Monday, March 23, 2009

Wenger congak strategi daki puncak


KETIKA pemain-pemain Arsenal sedang sibuk memanaskan badan menjelang aksi menentang Newcastle di St James Park kelmarin, pengurusnya, Arsene Wenger sempat mengerling ke skrin televisyen yang menunjukkan Manchester United dan Chelsea tewas mengejut kepada lawan masing-masing.

Ketika itu Wenger mula merencana strategi agar pasukan mudanya mampu melakukan sesuatu yang akan membantu mereka merapatkan kedudukan dengan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Selepas itu, Arsenal berjaya mencatatkan kemenangan yang meletakkan Chelsea dan Liverpool berada dalam keadaan tergugat dan Wenger tidak menolak kemungkinan bakal memberi cabaran kepada kelab pendahulu dari Old Trafford.

Kini Wenger percaya masanya sudah tiba buat Arsenal untuk merampas takhta selepas menang 3-1 ke atas Newcastle yang sekarang sedang bergelut di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.

“Ia satu bilion dalam satu, saya melihat keputusan yang lain dan merasakan ia satu peluang terbaik kepada kami untuk mengambil peluang serta merapatkan kedudukan di persada liga. Sekarang kami mahu memberi cabaran dan menamatkan saingan liga dekat dengan pasukan yang berada di tangga teratas.

“Kami mempunyai pasukan yang begitu muda dan mereka semakin meningkat dari masa ke semasa. Semangat mereka sangat menakjubkan dan kami menunjukkan kualiti yang dimiliki.

“Mereka tidak sedar betapa mudanya kami. Kami mempunyai enam atau tujuh pemain bawah 20 dan 22 tahun, kami rasa mampu terus meningkat dalam permainan seterusnya,” katanya.

Walaupun mereka gagal untuk memecah kedudukan tiga tempat teratas, Arsenal mempunyai prospek cerah untuk menamatkan persaingan di tangga keempat di hadapan Aston Villa bagi meraih slot ke Liga Juara Eropah musim depan.

“Ia terletak di tangan kami sekarang. Kami mungkin ketinggalan lapan mata di belakang mereka dua minggu lalu tetapi sekarang ia terpulang kepada cara kami beraksi. Kami tidak perlu fokus seperti mana yang dilakukan Aston Villa,” katanya.

No comments: