Friday, March 20, 2009

Piala UEFA: City mara, juara bertahan tersingkir


MANCHESTER City nyaris tersingkir daripada saingan Piala UEFA apabila mensia-siakan kelebihan dua jaringan ke atas wakil Denmark, Aalborg BK yang berjaya menjaringkan dua gol pada penghujung perlawanan timbal balik kedua untuk mengikat aggregat 2-2.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti apabila kedudukan terus terikat sehingga berakhir tambahan masa 30 minit.

Penjaga gol, Shay Given muncul penyelamat maruah Manchester City apabila berjaya menepis dua tendangan penalti Aalborg pada perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.

Given mempamerkan kecemerlangan dengan menyelamatkan tendangan Thomas Augustinussen dan bekas penyerang Sheffield United, Luton Shelton.

Semua tendangan penalti City mudah disepak masuk menerusi Ched Evans, Elano, Shaun Wright-Phillips dan Richard Dunne untuk memastikan City muncul wakil tunggal England yang masih bersaing ke pusingan suku akhir.

Dalam pada itu penyandang juara, Zenit St Petersburg tersingkir daripada kejohanan sekali pun menang 1-0 ke atas wakil Itali, Udinese di Moscow.

Zenit tewas 2-1 secara aggregat selepas Udinese menang 2-0 pada perlawanan pertama di Itali minggu lalu.

Enam lagi pasukan yang mara ke suku akhir ialah Werder Bremen dan Hamburg SV (Jerman), Paris St Germain dan Marseille (Perancis) serta Dynamo Kiev dan Shakhtar Donetsk (Ukraine).

No comments: