Monday, May 5, 2008

Bayern raih kejuaraan berganda

BAYERN Munich menebus kehampaan tersingkir daripada Piala UEFA dengan merangkul gelaran Bundesliga ke-21 dalam sejarah kelab itu.

Keputusan seri tanpa jaringan dengan VfL Wolfsburg bermakna kedudukan Bayern di tangga teratas liga tidak mampu digugat lagi apabila mereka mendahului Werder Bremen dengan kelebihan 10 mata.

Manakala saingan Bundesliga masih berbaki tiga perlawanan.

Selepas mengharungi 31 perlawanan, Bayern mendahului dengan 67 mata diikuti Werder Bremen 57, manakala Schalke 04 di tangga ketiga dengan 55 mata.

Gergasi Jerman itu terlepas peluang merangkul tiga piala musim ini selepas ditendang keluar di peringkat separuh akhir Piala UEFA oleh pasukan kurang ternama, Zenit St Pettersburg, tiga hari lalu.

Bayern diikat 1-1 di Munich, bagaimanapun mereka menerima aib apabila dibelasah 4-0 oleh juara Rusia itu di Moscow.

Pada 21 April lalu, Bayern menundukkan Borussia Dortmund 2-1 untuk merangkul Piala Jerman. Kedua-dua gol Bayern dihasilkan penyerang antarabangsa Itali, Luca Toni.

Kali terakhir Bayern muncul juara liga Jerman ialah dua tahun lepas.

No comments: