Sunday, April 13, 2008

Peluang Milan ke Liga Juara musim depan terancam


SELEPAS tersingkir di tangan kelab England, Arsenal pada pusingan kedua Liga Juara-Juara bulan lalu, hasrat Milan untuk melayakkan diri ke kejohanan sama musim depan dilihat makin getir selepas kecundang di tangan musuh ketatnya, Juventus pada saingan Liga Itali awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan Milan kekal di tangga kelima liga, namun kedudukan tersebut mungkin akan berubah jika satu lagi pasukan yang turut mengintai peluang ke Eropah, Sampdoria mampu menewaskan Reggina malam ini, atau setidak-tidaknya membawa pulang satu mata berharga.

Ini kerana kedua-dua pasukan mempunyai jumlah mata yang sama, hanya kelebihan jaringan agak besar memihak kepada Milan untuk berada di tangga kelima.

Pun begitu Milan turut merasa khuatir jika pasukan tangga keempat, Fiorentina turut mencatat kemenangan malam ini. Jika kebimbangan itu menjadi kenyataan, Milan semakin jauh ditinggalkan dengan jurang tujuh mata.

Bagaimanapun lawan yang perlu dihadapi Fiorentina bukan calang-calang pasukan kerana mereka bakal ditentang pendahulu liga dan penyandang juara, Inter Milan. Tambahan pula pertarungan berlangsung di stadium keramatnya, San Siro.

Begitupun dengan prestasi semakin meningkat ditunjukkan kelab itu, tidak mustahil jika Inter mampu ditundukkan. Jika itu berlaku, Milan terpaksa menelan hakikat jika nama mereka tercicir pada kejohanan Liga Juara Eropah musim depan.

Klik di sini untuk laporan lengkap

No comments: