Monday, June 30, 2008

Sepanyol juara Piala Eropah @ Euro 2008

Video ini sesuai dengan Firefox (sila tukar browser anda)

Monday, June 23, 2008

Euro 2008: Hari ke-16, 23 Jun 2008 (Suku akhir 4)


Sepanyol 0 Itali 0 (Sepanyol menang penalti 4-2)

SEPANYOL melengkapkan empat pasukan ke separuh akhir Euro 2008 apabila menewaskan juara Piala Dunia 2006, Itali 4-2 menerusi penentuan tendangan penalti, setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada perlawanan masa tambahan di Stadium Ernst Happel, Vienna.

Iker Casillas menjadi hero Sepanyol apabila berjaya menyelamatkan dua penalti Itali, manakala Cesc Fabregas membawa kemenangan Sepanyol pada tendangan terakhir.

Selain Fabregas gol-gol penalti Sepanyol disumbangkan oleh David Villa, Santi Cazorla dan Marcos Senna.

Selepas terikat 0-0 pada 120 minit permainan, penjaga gawang Sepanyol itu menyinar dengan menyelamatkan sepakan penalti Daniele De Rossi dan Antonio Di Natale.

Hanya Fabio Grosso dan Mauro Camoranesi berjaya menyudahkan penalti untuk Itali. Manakala Gianluigi Buffon pula menyelamatkan penalti keempat Sepanyol yang diambil oleh Daniel Guiza.

Hanya Sepanyol menjadi satu-satunya juara kumpulan pada Euro kali ini yang tinggal dan akan bertemu Russia di stadium sama, Khamis (pagi Jumaat) ini.

Venue: Ernst Happel Stadion
Pengadil perlawanan: Herbert Fandel (Jerman)
Kehadiran penonton: 51,428
Kad kuning: 4 - Andres Iniesta, David Villa, Santiago Cazorla (Sepanyol). Massimo Ambrosini (Itali).
Gol (penalti) Sepanyol: David Villa, Santi Cazorla, Marcos Senna, Cesc Fabregas.
Gol (penalti) Itali: Fabio Grosso, Mauro Camoranesi.

Sunday, June 22, 2008

Euro 2008: Hari ke-15, 22 Jun 2008 (Suku akhir 3)


Belanda 1 Rusia 3


TIDAK keterlaluan jika kejayaan Rusia menundukkan Belanda 3-1 sekali gus menyingkirkan pasukan pilihan itu di suku akhir, dianggap kejutan terbesar Euro 2008.

Belanda mengesahkan reputasi hebatnya di Euro 2008 apabila menundukkan dua finalis Piala Dunia 2006, Itali dan Perancis secara berturut-turut.

Bagaimanapun Belanda secara tiba-tiba hilang taring sebaik bertemu naib juara kumpulan D, Rusia di pusingan kalah mati.

Selain dibolosi tiga gol, kubu Belanda juga sering dikejutkan dengan gerakan merbahaya barisan pemain Rusia dan bernasib baik tidak melepaskan lebih banyak gol.

Seolah-olah mendapat semangat daripada pasukan Turki yang mengejutkan Croatia, Rusia juga kelihatan lebih mengancam sewaktu melancarkan serangan ke kubu Belanda.

Kebangkitan Rusia membuktikan kehebatan jurulatih kelahiran Belanda, Guus Hiddink dalam melatih pasukan kurang ternama.

Sebelum ini Hiddink pernah memacu negara Asia, Korea Selatan ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2002 sebelum membawa Australi mara ke suku akhir Piala Dunia 2006.

Kali ini beliau membuka mata ramai pihak apabila menukar pasukan bukan bertaraf 'bintang', Rusia menjadi pasukan yang perlu dihormati dalam kejohanan Euro 2008 ini.

Satu lagi cabaran getir Hiddink menanti di peringkat separuh akhir apabila bakal bertemu sama ada Sepanyol atau Itali.

Venue: St Jakob Park, Basel.
Pengadil perlawanan: Lubos Michel (Slovakia)
Kehadiran penonton: 39,730
Kad kuning: 6 - Khalid Boulahrouz, Robin van Persie, Rafael van der Vaart (Belanda). Denis Kolodin, Yuri Zhirkov, Dmitri Torbinski (Rusia).
Gol Belanda: Ruud van Nistelrooy (m-86)
Gol Rusia: Roman Pavlyuchenko (m-56), Dmitri Torbinski (m-112), Andrey Arshavin.

Saturday, June 21, 2008

Euro 2008: Hari ke-14, 21 Jun 2008 (Suku akhir 2)


Croatia 1 Turki 1 (Turki menang penalti 3-1)


TURKI sekali lagi membuktikan dalam bola sepak, perlawanan tidak akan tamat selagi pengadil belum meniupkan wisel penamat.

Itulah yang mereka lakukan dalam perlawanan suku akhir Euro 2008 menentang pasukan pilihan, Croatia di Vienna, Austria awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan gagal menjaringkan dalam tempoh 90 minit masa sebenar yang memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Segala-galanya tampak bakal berakhir dengan kemenangan kepada Croatia apabila tandukan penyerangnya, Ivan Klasnic pada minit ke-29 masa tambahan berjaya membolosi gawang Turki.

Ketika barisan pemain dan pegawai Croatia menyangka mereka akan memenangi perlawanan berkenaan, muncul Semih Senturk, juga pemain gantian, melalui tendangan kencangnya yang menggegar gawang ketika wisel penamat hendak dibunyikan.

Keputusan itu memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.


Rustu Recber akhirnya menjadi wira Turki apabila menyelamatkan tendangan penalti yang diambil pemain Croatia, Mladen Petric, sekali gus membawa Turki ke separuh akhir Euro 2008.

Arda Turan, Semih Senturk dan Hamit Altintop berjaya menjaringkan gol untuk Turki menerusi penentuan penalti kalah mati itu.

Manakala pemain Croatia, Luka Modric serta Ivan Rakitic gagal menyempurnakan tendangan penalti dan hanya Darijo Srna yang berjaya melaksanakan untuk pasukannya.

Venue: Ernst Happel Stadion
Pengadil perlawanan: Roberto Rosetti (Itali)
Kad kuning: 4 - Tuncay Sanli, Arda Turan, Ugur Boral, Emre Asik (Turki).
Gol Croatia: Ivan Klasnic (m-119)
Gol Turki: Semih Senturk (m-120)

Friday, June 20, 2008

Euro 2008: Hari ke-13, 20 Jun 2008 (Suku akhir 1)


Portugal 2 Jerman 3


JUARA tiga kali, Jerman bangkit menewaskan Portugal 3-2 pada perlawanan suku akhir pertama Euro 2008 selepas persembahan kurang meyakinkan pada peringkat kumpulan.

Jerman akan menentang sama ada Croatia atau Turki di separuh akhir di Basel Selasa ini.

Pemain tengah, Bastian Schweinsteiger menjaringkan gol pada minit ke-22 untuk meletakkan Jerman mendahulu 1-0.

Miroslav Klose menambah gol kedua pada minit ke-26 namun penyerang veteran Portugal Nuno Gomes menjaringan gol pada minit ke-40 untuk menjadikan kedudukan 2-1 buat Jerman.

Ketua pasukan, Michael Ballack melebarkan kelebihan Jerman minit ke-61 untuk kedudukan 3-1.

Pemain gantian Portugal Helder Postiga menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-87.

Bagaimanapun ia gagal mengelakkan Portugal daripada tersingkir dari kejohanan Euro 2008.

Venue: St Jakob Park
Pengadil perlawanan: Peter Frojdfeldt (Sweden)
Kehadiran penonton: 39,374
Kad kuning: 5 - Petit, Pepe, Helder Postiga (Portugal). Arne Friedrich, Philipp Lahm (Jerman)
Gol Portugal: Nuno Gomes (m-40), Helder Postiga (m-87)
Gol Jerman: Bastian Schweinsteiger (m-22), Miroslav Klose (m-26), Michael Ballack (m-61).

Thursday, June 19, 2008

Euro 2008: Hari ke-12, 19 Jun 2008


Greece 1 Sepanyol 2

HASRAT juara bertahan, Greece untuk menamatkan saingan Euro 2008 sekurang-kurangnya dengan satu kemenangan tidak kesampaian apabila tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan terakhir kumpulan D.

Sepanyol yang membariskan ramai pemain simpanan tetap mempamer permainan menarik terutama pada babak kedua.

Greece bagaimanapun terlebih dahulu mendahului Sepanyol menerusi jaringan Angelos Charisteas pada minit ke-42.

Sepanyol berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua menerusi Ruben De la Red kira-kira 16 minit selepas sepak mula.

Gol kemenangan Sepanyol hanya hadir dua minit sebelum perlawanan masa sebenar tamat apabila tandukan Daniel Guiza gagal diselamatkan penjaga gol Greece yang menjadi nadi kejayaan pada Euro 2004, Antonios Nikopolidis.

Kekalahan itu bermakna Greece satu-satunya pasukan yang gagal memperoleh sebarang mata pada saingan Euro 2008.

Venue: Stadion Salzburg Wals-Siezenheim
Pengadil perlawanan: Howard Webb (England)
Kehadiran penonton: 30,883
Kad kuning: 5 - Giorgios Karagounis, Angelos Basinas, Loukas Vyntra (Greece). Daniel Guiza, Alvaro Arbeloa (Sepanyol).

Rusia 2 Sweden 0

PEREBUTAN tiket terakhir ke suku akhir Euro 2008 akhirnya memihak kepada Rusia selepas skuad bimbingan Guus Hiddink itu berjaya menundukkan pasukan pilihan, Sweden.

Sweden gagal menggunakan kelebihan selesa pada awal permainan kerana pasukan itu hanya memerlukan keputusan seri untuk menempah tiket ke suku akhir.

Sebaliknya Rusia berjaya menembusi gawang Sweden sebanyak dua kali menerusi Roman Pavlyuchenko pada minit ke-24 dan Andrey Arshavin minit ke-50.

Bagaimanapun tugas getir menanti Rusia apabila bakal berdepan juara 'kumpulan maut', Belanda di suku akhir nanti.

Venue: Tivoli Stadion Neu
Pengadil perlawanan: Frank De Bleeckere (Belgium)
Kehadiran penonton: 30,000
Kad kuning: 5 - Sergei Semak, Andrey Arshavin, Denis Kolodin (Rusia). Andreas Isaksson, Johan Elmander (Sweden).

Wednesday, June 18, 2008

Euro 2008: Hari ke-11, 18 Jun 2008

Perancis 0 Itali 2

PERANCIS terpaksa menerima hakikat terkeluar dari saingan Euro 2008 lebih awal apabila tumpas di tangan musuh tradisinya, Itali 2-0 dalam perlawanan yang dicemari dengan terjahan keras dan layangan kad merah.

Perancis terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-25 apabila pertahanannya, Eric Abidal dipersalahkan ketika cuba menghalang Luca Toni dalam kotak penalti.

Itali bukan sahaja dihadiahkan tendangan penalti, bahkan Abidal turut dilayangkan kad merah akibat insiden itu.

Andrea Pirlo tidak menghadapi masalah menyempurnakan sepakan penalti bagi membolehkan Itali mendahului 1-0. Daniele De Rossi melengkapkan kemenangan Itali menerusi sepakan percuma pada minit ke-62.

Itali akan bertemu Sepanyol dalam perlawanan suku akhir, pagi Isnin ini.

Venue: Letzigrund Stadion
Pengadil perlawanan: Lubos Michel (Slovakia)
Kehadiran penonton: 30,585
Kad kuning: 7 - Patrice Evra, Sidney Govou, Jean-Alain Boumsong, Thierry Henry (Perancis). Andrea Pirlo, Giorgio Chiellini, Gennaro Gattuso (Itali)
Kad merah: 1 - Eric Abidal (Perancis).


Belanda 2 Romania 0

ROMANIA bukan saja gagal mencatat kemenangan untuk melayakkannya ke suku akhir, tetapi gagal memberikan cabaran sepatutnya dalam perlawanan penting itu.

Sebaliknya Belanda yang sudah pun layak ke suku akhir menampilkan persembahan menarik dan kerap memberikan ancaman kepada kubu Romania.

Bagaimanapun gol yang diburu hanya hadir pada babak kedua menerusi Klaas Jan Huntelaar minit ke-54 dan Robin van Persie minit ke-87.

Belanda menamatkan saingan awal dengan muncul juara kumpulan C dan akan bertemu sama ada Rusia atau Sweden pada peringkat suku akhir, pagi Ahad nanti.

Venue: Stade de Suisse Wankdorf
Pengadil perlawanan: Massimo Busacca (Switzerland)
Kehadiran penonton: 30,777
Kad kuning: 1 - Cristian Chivu (Romania).

Tuesday, June 17, 2008

Euro 2008: Hari kesepuluh, 17 Jun 2008


Austria 0 Jerman 1


HASRAT tuan rumah bersama. Austria untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila tewas tipis 1-0 di tangan Jerman yang turut inginkan kemenangan.

Gol tunggal Michael Ballack menerusi tendangan percuma pada minit ke-49 membolehkan Jerman mara ke suku akhir sebagai naib juara kumpulan B.

Skuad bimbingan Joachim Low itu akan bertemu dengan juara kumpulan A, Portugal di peringkat suku akhir nanti.

Venue: Ernst Happel Stadion.
Pengadil perlawanan: Manuel Mejuto Gonzalez (Sepanyol).
Kehadiran penonton: 51,428. Kad kuning: 3 - Martin Stranzl, Erwin Hoffer, Andreas Ivanschitz (Austria).

Poland 0 Croatia 1


HASRAT POland untuk melangkah ke suku akhir berkecai apabila tewas kepada Croatia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan ini.

Bagaimanapun nasib Poland tetap sama sekalipun menang setelah satu lagi pasukan, Jerman turut menang dalam perlawanan terakhir mereka.

Bagi Croatia pula, kemenangan menyaksikan mereka mara ke suku akhir dengan rekod cemerlang apabila menang semua perlawanan kumpulan dan mengumpul sembilan mata maksimum.

Lawan Croatia di suku akhir nanti ialah naib juara kumpulan A, Turki.

Venue: Worthersee Stadion.
Pengadil perlawanan: Kyros Vassaras (Greece).
Kehadiran penonton: 30,461.
Kad kuning: 4 - Mariusz Lewandowski, Tomasz Zahorski (Poland). Hrvoje Vejic, Ognjen Vukojevic (Croatia).

Monday, June 16, 2008

Euro 2008: Hari kesembilan, 16 Jun 2008

Switzerland 2 Portugal 0

SWITZERLAND memulihkan maruah mereka selaku penganjur bersama Euro 2008 apabila mencatat kemenangan tunggal pada hari terakhir kumpulan dengan menundukkan pasukan yang sudah layak ke suku akhir, Portugal.

Sekalipun keputusan berkenaan tidak mengubah kedudukan mereka di tangga tercorot kumpulan, namun sedikit sebanyak ia menjadi penawar selepas dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Hakan Yakin sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan menyumbat kedua-dua gol tuan rumah itu.

Keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Portugal selaku juara kumpulan A.

Venue: St Jakob Park.
Pengadil perlawanan: Konrad Plautz (Austria).
Kehadiran penonton: 39,730.
Kad kuning: 8 - Hakan Yakin, Johan Vonlanthen, Tranquillo Barnetta, Gelson Fernandes (Switzerland). Paulo Ferreira, Jorge Ribeiro, Fernando Meira, Miguel (Portugal).


Turki 3 Rep Czech 2

TURKI mempamer semangat juang tinggi dengan bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menundukkan Republik Czech yang merupakan semi finalis Euro 2004.

Tempoh 15 minit terakhir merubah nasib Turki daripada di ambang penyingkiran dengan menyumbat tiga gol masing-masing menerusi Arda Turan dan Nihat Kahveci yang menjaringkan dua gol terakhir.

Ini bermakna Turki mara ke suku akhir dari kumpulan A dengan mengumpul enam mata, sama dengan Portugal tetapi dibezakan dengan kelebihan gol.

Bagaimanapun agak malang buat penjaga gol Turki, Volkan Demirel yang tidak dapat beraksi pada perlawanan suku akhir nanti setelah dilayangkan kad merah di hujung perlawanan.

Venue: Stade de Geneve.
Pengadil perlawanan: Peter Frojdfeldt (Sweden).
Kehadiran penonton: 29,016.
Kad kuning: 7 - Mehmet Topal, Mehmet Aurelio, Arda Turan, Emre Asik (Turki). Tomas Galasek, Tomas Ujfalusi (Rep CZech).
Kad merah: 1 - Volkan Demirel (Turki).

Sunday, June 15, 2008

Euro 2008: Hari kelapan, 15 Jun 2008


Sweden 1 Sepanyol 2

DAVID Villa muncul wira Sepanyol apabila gol jaringannya pada minit terakhir perlawanan memberikan kemenangan penting untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

Sepanyol mengiringi Portugal (kumpulan A), Croatia (kumpulan B) dan Belanda (kumpulan C) ke saingan lapan pasukan terakhir Euro 2008 yang dijadualkan minggu depan.

Kesungguhan Sepanyol untuk memenangi perlawanan ini terbukti apabila mereka memperolehi gol awal pada minit ke-15 menerusi Fernando Torres.

Bagaimanapun Sweden berjaya menyamakan kedudukan 20 minit kemudian, menerusi Zlatan Ibrahimovic yang mengambil kesempatan daripada kelemahan pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos.

Satu lagi tiket ke suku akhir menjadi rebutan antara Rusia dan Sweden yang akan bertemu dalam perlawanan terakhir pagi Khamis ini.

Venue: Tivoli Neu Stadium
Pengadil perlawanan: Pieter Vink (Belanda)
Kehadiran penonton: 30,772
Kad kuning: 2 - Zlatan Ibrahimovic (Sweden). Carlos Marchena (Sepanyol)

Greece 0 Rusia 1

HASRAT Greece untuk mempertahankan mahkota dimenanginya empat tahun lalu berkecai apabila tewas kali kedua berturut-turut.

Kekalahan bermakna peluang untuk ke suku akhir tertutup terus buat skuad bimbingan Otto Rehhagel itu.

Lebih malang buat Greece apabila mereka juga gagal menjaringkan sebarang gol dalam kejohanan kali ini.

Perlawanan terakhir menentang Sepanyol Khamis ini tidak bermakna lagi buat Greece, cukup sekadar melengkapkan jadual pertandingan.

Venue: Wals-Siezenhem Stadion
Pengadil perlawanan: Roberto Rosetti (Itali)
Kehadiran penonton: 31,063
Kad kuning: 4 - Giorgios Karagounis, Nikos Liberopoulos (Greece). Ivan Saenko, Dmitri Torbinski (Rusia)

Saturday, June 14, 2008

Euro 2008: Hari ketujuh, 14 Jun 2008


Itali 1 Romania 1

PENJAGA gol Itali, Gianluigi Buffon menyelamatkan maruah negara itu apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti Adrian Mutu ketika perlawanan berbaki sepuluh minit.

Keputusan seri, sekalipun agak perit tetapi cukup untuk juara dunia itu terus bersaing merebut satu tempat ke suku akhir daripada kumpulan C.

Mutu meletakkan Romania mendahului 1-0 apabila beliau memanfaatkan kesilapan pertahanan Itali, Gianluca Zambrotta dalam kotak penalti.

Bagaimanapun Itali bangkit menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Christian Panucci.

Itali akan menentang Perancis dalam perlawanan terakhir kumpulan Rabu ini manakala Romania berhadapan juara kumpulan, Belanda untuk merebut satu slot terakhir ke suku akhir.

Venue: Letzigrund Stadium
Pengadil perlawanan: Tom Henning Ovrebo (Norway)
Kehadiran penonton: 30,585
Kad kuning: 5 - Andrea Pirlo, Daniele De Rossi (Itali). Adrian Mutu, Cristian Chivu, Dorin Goian

Belanda 4 Perancis 1

AMUKAN Belanda dalam saingan Euro 2008 berterusan dengan menjadikan naib juara Piala Dunia 2006, Perancis sebagai mangsa terbaru.

Dirk Kuyt, Robin van Persie, Arjen Robben dan Wesley Sneijder masing-masing menyumbat satu gol untuk Belanda manakala Perancis hanya mendapat gol saguhati daripada bintang veteran, Thierry Henry.

Tekanan kini berpihak kepada Perancis untuk meneruskan saingan dalam kejohanan kali ini, apabila bakal berhadapan Itali untuk menentukan sama ada layak ke suku akhir atau tidak.

Venue: Stade de Suisse Wankdorf
Pengadil perlawanan: Herbert Fandel (Germany)
Kehadiran penonton: 30,777
Kad kuning: 3 - Andre Ooijer (Belanda). Claude Makelele, Jeremy Toulalan (Perancis)

Friday, June 13, 2008

Euro 2008: Hari keenam, 13 Jun 2008

Croatia 2 Jerman 1

SEBELUM perlawanan Jerman diuar-uarkan bakal menjadi pencabar utama kejuaraan Euro 2008 selepas persembahan memberangsangkan ketika menewaskan Poland 2-1 dalam perlawanan pembukaan.

Sebaliknya di atas padang Croatia mengejutkan juara tiga kali itu untuk melangkah ke suku akhir saingan kali ini, sekali gus menyamai pencapaian terbaiknya pada 1996.

Jaringan Darijo Srna dan Ivica Olic membawa Croatia menjadi pasukan kedua selepas Portugal mara ke peringkat lapan terbaik dan meneruskan reputasi sebagai ‘pembunuh gergasi’.

Buat pertama kalinya seorang pemain dilayangkan kad merah dalam kejohanan kali ini. Pemain tengah Jerman, Bastian Schweinsteiger dilayangkan kad merah ketika saingan memasuk masa kecederaan.

Venue: Wortherseestadion
Pengadil perlawanan: Frank De Bleeckere (Belgium)
Kehadiran penonton: 30,461
Kad kuning: 6 - Darijo Srna, Josip Simunic, J Leko, Luka Modric (Croatia). Michael Ballack, Jens Lehmann (Jerman)
Kad merah: 1 - Bastian Schweinsteiger (Jerman)


Austria 1 Poland 1

TUAN rumah bersama, Austria terselamat daripada tersingkir awal daripada kejohanan sekurang-kurangnya sehingga Selasa ini apabila mereka membuat perhitungan dengan Jerman untuk merebut tempat ke suku akhir.

Bagaimanapun Austria terpaksa menunggu sehingga minit-minit akhir perlawanan untuk menyamakan kedudukan selepas ketinggalan menerusi gol Roger Guerreiro pada minit ke-30.

Jaringan penalti pemain gantian, Ivica Vastic pada masa kecederaan memastikan Austria mencuri satu mata berharga untuk terus bersaing hingga ke perlawanan terakhir.

Venue: Ernst Happel Stadion
Pengadil perlawanan: Howard Webb (England)
Kehadiran penonton: 51,428
Kad kuning: 5 - Umit Korkmaz, Sebastian Prödl (Austria). Marcin Wasilewski, Jacek Krzynowek, Jacek Bak (Poland)

Thursday, June 12, 2008

Switzerland tersingkir awal daripada Euro 2008

TUAN rumah, Switzerland terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Euro 2008 lebih awal apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut.

Switzerland tewas 0-1 kepada Republik Czech pada perlawanan pembukaan Ahad lepas dan kekalahan terbaru itu menyaksikan mereka berada di tangga tercorot kumpulan A tanpa sebarang mata.

Bagaimanapun Switzerland terlebih dahulu mendahului lawan menerusi jaringan Hakan Yakin pada minit ke-32.

Turki berjaya bangkit pada babak kedua. Mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Semith Senturk pada minit ke-57.

Nasib ternyata tidak menyebelahi tuan rumah apabila gol kemenangan Turki hanya diperolehi pada minit-minit akhir perlawanan.

Gol kemenangan daripada Arda Turan itu memastikan peluang Turki untuk melayakkan diri ke suku akhir masih terbuka dengan syarat mereka perlu menewaskan Republik Czech pada perlawan terakhir 16 Jun ini.

Portugal hampiri suku akhir


PORTUGAL membuktikan kehebatan mereka sebagai kuasa bola sepak Eropah selepas menewaskan Republik Czech dengan kemenangan meyakinkan 3-1 dalam saingan kumpulan A malam tadi.

Selepas menundukkan Turki 2-0 pada perlawanan pembukaan, kemenangan ke atas Republik Czech mencerahkan peluang Portugal untuk mara ke suku akhir.

Skuad bimbingan Luiz Felipe Scolari itu tidak memerlukan masa yang lama untuk membolosi gawang Republik Czech. Kira-kira lapan minit selepas perlawanan bermula pemain kelahiran Brazil, Deco meletakkan Portugal di depan selepas berlaku kelam kabut di depan gawang Czech.

Bagaimanapun kedudukan kembali seimbang apabila Hakan Yakin berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32. Kedudukan 1-1 kekal sehingga berakhir babak pertama.

Selepas 18 minit perlawanan bersambung, Portugal kembali di depan menerusi gol jaringan Cristiano Ronaldo.

Ricardo Quaresma melengkapkan kemenangan 3-1 Portugal menerusi jaringan pada masa kecederaan.

Portugal kini mendahului kumpulan A dengan enam mata. Manakala Republik Czech berkongsi tiga mata dengan Turki yang menewaskan tuan rumah, Switzerland 2-1.

Euro 2008: Hari kelima, 12 Jun 2008

Rep. Czech 1 Portugal 3

Portugal memberi isyarat awal kepada pencabar lain di Euro 2008 apabila muncul pasukan pertama layak ke suku akhir selepas merakamkan kemenangan kedua berturut-turut menewaskan Republik Czech 3-1 dalam saingan Kumpulan A di Stadium State de Geneve, awal pagi tadi.

Jaringan daripada Deco pada minit kelapan, ledakan padu Cristiano Ronaldo (m-63) dan Ricardo Quaresma (m-90) membutirkan mata penuh buat skuad Luiz Felipe Scolari manakala lawan yang turut memberi saingan sengit sepanjang tempoh perlawanan mendapat gol menerusi tandukan Libor Sionko pada minit ke-17.

Venue: Stade Geneve
Pengadil perlawanan: Kyros Vassaras (Greece)
Kehadiran penonton: 29,016
Kad kuning: 2 - Jan Polak (Czech), Bosingwa (Portugal)


Switzerland 1 Sweden 2

JARINGAN pada minit terakhir Arda Turan melonjakkan kemenangan Turki 2-1 ke atas Switzerland, sekali gus menunjukkan jalan keluar pasukan tuan rumah itu untuk saingan Euro 2008.

Gol Turan diperoleh pada minit kedua masa kecederaan dengan sepakan kuat kaki kirinya selepas pertahanan Switzerland gagal mengeluarkan bola berdekatan kotak penalti.

Sebelumnya, Turki memperoleh jaringan awal menerusi Semih Senturk pada minit ke-57.

Venue: St Jakob Park
Pengadil perlawanan: Lubos Michel (Slovakia)
Kehadiran penonton: 39,730
Kad kuning: 4 - Eren Derdiyok (Switzerland), Tuncay Sanli, Mehmet Aurelio, Hakan Kadir Balta (Turki)

Wednesday, June 11, 2008

Euro 2008: Hari keempat, 11 Jun 2008

Sepanyol 4 Rusia 1

HATRIK sulung pada Euro 2008 terhasil, menerusi kehebatan sentuhan penyudah David Villa ketika membantu Sepanyol membenam Rusia 4-1 dalam aksi sulung Kumpulan D.

Satu lagi gol dihasilkan menerusi Cesc Fabregas pada masa kecederaan. Pavlyuchenko menjaringkan gol tunggal Rusia empat minit sebelum tamat permainan.

Sepanyol mempamer permainan yang begitu menghiburkan. Setiap pemainnya selesa bergerak dengan bola, tidak kelam-kabut dan banyak idea.

Bagaimanapun harus diingat kesebelasan utama Rusia hanya beraksi dalam Liga Rusia berbanding para pemain Sepanyol yang sentiasa bertarung sengit dalam Liga Primera dan Liga Perdana England.

Lantaran itu, pasukan Sepanyol tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan pertama ini.

Ini kerana Sepanyol pernah menundukkan Rusia dalam perlawanan pembukaan Euro 2004 tetapi kedua-duanya gagal mara ke suku akhir.

Venue: Tivoli Neu Stadium
Pengadil perlawanan: Konrad Plautz (Austria)
Kehadiran penonton: 30,772
Kad kuning: "Tiada"


Greece 0 Sweden 2

PENDEKATAN Greece menyerap tekanan dan melancarkan serangan balas yang membawa kejayaannya empat tahun lalu nampaknya tidak lagi menjadi.

Bermain dengan lima pertahanan, mereka menghabiskan banyak masa pada babak pertama perlawanan dengan menunggu serangan Sweden, bertukar-tukar hantaran di depan kawasan sendiri.

Akibatnya, juara Eropah itu kecundang 0-2 di tangan Sweden dalam perlawanan pertamanya.

Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol pada minit ke-67 sebelum Petter Hansson menjaringkan gol kedua selang lima minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 2-0 memihak Sweden.

Kekalahan dalam perlawanan pembukaan pasti menyukarkan tugas anak didik Otto Rehhagel memenuhi harapan negara dan para penyokong mereka dalam Euro 2008 ini.

Venue: Wals-Siezenhem Stadion
Pengadil perlawanan: Massimo Busacca (Switzerland)
Kehadiran penonton: 31,063
Kad kuning: 3 - Angelos Charisteas, Giourkas Seitaridis, Vassilios Torosidis (Greece)

Tuesday, June 10, 2008

Euro 2008: Hari ketiga, 10 Jun 2008


Romania 0 Perancis 0


PERLAWANAN pertama kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol sejak Euro 2008 bermula.

Ini juga adalah perlawanan pertama yang berkesudahan seri.

Keputusan ini tampak bakal menyulitkan harapan Perancis untuk layak ke suku akhir daripada 'Kumpulan Maut' yang turut dianggotai juara Piala Dunia, Itali dan Belanda.

Arus asakan terus dijelmakan Perancis pada babak kedua tetapi Romania jelas lawan yang mampu menandingi kekentalan semangat juang mereka untuk kekal menyerap segala ancaman.

Romania bagaimanapun ketara tidak punya ilham untuk memecahkan kebuntuan ketika majoriti aksi pasukan itu lebih untuk berpuas hati dengan keputusan seri.

Venue: Letzigrund Stadium
Pengadil perlawanan: Manuel Mejuto Gonzalez (Sepanyol)
Kehadiran penonton: 30,585
Kad kuning: 4 - Willy Sagnol (Perancis), Daniel Gheorghe Niculae, Cosmin Contra, Dorin Goian (Romania)


Belanda 3 Itali 0

BERTARUNG dalam Kumpulan C, yang juga dianggap 'Kumpulan Maut' di Stade de Suisse, Belanda telah mengatasi satu daripada dua cabaran utamanya dengan menundukkan juara Piala Dunia 2006, Itali.

Mungkin terlalu awal untuk menyebut Belanda akan menjuarai Euro 2008. Tetapi dalam pada itu, tidaklah terlalu awal untuk meramalkan Belanda akan meneruskan langkah perjuangannya ke peringkat suku akhir.

Kali terakhir Itali teruk dibelasah 1-4 ialah di tangan Pele bersama rakan-rakannya dalam pasukan Brazil pada final Piala Dunia 1970 di Mexico.

Sesiapa yang masih ingat perlawanan Piala Dunia itu tentu akur Brazil terlalu gagah dan sewajarnya Itali kecundang.

Ruud van Nistelrooy yang tampak jelas ofsaid, membuka jaringan selepas 26 minit permainan dan lima minit kemudian, Wesley Sneijder menggandakan jaringan menerusi serangan balas pantas yang sempurna.

Giovanni van Bronckhorst menyempurnakan kemenangan 11 minit sebelum tamat selepas menanduk masuk hantaran lintang sempurna daripada Dirk Kuyt.

Jurulatih skuad Oren, Marco Van Basten memang gembira tetapi dengan naib juara Piala Dunia, Perancis seri 0-0 bertemu Romania sebelum itu, dia masih perlu berhati-hati.

Venue: Stade de Suisse Wankdorf
Pengadil perlawanan: Peter Fröjdfeldt (Sweden)
Kehadiran penonton: 30,777
Kad kuning: 4 - Nigel de Jong (Belanda),Luca Toni, Gianluca Zambrotta, Gennaro Gattuso (Itali)

Monday, June 9, 2008

Euro 2008: Hari kedua, 9 Jun 2008

Austria 0 Croatia 1

TUAN rumah kejohanan Piala Eropah (Euro) 2008 nampaknya tidak bernasib baik.

Selepas Switzerland tewas perlawanan pembukaan pada hari pertama semalam, nasib sama dialami satu lagi negara tuan rumah, Austria.

Ia bukanlah satu perlawanan yang boleh dianggap klasik walaupun kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang jaringan.

Austria diramal akan kalah kesemua perlawanan mereka dalam kumpulan ini, yang turut mempunyai Jerman dan Poland, tetapi mereka masih berupaya menggugat Croatia.

Meskipun Austria menguasai 64 peratus daripada permainan, mereka gagal memanfaatkannya untuk mendapatkan gol.

Hanya gol penalti yang dijaringkan Luka Modric pada minit keempat membezakan antara kedua-dua pasukan itu.

Venue: Ernst Happel Stadion
Pengadil perlawanan: Pieter Vink (Belanda)
Kehadiran penonton: 51,428
Kad kuning: 4 - Robert Kovac (Coatia), Emanuel Pogatetz, JĂĽrgen Saumel, Sebastian Prodl (Austria)


Jerman 2 Poland 0

DENGAN pengalaman dan kualiti barisan pemain yang lebih baik, Jerman memenuhi jangkaan apabila menang 2-0 dalam perlawanan pembukaan bagi Kumpulan B di Klagenfurt, Austria.

Menariknya kedua-dua gol Jerman dijaringkan oleh pemain kelahiran Poland, Lukas Podolski.

Kehebatan perlawanan ternyata sejak 45 minit pertama dengan kedua- dua pasukan saling mengatur serangan.

Jerman jelas mempunyai perancangan yang rapi - taktik menyerap dan melancarkan serangan balas yang pantas.

Barisan midfield yang dipimpin kapten Michael Ballack sering membantu pertahanannya bagi menyerap serangan.

Venue: Hypo-Arena
Pengadil perlawanan: Tom Henning Ovrebo (Norway)
Kehadiran penonton: 30,000
Kad kuning: 3 - Bastian Schweinsteiger (Jerman), Euzebiusz Smolarek, Mariusz Lewandowski (Poland)

Sunday, June 8, 2008

Euro 2008: Hari pertama, 8 Jun 2008

Switzerland 0 Rep. Czech 1

SWITZERLAND memulakan kempen Kejohanan Bola Sepak Piala Eropah (Euro) 2008 sebagai tuan rumah dengan nota kekalahan.

Walaupun bukan pasukan pilihan, namun Switzerland cukup berbahaya ketika membuat serangan kilat.

Hanya kekurangan tuah menyaksikan skuad bimbingan Jakob Kunh gagal meraih sebarang mata. Selain kecekapan Petr Cech, palang gol juga menjadi penghalang kepada kegagalan Switzerland merobek gawang lawan.

Switzerland juga bernasib malang apabila pengadil Itali, Roberto Rosetti, tidak melayan permintaan tendangan penalti apabila bola jelas terkena tangan kapten Czech, Tomas Ujfalusi, bukan sekali tetapi dua kali.

Sebaliknya Republik Czech memanfaatkan satu-satunya peluang terbaik mereka pada minit ke-70 menerusi Vaclav Sverkos.

Venue: St Jakob Park
Pengadil perlawanan: Roberto Rosetti (Itali)
Kehadiran penonton: 39,730
Kad kuning: 3 - Ludovic Magnin, Johan Vonlanthen, Tranquillo Barnetta (Rep. Czech)


Portugal 2 Turki 0

PORTUGAL turun selaku naib juara Piala Eropah 2004 dan diletakkan sebagai salah satu pilihan untuk menjuarai kejohanan kali ini.

Perlawanan ini menyaksikan Portugal tidak ketandusan bintang apabila dua gol berkenaan dijaringkan oleh pemain baru yang kurang dikenali, Pepe dan Raul Meireles.

Dengan Ronaldo dan Deco dikawal rapi, Pepe dan Joao Moutinho sebaliknya bergerak lincah membantu kapten, Nuno Gomes dan berjaya menggugat benteng Turki menerusi serangan-serangan balas yang pantas.

Portugal menunjukkan kegagahannya dengan menguasai permainan selepas rehat dan Pepe menebus kekecewaan awal dengan memecahkan kebuntuan pada minit ke-61 dan Meireles mengesahkan keunggulan pasukannya dengan menambah jaringan pada masa kecederaan.

Venue: Stade de Geneve
Pengadil perlawanan: Herbert Fandel (Jerman)
Kehadiran penonton: 29,106
Kad kuning: 3 - Colin Kazim-Richards, Gökhan Zan, Sabri Sarioglu (Turki)

EURO 2008: Medan pasukan kelas dunia peraga aksi terbaik

6Tirai EURO 2008 telah pun bermula. Selain acara pembukaan yang penuh meriah, perlawanan pembukaan antara Republik Czech dan tuan rumah bersama, Switzerland juga berlangsung hebat.

Sekalipun agak berhati-hati di awal saingan, namun kualiti perlawanan ditunjukkan kedua-dua pasukan boleh dipuji terutama sekali tuan rumah, Switzerland.

Namun adab perlawanan ada yang menang ada yang kalah. Sudah nasib Switzerland yang menguasai perlawanan berkenaan terpaksa akur dengan gol tunggal jaringan pemain gantian, Vaclav Sverkos.

Tuah sememangnya tiada bersama anak buah Jakob Kunh apabila beberapa percubaan mereka sama ada diselamatkan penjaga gol lawan, Petr Cech atau terkena palang gol.

Walaupun Switzerland lebih kerap mengasak, ketumpulan jentera serangan yang kehilangan tenaga kapten pasukan, Alexander Frei juga amat dirasakan.

Sebaliknya, Czech memanfaatkan satu-satunya peluang yang terhidang pada minit ke-70 apabila pemain gantian, Vaclav Sverkos, melepaskan rembatan yang agak melucukan untuk menewaskan penjaga gawang Switzerland, Diego Benaglio.

Dengan kejohanan baru memasuki dua hari, tentunya akan banyak lagi kejutan-kejutan dan aksi menarik akan disaksikan para peminat sukan bola sepak berkelas dunia ini.