Thursday, May 22, 2008

Kesilapan John Terry ranapkan impian Chelsea

MANCHESTER United berjaya mempertahankan rekod sempurna pada perlawanan akhir peringkat Eropah selepas menewaskan Chelsea 6-5 menerusi penentuan penalti dramatik untuk merangkul kejuaraan berganda musim ini.

United yang muncul juara Liga Perdana Inggeris minggu lalu, juga menewaskan Chelsea, memanfaatkan kesilapan ketua pasukan The Blues, John Terry dalam penentuan penalti untuk mengulangi kejayaan merangkul mahkota Liga Juara-Juara Eropah tahun 1999.

sebelum itu United pernah muncul juara kelab Eropah pada tahun 1968. Bermakna kelab itu tidak pernah tewas dalam tiga perlawanan akhirnya.

Ia ternyata malam yang penuh menyedihkan buat John Terry, kedudukan pada penentuan penalti terikat 4-4 sebelum ketua pasukan itu membuat sepakan. Kelebihan mula memihak kepada The Blues apabila tendangan Cristiano Ronaldo berjaya diselamatkan Petr Cech.

Malangnya tendangan Terry tersasar ke sebelah kiri gol United ketika Van der Sar merebahkan badannya ke arah kanan. Kegagalan Terry akhirnya membawa padah apabila dua tendangan pemain United selepas itu gagal diselamatkan Cech.

Tendangan terakhir daripada Anelka pula berjaya diselamatkan Van der Sar untuk memastikan tuah akhirnya milik skuad bimbingan Alex Ferguson.

Perlawanan sebenar 90 minit dan tambahan masa 30 minit kemudian menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan Ronaldo dan Frank Lampard.

Nasib turut tidak menyebelahi Chelsea apabila dua tendangan daripada Drogba dan Lampard hanya singgah di palang gol.

Lebih malang buat Chelsea apabila Drogba pula dilayangkan kad merah kira-kira lima minit sebelum perlawanan masa tambahan tamat.

"Kami mendapat lebih banyak peluang (berbanding United). Kami juga mempunyai kelebihan pada penentuan penalti, (malangnya) sepakan John Terry tersasar. Sungguh kejam, tapi itulah bola sepak," ujar Lampard dengan nada penuh kecewa.

Kekecewaan Chelsea boleh dibayangkan kerana selepas tiga kali terkandas di peringkat separuh akhir, ini kali pertama mereka meloloskan diri ke pelawanan akhir kejohanan Eropah.

Info berkaitan:

Keputusan Liga Juara Eropah

Jadual Liga Juara Eropah

Babak pertama: United 1 Chelsea 1


Ronaldo meletakkan Manchester United di depan menerusi tandukan menarik selepas menerima hantaran Wes Brown pada minit ke-26.

Bagaimanapun kealpaan barisan pertahanan membolehkan Chelsea menyamakan kedudukan minit-minit akhir babak pertama menerusi pemain tengahnya, Frank Lampard.

Secara keseluruhannya permainan babak pertama lebih banyak dikuasai United yang mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan.

Namun ketangkasan Petr Cech menyelamatkan gawang The Blues daripada dibolosi lebih banyak gol.

Siapa bergelar jaguh Eropah?

Monday, May 12, 2008

Manchester United pertahan gelaran EPL

MANCHESTER United berjaya mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Wigan dalam perlawanan penutup tirai malam tadi.

Kemenangan itu sekaligus menyaksikan pesaing terdekatnya, Chelsea terpaksa berputih mata sekali lagi apabila sekadar seri 1-1 di halaman sendiri dengan Bolton.

Dua gol jaringan pemain sayap, Crisriano Ronaldo dan Ryan Giggs memastikan mahkota Liga Perdana Inggeris kekal berada di Old Trafford buat musim kedua berturut-turut selepas skuad bimbingan Sir Alex Ferguson turut mencatat kejayaan sama musim lalu.

Kemenangan United menyaksikan mereka unggul di tangga teratas liga dengan 87 mata, dan seandainya Chelsea turut mencatat kemenangan malam tadi, trofi liga tetap menjadi milik The Reds berdasarkan kelebihan jaringan yang agak besar berbanding pesaingnya itu.

Musim lalu United menamatkan saingan liga dengan mengumpul 89 mata manakala Chelsea sekadar meraih 83 mata.

Lebih manis ayam tambatan United, Cristiano Ronaldo turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak liga dengan 31 gol. Penyerang Arsenal, Emmanuel Adebayor dan penggempur Liberpool, Fernandi Torres berkongsi kedudukan di tangga kedua dengan 24 gol.

Musim lalu anugerah penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dimenangi penyerang Chelsea, Didier Drogba dengan 20 gol. Manakala Ronaldo di tangga ketiga dengan 17 gol.

Tuesday, May 6, 2008

Ballack, Malouda pastikan persaingan belum tamat

KAPTEN Jerman, Michael Ballack terus mempamer aksi mantap apabila membantu kelabnya, Chelsea mengekalkan persaingan merebut gelaran Liga Perdana Inggeris.

Selepas beraksi cemerlang dengan menyumbat kedua-dua gol ketika menewaskan Manchester United minggu lalu, pemain tengah itu sekali lagi menjadi pemusnah dengan menjaringkan satu gol untuk menewaskan Newcastle 2-0 di tempat lawan, malam tadi.

Satu lagi gol dijaringkan Frank Malouda di hujung perlawanan yang menyaksikan tuan rumah lebih banyak bertahan selepas menerima asakan hebat Chelsea.

Keputusan perlawanan itu bermakna siapa yang bakal meraih gelaran Liga Perdana Inggeris hanya dapat ditentukan pada perlawanan terakhir minggu depan.

Bagaimanapun The Blues menghadapi misi lebih sukar apabila menerima kunjungan Bolton di Stamford Bridge, manakala United bertandang ke Wigan.

Pada perlawanan pusingan pertama Oktober tahun lalu, Chelsea menang tipis 1-0 menerusi gol tunggal Salomon Kalou. United pula membelasah Wigan 4-0 di Old Trafford. Pada perlawanan itu Ronaldo menyumbat dua gol manakala Carlos Tevez dan Wayne Rooney masing-masing menyumbat satu gol.

Monday, May 5, 2008

Grant yakin tekanan berpihak kepada United

Newcastle lwn Chelsea
(11.00 malam)

AVRAM Grant percaya Manchester United hampir retak ketika Chelsea tampak akan terus menghambat pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

Dengan pasukannya bersiap sedia melakukan kunjungan ke Newcastle hari ini, adalah bertepatan sekali apabila Grant mengimbau kembali kejatuhan paling sensasi liga Inggeris tatkala dia bermain-main dengan kemungkinan The Blues akan mendapat faedah daripada kejatuhan United, sama seperti dialami Kevin Keegan pada 1996.

Ketika itu, Newcastle mendahului liga dengan kelebihan 12 mata pada satu peringkat sebelum menyerahkan pendahuluan selepas diasak United.

Musim ini, Chelsea pernah ketinggalan lapan mata dengan pendahulu liga itu tetapi berjaya melakarkan rentetan 19 perlawanan tanpa kalah untuk kembali mencabar kejuaraan, sama seperti United lakukan, 12 tahun lalu.

Mengalahkan United minggu lalu membolehkan skuad Grant untuk melonjak sama mata di tangga teratas dan membiarkan juara bertahan itu bergelut menjelang ke garisan penamat.

Mereka hanya menang satu daripada empat perlawanan liga terakhirnya dan Ferguson begitu berang hingga dia tidak bercakap dengan pengurus Chelsea itu selepas perlawanan.

United masih boleh memenangi perlawanan dengan kemenangan dalam dua perlawanan terakhirnya dan kejayaan pertengahan minggu menentang Barcelona mungkin menjadi penyuntik semangat tetapi Grant yakin masih ada sesuatu yang akan berlaku pada detik-detik terakhir saingan liga.

Bayern raih kejuaraan berganda

BAYERN Munich menebus kehampaan tersingkir daripada Piala UEFA dengan merangkul gelaran Bundesliga ke-21 dalam sejarah kelab itu.

Keputusan seri tanpa jaringan dengan VfL Wolfsburg bermakna kedudukan Bayern di tangga teratas liga tidak mampu digugat lagi apabila mereka mendahului Werder Bremen dengan kelebihan 10 mata.

Manakala saingan Bundesliga masih berbaki tiga perlawanan.

Selepas mengharungi 31 perlawanan, Bayern mendahului dengan 67 mata diikuti Werder Bremen 57, manakala Schalke 04 di tangga ketiga dengan 55 mata.

Gergasi Jerman itu terlepas peluang merangkul tiga piala musim ini selepas ditendang keluar di peringkat separuh akhir Piala UEFA oleh pasukan kurang ternama, Zenit St Pettersburg, tiga hari lalu.

Bayern diikat 1-1 di Munich, bagaimanapun mereka menerima aib apabila dibelasah 4-0 oleh juara Rusia itu di Moscow.

Pada 21 April lalu, Bayern menundukkan Borussia Dortmund 2-1 untuk merangkul Piala Jerman. Kedua-dua gol Bayern dihasilkan penyerang antarabangsa Itali, Luca Toni.

Kali terakhir Bayern muncul juara liga Jerman ialah dua tahun lepas.

Gelaran Liga Primera sah milik Real Madrid

GERGASI Sepanyol, Real Madrid memastikan gelaran Liga Primera Sepanyol musim ini kekal milik mereka selepas kemenangan dramatik ke atas Osasuna, awal pagi tadi.

Real bagaimanapun terpaksa melalui detik mencemaskan sebaik babak kedua bermula apabila pertahanannya, Fabio Cannavaro diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari Jaroslav Plasil.

Kesempatan itu berjaya dimanfaatkan pasukan tuan rumah yang berjaya mendahului menerusi sepakan penalti Francesco Punal pada minit ke-83.

Bagaimanapun kekurangan seorang pemain tidak melemahkan semangat Real. Empat minit selepas itu Arjen Robben menanduk masuk gol penyamaan sebelum Gonzalo Higuain memastikan kemenangan buat Real dua minit kemudian.

Walaupun perlawanan liga masih belum tamat namun kelebihan 10 mata berbanding pencabar terdekatnya, Villareal menyaksikan Real tidak mampu dicabar lagi oleh pesaingnya itu dengan saingan liga berbaki tiga perlawanan.

Kejayaan itu sangat membanggakan buat jurulatih Real, Bernd Schuster yang baru semusim bersama kelab itu.

"Sentiasa ada masa-masa sulit dan begitu juga di kelab seperti ini. Dari awal, saya percaya pasukan ini mampu mencapai apa yang pernah mereka perolehi," kata Schuster.

Dalam pada itu beribu-ribu peminat Real berhimpun di tengah bandar raya Madrid meraikan kejayaan pasukan mereka merangkul gelaran La Liga ke-31.

Milan tangguh hasrat Inter, lonjak tangga keempat

DUA gol sumbangan Filippo Inzaghi dan Kaka serta kekalahan Fiorentina kepada Cagliari membolehkan AC Milan melonjak ke tangga keempat liga selepas juara Eropah itu mengatasi musuh setempat, Inter Milan 2-1 di San Siro malam tadi.

Kekalahan Inter menyebabkan hasrat mereka untuk merangkul gelaran Serie A musim ini tertangguh ekoran kemenangan AS Roma di Sampdoria dalam perlawanan yang diadakan serentak.

Perlawanan tumpuan itu bagaimanapun berakhir tanpa jaringan pada babak pertama, sekalipun Milan menguasai segenap ruang padang.

Bagaimanapun juara Eropah itu tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan pada babak kedua.

Selepas enam minit perlawanan bersambung pemain veteran, Filippo Inzaghi meletakkan tuan rumah di depan menerusi tandukan hasil umpanan tinggi Kaka.

Lima minit kemudian giliran Kaka pula menceriakan penyokongnya yang selepas menerima hantaran Massimo Ambrosini untuk gol kedua Milan.

Julio Cruz kemudiannya menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-76 apabila tendangan percumanya gagal diselamatkan penjaga gol Milan, Zeljko Kalac.

Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat permainan yang menyaksikan tuan rumah kini mendahului satu mata di atas Fiorentina di tangga keempat.

Bagaimanapun kedudukan berkenaan masih belum selamat buat Milan dan perlu memenangi dua perlawanan berbaki untuk mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Torres pastikan City terus merana

GOL tunggal daripada Fernando Torres memastikan tiga mata penuh buat Liverpool ketika melayani kunjungan Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Bagaimanapun kemenangan itu tidak memberikan kesan kepada Liverpool yang kekal di tangga keempat liga di belakang United, Chelsea dan Arsenal.

Selepas mengharungi 37 perlawanan The Reds kini mengumpul 73 mata, lebih baik jika dibanding musim lepas. Namun begitu, musim lalu Liverpool menamatkan saingan di tangga ketiga dengan 68 mata, sama dengan Arsenal tetapi skuad bimbingan Rafael Benitez itu mengatasi The Gunners dengan kelebihan jaringan.

Dalam saingan di Anfield malam tadi tuan rumah memperoleh gol kemenangan pada minit ke-56 yang merupakan jaringan ke-32 Torres sepanjang musim ini dan ke-23 dalam liga.

Bagi City pula kekalahan itu menyaksikan mereka berada di tangga kesembilan dengan 55 mata. Pada awal musim City kelihatan mampu sekurang-kurangnya merebut satu tempat ke Piala UEFA, namun prestasi kurang konsisten menyebabkan kelab bimbingan Sven Goran Eriksson itu semakin tercicir.

Kedudukan Eriksson sebagai jurulatih juga dilaporkan dalam keadaan terancam.

Sunday, May 4, 2008

Arsenal beri tekanan kepada Chelsea

The Gunners menang tipis 1-0 ke atas Everton

BIAR pun tidak membariskan kesebelasan utamanya, Arsenal masih mampu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, malam ini.

Gol tunggal daripada Nicklas Bendtner pada minit ke-77 sudah cukup buat The Gunners memungut tiga mata penuh untuk memberi tekanan kepada Chelsea bagi merebut slot automatik ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Arsene Wenger mengumpul 80 mata, kurang satu mata di belakang Chelsea yang akan berkunjung ke Newcastle, esok.

Everton yang memburu tiket ke Piala UEFA bagaimanapun bernasib baik kerana pesaing terdekatnya, Aston Villa tewas mengejut kepada Wigan dalam perlawanan semalam.

Ini bermakna Everton kekal di tangga kelima dan hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir menentang Newcastle minggu depan untuk layak ke Piala UEFA.

Manakala hasrat Arsenal untuk mencabar kejuaraan liga tertutup rapat sebaik Manchester United menewaskan West Ham 4-1 semalam.

United mula terbayang mahkota liga

MANCHESTER United semakin hampir untuk memenangi gelaran Liga Perdana England selepas menang 4-1 ke atas West Ham United malam tadi.

Cristiano Ronaldo muncul wira selepas meledakkan dua gol untuk melebarkan rekod jaringan kepada 40 gol sepanjang musim ini.

Begitupun kemenangan skuad kendalian Alex Ferguson itu dicemari dengan insiden kad merah selepas Nani menanduk kapten West Ham, Lucas Neill.

Pemain sayap Portugal itu bakal terlepas perlawanan terakhir musim ini menentang Wigan Athletic di mana United dijangka merangkul gelaran liga buat kali ke-17.

Meskipun sudah mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara dengan menewaskan Barcelona Rabu lalu, United mengharapkan kemenangan pertama daripada tiga perlawanan terakhir selepas tewas 1-2 kepada Chelsea Sabtu lalu dan seri 1-1 di Blackburn Rovers.

Kemenangan dengan agregat 1-0 ke atas Barcelona dianggap sebagai suntikan semangat kepada pemainnya selepas tewas di Stamford Bridge dua minggu lepas.

Dengan ketiadaan Wayne Rooney dan Nemanja Vidic yang masih mengalami kecederaan, pengurus United itu menurunkan kesebelasan pemain yang sama ketika mengalahkan Barca.

"Saya puas hati kerana pemain beraksi dengan baik meskipun mereka agak keletihan pada separuh masa kedua. Strategi kami pada babak kedua adalah untuk mematikan gerakan pasukan lawan dan hasilnya kami memperoleh empat gol ini," kata Ferguson.

"Kami berjaya melakukannya dan ini adalah hari yang penting bagi kami. Kami mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi gelaran liga."

Pada perlawanan itu Ronaldo meletakkan United di hadapan seawal minit ketiga dan menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-24.

Dua minit kemudian Carlos Tevez menambah jaringan ketiga United.

Begitupun dua minit selepas itu, Dean Ashton merapatkan jurang sebelum United mengukuhkan kedudukan menerusi Michael Carrick pada minit ke-59.

Saturday, May 3, 2008

Kuala Muda juarai Liga Perdana

KUALA Muda Naza menebus kehampaan musim lalu dengan bergaya apabila muncul juara Liga Perdana selepas menundukkan KL Plus FC 3-2 pada perlawanan penutup tirai di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini.

Gol-gol KUala Muda dijaringkan oleh Rudie Ramli pada minit ke-30, Faderin Kadir (67) dan Liew Kit Kong (73).

Manakala gol KL Plus dijaringkan oleh Mohd Lot Hassan (32) dan Rusydee Shamsuddin (90+2).

Sekalipun kalah KL Plus masih boleh berbangga kerana akan dinaikkan 'pangkat' bersama Kuala Muda ke saingan Liga Super musim depan.

Sementara itu dalam perlawanan lain PKNS menewaskan Kelantan 2-1, Melaka menundukkan Kuala Lumpur 1-0, Shahzan Muda tewas kepada Proton FC 0-1 manakala Sabah membelasah ATM 5-0.

Satu lagi perlawanan membabitkan Felda United dan Johor Pasir Gudang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Manchester United belasah West Ham 4-1

MU Semakin hampir pertahankan mahkota EPL

BERBEZA ketika menghadapi lawan sama sebelum ini, Manchester United tidak menghadapi banyak masalah untuk menundukkan West Ham dengan kemenangan 4-1 di Old Trafford, malam ini.

Kejayaan itu sekaligus menamatkan badi United yang kalah dalam semua tiga pertemuan terakhirnya dengan West Ham sebelum ini.

Bintang utamanya, Cristiano Ronaldo meledak dua jaringan pada minit ketiga dan 24 sebelum bekas pemain West Ham, Carlos Tevez menambah satu lagi gol dua minit kemudian.

Dean Ashton memberikan sedikit kelegaan buat pelawat menerusi sepakan gunting menarik pada minit ke-28 untuk merapatkan kedudukan 3-1.

Tuan rumah kemudiannya tambah tertekan apabila rakan senegara Ronaldo, Nani dilayangkan kad merah sekaligus diperintah keluar padang pada minit ke-38 selepas menanduk Lucas Neill.

Bagaimanapun bermain dengan 10 orang tidak sedikit pun menjejaskan rentak United bahkan masih sempat menambah satu lagi gol pada babak kedua menerusi Michael carrick. Kedudukan 4-1 kekal hingga wisel penamat untuk mengukuhkan kedudukan United di persada liga.

United akan menentang Wigan pada perlawanan terakhir minggu depan. Jika menang mereka akan menjuarai Liga Perdana Inggeris dua musim berturut-turut.

Bagaimanapun United akan dinobat sebagai juara liga lebih awal jika Chelsea gagal memungut sebarang mata ketika menentang Newcastle, lusa.

Perlawanan menarik hari ini - 3 Mei 08

Man United lwn West Ham (7.45 malam)

MANCHESTER United tentunya tidak akan memandang remeh lawan yang akan dihadapinya malam ini. Apa tidaknya United seringkali menghadapi masalah apabila menentang pasukan bimbingan Alan Curbishley ini.

Musim lalu United tewas kedua-dua perlawanan liga ketika menentang West Ham. Musim ini West Ham sekali lagi memberikan igauan ngeri kepada anak buah Alex Ferguson.

Mereka tewas 1-2 pada perlawanan pertama di Upton Park, akhir Disember lalu. Menariknya kedua-dua gol West Ham dijaringkan dalam tempoh lima minit ketika perlawanan berbaki 13 minit. Ronaldo pula gagal menjaringkan gol apabila dihadiahkan sepakan penalti.

Perlawanan ini bukan saja penting buat United, malah Chelsea juga sangat berharap keputusan mengejut akan berlaku di Old Trafford malam ini.

Fulham lwn Birmingham (11.00 malam)

Kedua-dua kelab bergelut untuk mengelakkan diri daripada tersingkir ke liga bawahan. Birmingham berada satu tangga di atas Fulham dengan 32 mata, dua mata mengatasi lawannya itu.

Tuan rumah lebih terdesak untuk memenangi perlawanan ini. Tewas bererti mereka boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Perdana Inggeris.

Begitupun Birmingham tentunya tidak akan memberi laluan mudah kerana kedudukan mereka juga masih belum selamat.

Lagi pun Jika menang perlawanan malam ini harapan untuk kekal dalam Liga Perdana masih bergantung kepada keputusan melibatkan dua lagi kelab bergelut, Bolton dan Reading.

Sekurangnya-kurangnya kemenangan memberikan mereka sedikit peluang untuk terus kekal sebelum menutup saingan menentang Blackburn di tempat sendiri minggu depan.

AC Milan lwn Inter Milan (Esok - 9.00 malam)

JUARA Eropah tahun lalu ini mempamer aksi mengecewakan dalam saingan Serie A sepanjang musim ini.

Lebih malang apabila mereka banyak mencicirkan mata ketika bermain di San Siro. Di awal musim AC Milan pernah menghuni tangga ke-15 liga sebelum memperbaiki kedudukan sedikit demi sedikit.

Namun dengan perlawanan liga hanya tinggal tiga perlawanan untuk ditamatkan, Milan sangat terdesak untuk mengutip mata penuh malam ini.

Apatah lagi tempat untuk ke Liga Juara-Juara musim depan masih belum terjamin apabila berada di tangga kelima liga di belakang Fiorentina. Kedua-dua kelab dipisahkan hanya dua mata.

Fiorentina yang tewas kepada Rangers pada saingan separuh akhir Piala UEFA semalam menghadapi laluan agak mudah apabila bertandang ke Cagliari.

Minggu lalu mereka mencicirkan dua mata penting ketika menentang Sampdoria di halaman sendiri, manakala Milan membelasah Livorno 4-1 hasil jaringan hatrik pemain veteran, Filippo Inzaghi.

Ronaldo diiktiraf pemain terbaik EPL


MINGGU lalu Cristiano Ronaldo menerima anugerah pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL). Minggu ini beliau menerima anugerah pemain terbaik lagi.

Bezanya, minggu lepas Ronaldo menerima anugerah berkenaan daripada Persatuan Pemain Profesional (PFA) atau secara mudahnya pemilihan daripada rakan-rakan pemain yang bernaung di bawah PFA.

Kali ini beliau mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Wartawan Bola Sepak (FWA).

Menyaksikan kelibat Ronaldo dalam saingan EPL musim ini, tidak pelik jika anugerah berkenaan menjadi milik Ronaldo. Apatah lagi beliau telah menjaringkan 38 gol buat kelabnya, Manchester United musim ini.

Dalam saingan EPL pula beliau mendahului senarai penjaring terbanyak untuk anugerah kasut emas dengan 28 gol. Satu angka yang menakjubkan buat seorang pemain tengah sepertinya.

Bahkan rakannya yang berada di posisi penyerang seperti Wayne Rooney dan Carloz Tevez pun tidak mampu mencapai angka tersebut.

Lebih ajaib jika jumlah jaringan kedua-duanya (Rooney dan Tevez) dicampurkan ia masih belum cukup untuk mengatasi gol yang dihasilkan Ronaldo!!

Tak percaya! Carloz Tevez menjaringkan 13 gol setakat ini manakala Rooney hanya mampu mencipta 12 gol. Jika jumlah itu dicampurkan baru 25 gol sedangkan Ronaldo seorang menjaringkan 28 gol.

Barangkali Ronaldo ingin membalas dendam kekalahannya merebut anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA musim lalu yang menjadi milik bintang Brazil, Kaka.

Jika prestasi semasa diambil kira tidak mustahil anugerah itu akan menjadi milik Ronaldo musim ini.

Masalahnya Ronaldo tidak mampu menjelmakan aksi hebat ketika mewakili skuad kebangsaan Portugal, berbeza dengan Kaka yang mempamer aksi dan skil menarik sama ada ketika menyarung jersi AC Milan atau Brazil.

Sama-sama kita tunggu.

Friday, May 2, 2008

Piala UEFA: Rangers mara, Bayern Munich tersingkir

DUA kelab pilihan, Bayern Munich dan Glasgow Rangers mengalami nasib berbeza pada saingan separuh akhir Piala UEFA, awal pagi tadi.

Ketika Rangers terpaksa menunggu sehingga penentuan sepakan penalti untuk mara ke perlawanan akhir, gergasi Jerman, Bayern sebaliknya mengalami nasib buruk apabila dibelasah wakil Rusia, Zenit St Petersburg 4-0 sekaligus tersingkir daripada saingan Piala UEFA musim ini.

Zenit ternyata lebih layak untuk beraksi di final selepas mempamerkan aksi kemas dan bertenaga untuk menundukkan pendahulu Bundesliga itu.

Pasukan bimbingan Dick Advokaat itu membuktikan kesungguhan mereka apabila berjaya mendahului lawan lebih berpengelaman itu ketika perlawanan baru berlangsung kurang lima minit.

Zenit menjarakkan kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-38 menerusi Konstantin Zyrianov sebelum menambah dua lagi gol pada babak kedua. Pada perlawanan minggu lalu kedua-dua pasukan terikat 1-1. Ini bermakna Zenit mara dengan kemenangan agregat 5-1.

Pada perlawanan akhir nanti, Zanit akan bersaing dengan Rangers untuk menentukan juara selepas kelab Scotland itu menundukkan Fiorentina 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang jaringan pada kedua-dua perlawanan separuh akhir.

Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Manchester City, 14 Mei ini (Malaysia, 15 Mei).

Thursday, May 1, 2008

Permusuhan Chelsea - MU merebak ke Liga Juara

DUA kelab terbaik Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Chelsea berpeluang merebut dua trofi utama musim ini selepas kedua-dua pasukan melepasi halangan getir peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, semalam dan awal pagi tadi.

Ketika skuad bimbingan Sir Alex Ferguson berhempas pulas untuk menundukkan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, Chelsea pula terpaksa mengerah segenap tenaga menangkis tentangan sengit juara Eropah lima kali, Liverpool.

Semalam United bernasib baik mendapat gol awal Paul Scholes yang juga jaringan tunggal perlawanan, selepas pasukan lawan lebih banyak menguasai pertarungan tersebut.

Gol berpunca kegagalan Deco menghantar bola dengan baik sebaliknya berjaya disambar Scholes yang tidak menunggu lama untuk melepaskan tendangan kencang dari luar kotak penalti, terus menerjah ke gawang Barca.

Kecekapan Edwin van Der Sar dan gandingan kurang menjadi antara Lionel Messi dan Samuel Eto'o antara faktor kegagalan Barca menyekat kemaraan United sekalipun mereka lebih banyak menguasai perlawanan berkenaan.

Namun apa yang pasti United bakal menghadapi ujian sukar untuk mengulangi sejarah tahun 1999 ketika mereka menjulang satu-satunya trofi Liga Juara-Juara Eropah selepas ia diperkenalkan dengan wajah baru pada musim 1992/93.

Pada musim 2002/03 skuad yang dipimpin jurulatih dari Scotland, Sir Alex Ferguson itu terlepas peluang terbaik menjulang kejuaraan di depan peminat sendiri apabila Old Trafford dipilih sebagai venue perlawanan akhir tahun berkenaan.

Kemaraan mereka terkandas di peringkat suku akhir apabila tewas kepada Real Madrid 6-5 gara-gara jaringan hatrik penyerang Brazil, Ronaldo di Old Trafford.

Seperti juga United, Chelsea turut menerima saingan sengit sebelum menempah tiket ke perlawanan akhir yang dijadualkan di Stadium Luzhniki, Moscow, 21 Mei ini.

Selepas tiga kali kecundang di peringkat separuh akhir dalam tempoh empat musim (dua daripadanya kepada Liverpool), tuah kini menyebelahi mereka susulan kemenangan ke atas Liverpool 3-2 di Stamfor Bridge selepas pertarungan sengit selama 120 minit.

Chelsea mula menghidu peluang untuk beraksi di pentas final apabila memperolehi gol pendahuluan menerusi tonggak penyerangnya, Didier Drogba kira-kira setengah jam selepas perlawanan berlangsung.

Bagaimanapun kedudukan menjadi seimbang pada babak kedua selepas gol penyamaan penyerang sensasi Sepanyol, Fernando Torres pada minit ke-64.

Pertarungan tambah mendebarkan apabila tiada tambahan jaringan dapat dilakukan kedua-dua pasukan selepas itu yang memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Usaha tuan rumah akhirnya berhasil apabila diberikan sepakan penalti selepas Sami Hyypia menjatuhkan Michael Ballack dalam kotak penalti yang disudahkan dengan baik oleh bintang tengah, Frank Lampard.

Kegembiraan peminat Chelsea semakin membara apabila Drogba menjadikan kedudukan 3-1 di hujung babak pertama masa tambahan.

Pelawat yang enggan mengaku kalah akhirnya hanya berupaya menambah satu gol sahaja yang ternyata tidak cukup untuk menyekat kemaraan Chelsea ke perlawanan akhir di Moscow.

Keputusan itu ternyata menggembirakan seluruh kem skuad The Blues, apatah lagi mereka belum pernah mengecapi suasana final Liga Juara-Juara.

Kaptennya Joh Terry mengakui sudah tidak sabar menanti pertarungan aksi final di Moscow nanti.

"(Keputusan) ini sangat menakjubakn. Saya fikir kami memang layak meraihnya setelah beberapa tahun terkandas," ujarnya dengan perasaan penuh kegembiraan.

"Kami menciptakan banyak peluang dan kami berjaya menjadikan peluang untuk menghasilkan gol.

"Bagaimanapun perlawanan agak sukar di penghujungnya," tanbahnya.

Mengenai peluang kelabnya pada perlawanan akhir nanti Terry berkata:

"Saya pikir pertarungan melawan United akan sangat istimewa. Terutamanya membabitkan dua kelab England. Daya fikir semua orang menunggunya, termasuk kami.

"Mereka bermain baik dalam liga. Kami (akhirnya) menyamai (mata dipungut) mereka dan mampu mengalahkan mereka di sini (Stamford Bridge)," ucap bek tengah England itu.