Sunday, March 15, 2009

Liverpool aibkan Man United di Old Trafford

Manchester United 1 Liverpool 4

LIVERPOOL mengejutkan peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris susulan kemenangan bergaya ke atas juara bertahan, Manchester United 4-1 malam tadi.

Apatah lagi kemenangan berkenaan dicatat di gelanggang keramat United di Old Trafford, sekali gus menyaksikan pemburuan gelaran EPL kembali terbuka apabila skuad bimbingan Rafael Benitez itu berjaya merapatkan jurang mata kepada empat berbanding perbezaan 10 mata jika The Reds tewas pada perlawanan paling dinanti-nantikan.

Ia adalah minggu yang sangat cemerlang buat Liverpool selepas kejayaan mengaibkan gergasi Sepanyol, Real Madrid 4-0 di Anfield pada saingan Liga Juara Eropah, Rabu lepas.

Kemenangan Liverpool sekurang-kurangnya memberikan sedikit harapan kepada pasukan bimbingan Rafeal Benitez untuk mencabar United yang sebelum ini dilihat tidak mempunyai tanda untuk mencicirkan sebarang mata dalam baki 10 perlawanan terakhir EPL.

Pada awalnya tuan rumah dilihat mampu meneruskan momentum kejayaan untuk melebarkan penguasaan di persada EPL apabila Cristiano Ronaldo memberikan gol awal buat United, namun kesilapan pemain pertahanan, Nemanja Vidic memberikan inspirasi buat The Reds untuk menguasai gelanggang pertarungan selepas itu.


Kecuaian Vidic nyata membawa padah apabila menyumbang kepada gol penyamaan pasukan pelawat menerusi penyerang sensasinya, Fernando Torres yang tenang menewaskan Edvin Van der Sar ketika berhadapan satu lawan satu dengan bekas penjaga gol utama Belanda itu pada minit ke-28.

Jaringan berkenaan nyata menaikkan semangat pemain-pemain Liverpool apabila menambah satu lagi gol menerusi ketua pasukan, Steven Gerrard untuk memperoleh kelebihan satu gol pada separuh masa.

Kubu United terus longlai di babak kedua yang menyaksikan anak buah Benitez menambah dua lagi gol sambil menyaksikan Vidic yang menjadi penyumbang kepada gol pertama, dibuang padang selepas dilayang kad merah pada minit ke-76.

Ia membawa kepada gol ketiga menerusi tendangan percuma Fabio Aurelio seminit selepas itu sebelum pemain gantian, Andrea Dossena melengkapkan kemenangan bergaya Liverpool pada minit akhir perlawanan.

Liverpool kini berjaya memintas Chelsea untuk menghuni tangga kedua liga, dan The Blues boleh merampas kembali kedudukan mereka seandainya berjaya menewaskan Manchester City di Stamford Bridge malam ini.

No comments: