Tuesday, March 17, 2009

'Big Four' kembali kuasai EPL


SAINGAN bola sepak Liga Perdana Inggeris atau EPL kini hanya berbaki sembilan perlawanan untuk ditamatkan (kecuali Manchester United masih berbaki 10 perlawanan).

Sebagaimana tradisinya, empat kelab gergasi atau lebih popular dengan gelaran 'Big Four' kembali menguasai saingan EPL setelah Arsenal tercicir ke tangga kelima lebih sebulan yang lalu.

Pada waktu itu, Aston Villa berjaya memecah dominasi 'Big Four' di mana satu ketika berjaya menghuni tangga ketiga liga mengatasi Chelsea, manakala Arsenal pernah menjunam ke tangga keenam.

Bagaimana pun kekalahan Aston Villa di tempat sendiri kepada Tottenham 1-2 Ahad lepas memaksa kelab bimbingan Martin O'neil itu memberi laluan buat Arsenal berada di tangga keempat setelah skuad The Gunners membenam Blackburn 4-0 pada perlawanan Sabtu lalu.

Sekali pun kedua-dua pasukan mempunyai jumlah mata sama iaitu 52 namun kelebihan jaringan jelas milik Arsenal untuk buruan slot ke Liga Juara Eropah musim depan.

Keputusan paling menarik tentunya kejayaan Liverpool meng'ganyang' juara bertahan, Manchester United 4-1 di Old Trafford manakala Chelsea pula menang tipis 1-0 ke atas Manchester City.

Begitu pun United kekal mendahului carta liga dengan kelebihan empat mata, dan dijangkakan buruan kejuaraan liga bakal berlangsung sengit hingga ke penghujung musim.

No comments: