juara-Juara itu, semua posisi berfungsi dengan baik seolah-olah membawa petanda bahawa Liverpool memang sukar digugat.

United sebenarnya sudah sedar daripada awal kemampuan Liverpool.

Mereka juga tidak gentar kerana skuad bimbingan Alex Ferguson itu juga memiliki kemampuan yang agak luar biasa lebih-lebih lagi dengan kerakusan Wayne Rooney dan Criatiano Ronaldo yang semakin berbisa kebelakangan ini.

"Kami sudah membuktikan kepada semua bahawa United sukar dicantas.

"Pada awal saingan kami beraksi di bawah tahap sebenar tetapi sekarang keadaan sudah berubah dan sesiapa sahaja akan menjadi mangsa kami," kata Ferguson menjelang aksi genting itu.

No comments: