Tuesday, June 10, 2008

Euro 2008: Hari ketiga, 10 Jun 2008


Romania 0 Perancis 0


PERLAWANAN pertama kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol sejak Euro 2008 bermula.

Ini juga adalah perlawanan pertama yang berkesudahan seri.

Keputusan ini tampak bakal menyulitkan harapan Perancis untuk layak ke suku akhir daripada 'Kumpulan Maut' yang turut dianggotai juara Piala Dunia, Itali dan Belanda.

Arus asakan terus dijelmakan Perancis pada babak kedua tetapi Romania jelas lawan yang mampu menandingi kekentalan semangat juang mereka untuk kekal menyerap segala ancaman.

Romania bagaimanapun ketara tidak punya ilham untuk memecahkan kebuntuan ketika majoriti aksi pasukan itu lebih untuk berpuas hati dengan keputusan seri.

Venue: Letzigrund Stadium
Pengadil perlawanan: Manuel Mejuto Gonzalez (Sepanyol)
Kehadiran penonton: 30,585
Kad kuning: 4 - Willy Sagnol (Perancis), Daniel Gheorghe Niculae, Cosmin Contra, Dorin Goian (Romania)


Belanda 3 Itali 0

BERTARUNG dalam Kumpulan C, yang juga dianggap 'Kumpulan Maut' di Stade de Suisse, Belanda telah mengatasi satu daripada dua cabaran utamanya dengan menundukkan juara Piala Dunia 2006, Itali.

Mungkin terlalu awal untuk menyebut Belanda akan menjuarai Euro 2008. Tetapi dalam pada itu, tidaklah terlalu awal untuk meramalkan Belanda akan meneruskan langkah perjuangannya ke peringkat suku akhir.

Kali terakhir Itali teruk dibelasah 1-4 ialah di tangan Pele bersama rakan-rakannya dalam pasukan Brazil pada final Piala Dunia 1970 di Mexico.

Sesiapa yang masih ingat perlawanan Piala Dunia itu tentu akur Brazil terlalu gagah dan sewajarnya Itali kecundang.

Ruud van Nistelrooy yang tampak jelas ofsaid, membuka jaringan selepas 26 minit permainan dan lima minit kemudian, Wesley Sneijder menggandakan jaringan menerusi serangan balas pantas yang sempurna.

Giovanni van Bronckhorst menyempurnakan kemenangan 11 minit sebelum tamat selepas menanduk masuk hantaran lintang sempurna daripada Dirk Kuyt.

Jurulatih skuad Oren, Marco Van Basten memang gembira tetapi dengan naib juara Piala Dunia, Perancis seri 0-0 bertemu Romania sebelum itu, dia masih perlu berhati-hati.

Venue: Stade de Suisse Wankdorf
Pengadil perlawanan: Peter Fröjdfeldt (Sweden)
Kehadiran penonton: 30,777
Kad kuning: 4 - Nigel de Jong (Belanda),Luca Toni, Gianluca Zambrotta, Gennaro Gattuso (Itali)

No comments: