Friday, March 20, 2009

Liga Juara: Manchester United jumpa Porto


JUARA bertahan, Manchester United diundi menentang kelab Portugal, FC Porto manakala naib juara musim lalu, Chelsea bertemu musuh tradisi yang juga kelab senegara, Liverpool dalam undian suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung di Nyon, Switzerland lewat petang tadi.

Dua lagi perlawanan suku akhir membabitkan pertemuan bekas juara, Barcelona dan Bayern Munich manakala satu lagi wakil England akan ditentang kelab Sepanyol, Villareal.

Menurut laman web rasmi UEFA, perlawanan suku akhir pertama dijadualkan pada 7 dan 8 April (awal pagi 8 dan 9 April waktu di Malaysia) manakala timbal balik kedua berlangsung seminggu berikutnya.

Bagi Undian separuh akhir pula membabitkan antara pemenang bagi perlawanan Manchester/Porto dan Villareal/Arsenal.

Manakala pemenang bagi perlawanan Barcelona/Bayern Munich akan menentang pemenang perlawanan Liverpool/Chelsea bagi satu lagi perlawanan peringkat separuh akhir.

Musim lalu Manchester United berjaya menjulang gelaran Eropah selepas menewaskan Chelsea menerusi penentuan penalti penuh dramatik dalam aksi final yang berlangsung di Moscow.

No comments: