Friday, May 2, 2008

Piala UEFA: Rangers mara, Bayern Munich tersingkir

DUA kelab pilihan, Bayern Munich dan Glasgow Rangers mengalami nasib berbeza pada saingan separuh akhir Piala UEFA, awal pagi tadi.

Ketika Rangers terpaksa menunggu sehingga penentuan sepakan penalti untuk mara ke perlawanan akhir, gergasi Jerman, Bayern sebaliknya mengalami nasib buruk apabila dibelasah wakil Rusia, Zenit St Petersburg 4-0 sekaligus tersingkir daripada saingan Piala UEFA musim ini.

Zenit ternyata lebih layak untuk beraksi di final selepas mempamerkan aksi kemas dan bertenaga untuk menundukkan pendahulu Bundesliga itu.

Pasukan bimbingan Dick Advokaat itu membuktikan kesungguhan mereka apabila berjaya mendahului lawan lebih berpengelaman itu ketika perlawanan baru berlangsung kurang lima minit.

Zenit menjarakkan kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-38 menerusi Konstantin Zyrianov sebelum menambah dua lagi gol pada babak kedua. Pada perlawanan minggu lalu kedua-dua pasukan terikat 1-1. Ini bermakna Zenit mara dengan kemenangan agregat 5-1.

Pada perlawanan akhir nanti, Zanit akan bersaing dengan Rangers untuk menentukan juara selepas kelab Scotland itu menundukkan Fiorentina 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang jaringan pada kedua-dua perlawanan separuh akhir.

Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Manchester City, 14 Mei ini (Malaysia, 15 Mei).

No comments: