DUA kelab terbaik Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Chelsea berpeluang merebut dua trofi utama musim ini selepas kedua-dua pasukan melepasi halangan getir peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, semalam dan awal pagi tadi.
Ketika skuad bimbingan Sir Alex Ferguson berhempas pulas untuk menundukkan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, Chelsea pula terpaksa mengerah segenap tenaga menangkis tentangan sengit juara Eropah lima kali, Liverpool.
Semalam United bernasib baik mendapat gol awal Paul Scholes yang juga jaringan tunggal perlawanan, selepas pasukan lawan lebih banyak menguasai pertarungan tersebut.
Gol berpunca kegagalan Deco menghantar bola dengan baik sebaliknya berjaya disambar Scholes yang tidak menunggu lama untuk melepaskan tendangan kencang dari luar kotak penalti, terus menerjah ke gawang Barca.
Kecekapan Edwin van Der Sar dan gandingan kurang menjadi antara Lionel Messi dan Samuel Eto'o antara faktor kegagalan Barca menyekat kemaraan United sekalipun mereka lebih banyak menguasai perlawanan berkenaan.
Namun apa yang pasti United bakal menghadapi ujian sukar untuk mengulangi sejarah tahun 1999 ketika mereka menjulang satu-satunya trofi Liga Juara-Juara Eropah selepas ia diperkenalkan dengan wajah baru pada musim 1992/93.
Pada musim 2002/03 skuad yang dipimpin jurulatih dari Scotland, Sir Alex Ferguson itu terlepas peluang terbaik menjulang kejuaraan di depan peminat sendiri apabila Old Trafford dipilih sebagai venue perlawanan akhir tahun berkenaan.
Kemaraan mereka terkandas di peringkat suku akhir apabila tewas kepada Real Madrid 6-5 gara-gara jaringan hatrik penyerang Brazil, Ronaldo di Old Trafford.
Seperti juga United, Chelsea turut menerima saingan sengit sebelum menempah tiket ke perlawanan akhir yang dijadualkan di Stadium Luzhniki, Moscow, 21 Mei ini.
Selepas tiga kali kecundang di peringkat separuh akhir dalam tempoh empat musim (dua daripadanya kepada Liverpool), tuah kini menyebelahi mereka susulan kemenangan ke atas Liverpool 3-2 di Stamfor Bridge selepas pertarungan sengit selama 120 minit.
Chelsea mula menghidu peluang untuk beraksi di pentas final apabila memperolehi gol pendahuluan menerusi tonggak penyerangnya, Didier Drogba kira-kira setengah jam selepas perlawanan berlangsung.
Bagaimanapun kedudukan menjadi seimbang pada babak kedua selepas gol penyamaan penyerang sensasi Sepanyol, Fernando Torres pada minit ke-64.
Pertarungan tambah mendebarkan apabila tiada tambahan jaringan dapat dilakukan kedua-dua pasukan selepas itu yang memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Usaha tuan rumah akhirnya berhasil apabila diberikan sepakan penalti selepas Sami Hyypia menjatuhkan Michael Ballack dalam kotak penalti yang disudahkan dengan baik oleh bintang tengah, Frank Lampard.
Kegembiraan peminat Chelsea semakin membara apabila Drogba menjadikan kedudukan 3-1 di hujung babak pertama masa tambahan.
Pelawat yang enggan mengaku kalah akhirnya hanya berupaya menambah satu gol sahaja yang ternyata tidak cukup untuk menyekat kemaraan Chelsea ke perlawanan akhir di Moscow.
Keputusan itu ternyata menggembirakan seluruh kem skuad The Blues, apatah lagi mereka belum pernah mengecapi suasana final Liga Juara-Juara.
Kaptennya Joh Terry mengakui sudah tidak sabar menanti pertarungan aksi final di Moscow nanti.
"(Keputusan) ini sangat menakjubakn. Saya fikir kami memang layak meraihnya setelah beberapa tahun terkandas," ujarnya dengan perasaan penuh kegembiraan.
"Kami menciptakan banyak peluang dan kami berjaya menjadikan peluang untuk menghasilkan gol.
"Bagaimanapun perlawanan agak sukar di penghujungnya," tanbahnya.
Mengenai peluang kelabnya pada perlawanan akhir nanti Terry berkata:
"Saya pikir pertarungan melawan United akan sangat istimewa. Terutamanya membabitkan dua kelab England. Daya fikir semua orang menunggunya, termasuk kami.
"Mereka bermain baik dalam liga. Kami (akhirnya) menyamai (mata dipungut) mereka dan mampu mengalahkan mereka di sini (Stamford Bridge)," ucap bek tengah England itu.
Thursday, May 1, 2008
Permusuhan Chelsea - MU merebak ke Liga Juara
Artikel BolaCyber at 12:54 PM
Kategori: Liga Juara-Juara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment