GERGASI Sepanyol, Real Madrid memastikan gelaran Liga Primera Sepanyol musim ini kekal milik mereka selepas kemenangan dramatik ke atas Osasuna, awal pagi tadi.
Real bagaimanapun terpaksa melalui detik mencemaskan sebaik babak kedua bermula apabila pertahanannya, Fabio Cannavaro diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari Jaroslav Plasil.
Kesempatan itu berjaya dimanfaatkan pasukan tuan rumah yang berjaya mendahului menerusi sepakan penalti Francesco Punal pada minit ke-83.
Bagaimanapun kekurangan seorang pemain tidak melemahkan semangat Real. Empat minit selepas itu Arjen Robben menanduk masuk gol penyamaan sebelum Gonzalo Higuain memastikan kemenangan buat Real dua minit kemudian.
Walaupun perlawanan liga masih belum tamat namun kelebihan 10 mata berbanding pencabar terdekatnya, Villareal menyaksikan Real tidak mampu dicabar lagi oleh pesaingnya itu dengan saingan liga berbaki tiga perlawanan.
Kejayaan itu sangat membanggakan buat jurulatih Real, Bernd Schuster yang baru semusim bersama kelab itu.
"Sentiasa ada masa-masa sulit dan begitu juga di kelab seperti ini. Dari awal, saya percaya pasukan ini mampu mencapai apa yang pernah mereka perolehi," kata Schuster.
Dalam pada itu beribu-ribu peminat Real berhimpun di tengah bandar raya Madrid meraikan kejayaan pasukan mereka merangkul gelaran La Liga ke-31.
Monday, May 5, 2008
Gelaran Liga Primera sah milik Real Madrid
Artikel BolaCyber at 2:04 PM
Kategori: Liga Sepanyol, Real Madrid
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment