Sunday, April 20, 2008

Manchester United nyaris kecundang

PEREBUTAN mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris terus sengit apabila Manchester United mencicirkan dua mata berharga sewaktu menentang Blackburn di Ewood Park malam tadi.

Penyerang Argentina, Carlos Tevez muncul menyelamatkan air muka United apabila golnya beberapa minit sebelum perlawanan tamat memastikan skuad Alex Ferguson itu membawa pulang satu mata selepas mereka ketinggalan menerusi gol Roque Santa Cruz pada minit ke-21.

Keputusan berkenaan bermakna pertemuan antara Chelsea dan United di Stamford Bridge minggu depan menjanjikan suatu perlawanan yang dinanti-nantikan bagi mengetahui siapa bakal merangkul mahkota liga musim ini.

Ini kerana jika United menang kemungkinan besar kelab itu bakal mengekalkan kejuaraan dimenanginya musim lalu.

Tetapi jika sebaliknya penentuan pasukan mana bakal bergelar juara kemungkinan besar hanya dapat ditentukan pada perlawanan terakhir nanti.

Sementara itu Arsenal mengembalikan sedikit harga diri apabila menundukkan Reading 2-0, dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Walaupun keputusan itu tidak mampu menggugat kedudukan Manchester United dalam perebutan bola sepak Liga Perdana Inggeris, sedikit sebanyak ia mengubati kedukaan berterusan kelab itu selepas tersingkir dalam beberapa kejohanan utama.

Peluang Arsenal untuk menjulang kejuaraan liga sudah pun berakhir selepas kalah 1-2 kepada United, minggu lalu untuk meninggalkan persaingan kini menjadi rebutan antara United dan Chelsea.

Bagaimanapun, pasukan Gunners itu tidak mahu kekecewaan tersebut menjejaskan baki saingan dan malam tadi, mereka tetap mahu menceriakan penyokong di Stadium Emirates sekali pun akan menutup kempen tanpa sebarang gelaran.

Emmanuel Adebayor menjaringkan gol ke-21 dalam liga musim ini dengan meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-30.

Lapan minit kemudian, Gilberto Silva pula melebarkan kedudukan kepada 2-0 menerusi jaringan pertamanya bersama Arsenal musim ini.

Penyerang Belanda, Robin van Persie tidak bernasib baik gagal menjaringkan gol ketiga pada babak kedua apabila sepakan percumanya terkena palang pintu gol.

Ini merupakan kemenangan kedua Arsenal daripada sembilan perlawanan liga, meletakkan pasukan itu empat mata ditinggalkan oleh Chelsea dan enam mata di belakang United.

Selepas mengalami kekalahan mengejut 0-2 kepada Fulham, minggu lalu Reading membuat enam rombakan, semalam termasuk meletakkan pemain sayap Amerika Syarikat, Bobby Convey dalam kesebelasan utama.

Meskipun Reading menggunakan pendekatan mengawal setiap pemain lawan, namun tuan rumah masih mampu mencipta gerakan, dan peluang kedua terbaik adalah tandukan Alex Song yang sedikit tersasar pada minit ke-29.

Adebayor akhirnya membuka jaringan dengan menyambut hantaran silang Kolo Toure sebelum memusingkan badan melepasi dua pertahanan lawan dan melepaskan rembatan kaki kiri dari jarak 12 meter.

Gilberto melebarkan kedudukan 2-0, lapan minit kemudian selepas menyudahkan hantaran cantik Fabregas.

Sementara itu, Liverpool mengukuhkan kedudukan menghuni tangga keempat dan buruan tiket ke pentas Eropah, musim depan dengan kemenangan 2-0 ke atas Fulham di gelanggang lawan.

Pasukan bimbingan Rafael Benitez itu mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Jermaine Pennant pada minit ke-17 dan Peter Crouch, minit ke-70 untuk mengutip 69 mata bagi menjarakkan diri dengan kelebihan lapan mata dari Everton.

Bolton pula meraih tiga mata berharga dengan menewaskan Middlesbrough 1-0. West Ham menewaskan Derby 2-1 dan Wigan berjaya merampas satu mata apabila mengikat Tottenham 1-1.
(lagi artikel berkaitan klik di sini)

No comments: