Monday, March 23, 2009

Barcelona, Real Madrid menang selesa


DUA kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid terus menghangatkan persaingan merebut kejuaraan Liga Primera Sepanyol apabila kedua-duanya menang bergaya ke atas lawan masing-masing dalam aksi yang berlangsung awal pagi tadi.

Pendahulu liga, Barcelona bagaimanapun lebih mencuri tumpuan apabila membelasah pasukan pertengahan liga, Malaga 6-0 di Stadium Nou Camp.

Xavi Hernandez memulakan pesta gol Barcelona pada minit ke-19 manakala penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi menggandakan jaringan tuan rumah enam minit kemudian sebelum bekas bintang Arsenal, Thiery Henry mengambil giliran menghukum benteng Malaga pada minit ke-32 seterusnya Samuel Eto'o muncul penjaring terakhir sebelum perlawanan berhenti rehat.

Sebaik bersambung babak kedua, skuad tuan rumah hanya mengambil masa enam minit untuk merobek kerapuhan benteng pasukan pelawat apabila Daniel Alves mudah menanduk hantaran tinggi daripada Andres Iniesta.

Eto'o kemudiannya menambah gol peribadi keduanya pada perlawanan berkenaan dan jaringan keenam Barca untuk terus mengukuhkan kedudukan kelab itu di persada Liga Primera.

Sementara itu dalam perlawanan lebih awal, Real Madrid masih belum mengaku kalah untuk memintas skuad Catalan itu apabila menang 3-0 ke atas pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Almeria.

Penyerang Belanda, Klaas Jan Huntelaar terus mempamer bisanya dengan mencetak dua gol pada minit ke-53 dan 66, manakala gol pertama diperoleh menerusi jaringan Marcelo pada minit ke-23.

Keputusan perlawanan itu masih mengekalkan kedudukan Real di tangga kedua dengan 63 mata, kurang enam mata di belakang Barcelona.

Dalam pada itu, kedudukan Sevilla di tangga ketiga terus kukuh selepas kejayaan membenam Valladolid 4-1 hasil jaringan hatrik bintang Mali, Frederic Kanoute.

Pasukan yang masih bersaing di Liga Juara Eropah, Villareal pula kekal enam mata di belakang Sevilla selepas menang 2-0 ke atas Athletic Bilbao.

1 comment:

LAMPARD said...

Anyway jom ler join n meriahkan lagi blog kelab chelsea aku ni di http://kampungchelsea.blogspot.com , ok thanks n bye