Monday, April 14, 2008

Manchester hampiri gelaran liga

BEKAS pemain Bayern Munich, Owen Hargreaves menjadi wira Manchester United apabila tendangan percumanya yang menarik menerjah jaring untuk gol kemenangan pasukannya ketika dua musuh tradisi Liga Perdana Inggeris bertemu sesama sendiri dalam saingan liga malam tadi.

Kemenangan 2-1 United ke atas Arsenal menyaksikan barisan anak buah Sir Alex Ferguson itu terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas mengharungi 34 perlawanan.

Koleksi 80 mata yang dipungut membolehkan Red Devils melebarkan jurang kepada enam mata dengan pasukan tangga kedua, Chelsea yang akan beraksi menentang Wigan di Stamford Bridge awal pagi esok (jadual hari ini). Manakala Arsenal kekal di tangga ketiga dengan 71 mata ( Carta lengkap liga klik di sini).

Selepas kedudukan terikat 1-1, United akhirnya mendapat gol kemenangan pada minit ke-72 melalui sepakan percuma lencong pemain tengahnya, Owen Hargreaves, yang melepasi benteng dalam keadaan Jens Lehmann sekadar terpaku menyaksikan bola menerjah jaring.

Sebelum itu penyerang Togo, Emmanuel Adebayor meletakkan Arsenal mendahului pada awal separuh masa kedua apabila menanduk masuk hantaran lintang Robin van Persie tetapi United menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Cristiano Ronaldo lima minit kemudian.

Sepakan penalti itu gara-gara kapten Arsenal, William Gallas tertampan bola dengan tangan ketika dia cuba menghalang percubaan Michael Carrick.

Kekalahan itu dianggap menutup terus peluang Arsenal dalam perebutan gelaran liga kerana saingan hanya berbaki empat perlawanan.

Sebelum ini, Arsenal yang dilihat berpeluang merampas kejuaraan liga daripada United tersingkir pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah di tangan Liverpool, minggu lalu.

Keadaan itu bermakna Arsene Wenger terus kempunan untuk menamatkan empat musim tanpa kejuaraan liga sejak 2004 (lagi artikel berkaitan klik di sini).

No comments: