PENGURUS baru Chelsea, Guus Hiddink menyedari bahawa pasukannya tidak boleh gagal mengutip kemenangan ke atas City apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, malam ini.
Apabila Chelsea berhadapan Manchester City dalam perlawanan keempat liga musim ini, pertemuan itu berlangsung dengan spekulasi mengenai prospek City untuk mempamerkan prestasi lebih bertenaga dan memecah masuk ke dalam kelompok empat pasukan utama.
Tidak lama kemudian, City melakukan kejutan apabila membeli Robinho ketika Chelsea hangat memburu bintang Real Madrid itu, sekali gus mengesahkan kelab itu bakal memberi cabaran hebat kepada pesaing mereka.
Namun, pertemuan kedua-dua pasukan pada 13 September 2008 itu menyaksikan Chelsea tiada masalah menewaskan City 3-1 biarpun beraksi di tempat lawan.
Kemenangan tersebut menyaksikan jurang antara kedua-dua pasukan jauh berbeza.
Selepas enam bulan berlalu, kedua- dua pasukan akan bertemu di Stamford Bridge malam ini dengan menyaksikan jurang tersebut masih kekal di mana Chelsea kini berada di tangga kedua liga manakala City sekadar di tangga kelapan.
Sejak kehadiran pengurus baru, Guus Hiddink, Chelsea terus cemerlang dengan rekod lima kemenangan dalam kempen liga domestik.
Dari hari pertama bertugas sebagai pengurus Chelsea, Hiddink menegaskan bahawa sesatunya harapan The Blues untuk mengejar Manchester United ialah memenangi semua baki perlawanan liga dan berharap pendahulu itu menggugurkan mata.
Setakat ini Chelsea menepati sasaran mereka untuk memenangi perlawanan, tapi malang buat Hiddink dan anak buahnya, skuad juara bertahan bimbingan Sir Alex Ferguson itu juga turut cemerlang.
Justeru, Hiddink mengakui bahawa sesatunya harapan untuk mendekatkan diri dengan juara bertahan itu bergantung kepada kemampuan Liverpool menghalang United daripada mengutip mata di Old Trafford, 24 jam sebelum pasukannya bertemu City hari ini.
“Jika Liverpool dapat menghalang mereka, ia akan membuatkan musim ini akan jadi lebih menarik,” katanya. “Tapi United tampak memiliki keazaman tinggi untuk mengekalkan kedudukan mereka.
“Apabila saya bercakap kami mampu memenangi liga, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk melakukannya ketika itu, tapi United tidak melakukan sebarang kesilapan dan begitu juga kami. Sehingga keadaan menjadi mustahil untuk kami mengejar United, kami akan terus berjuang.”
Pengurus City, Mark Hughes pula sering membuat kenyataan gembira mendapat khidmat Robinho tapi dia dipercayai kecewa dengan prestasi pemain itu ketika bermain di gelanggang lawan.
Keutamaan Hughes ketika ini - jika khidmatnya masih diperlukan selepas tamat musim ini - ialah memperkuatkan benteng pasukan dengan Terry berada di tangga teratas senarai pemain yang ingin dibelinya selepas usaha memikat pertahanan England itu gagal sebelum ini.
City juga gagal mendapatkan pemain Valencia, David Villa, minggu ini, tapi kebimbangan utama Hughes sekarang ialah beraksi cemerlang pada baki musim ini ketika kelabnya cuba menamatkan saingan EPL dalam kelompok tujuh pasukan terbaik dan menamatkan kemarau 35 tahun menjulang Piala UEFA.
Tanpa Craig Bellamy, Nigel De Jongh dan Vincent Kompany yang tidak dapat diturunkan di Stamford Bridge, City mungkin menerima satu lagi pengajaran pahit bahawa wang tidak semestinya menjamin kemenangan.
Sunday, March 15, 2009
Chelsea intai peluang kejar United
Artikel BolaCyber at 6:53 PM
Kategori: Chelsea, Liga Perdana Inggeris, Manchester City
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment