Thursday, May 22, 2008

Kesilapan John Terry ranapkan impian Chelsea

MANCHESTER United berjaya mempertahankan rekod sempurna pada perlawanan akhir peringkat Eropah selepas menewaskan Chelsea 6-5 menerusi penentuan penalti dramatik untuk merangkul kejuaraan berganda musim ini.

United yang muncul juara Liga Perdana Inggeris minggu lalu, juga menewaskan Chelsea, memanfaatkan kesilapan ketua pasukan The Blues, John Terry dalam penentuan penalti untuk mengulangi kejayaan merangkul mahkota Liga Juara-Juara Eropah tahun 1999.

sebelum itu United pernah muncul juara kelab Eropah pada tahun 1968. Bermakna kelab itu tidak pernah tewas dalam tiga perlawanan akhirnya.

Ia ternyata malam yang penuh menyedihkan buat John Terry, kedudukan pada penentuan penalti terikat 4-4 sebelum ketua pasukan itu membuat sepakan. Kelebihan mula memihak kepada The Blues apabila tendangan Cristiano Ronaldo berjaya diselamatkan Petr Cech.

Malangnya tendangan Terry tersasar ke sebelah kiri gol United ketika Van der Sar merebahkan badannya ke arah kanan. Kegagalan Terry akhirnya membawa padah apabila dua tendangan pemain United selepas itu gagal diselamatkan Cech.

Tendangan terakhir daripada Anelka pula berjaya diselamatkan Van der Sar untuk memastikan tuah akhirnya milik skuad bimbingan Alex Ferguson.

Perlawanan sebenar 90 minit dan tambahan masa 30 minit kemudian menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan Ronaldo dan Frank Lampard.

Nasib turut tidak menyebelahi Chelsea apabila dua tendangan daripada Drogba dan Lampard hanya singgah di palang gol.

Lebih malang buat Chelsea apabila Drogba pula dilayangkan kad merah kira-kira lima minit sebelum perlawanan masa tambahan tamat.

"Kami mendapat lebih banyak peluang (berbanding United). Kami juga mempunyai kelebihan pada penentuan penalti, (malangnya) sepakan John Terry tersasar. Sungguh kejam, tapi itulah bola sepak," ujar Lampard dengan nada penuh kecewa.

Kekecewaan Chelsea boleh dibayangkan kerana selepas tiga kali terkandas di peringkat separuh akhir, ini kali pertama mereka meloloskan diri ke pelawanan akhir kejohanan Eropah.

Info berkaitan:

Keputusan Liga Juara Eropah

Jadual Liga Juara Eropah

1 comment:

Anonymous said...

menang nasib je la