Tuesday, March 4, 2008

Liga Juara-Juara: Kunjungan sukar Celtic

Barcelona (3) lwn Celtic (2)
(Nou Camp, 3.45 pagi esok)


SEKALI pun berada dalam tekanan ekoran kekalahan memalukan kepada Atletico Madrid 4-2 dalam saingan Liga Sepanyol beberapa hari lalu, namun pengurus Barcelona, Frank Rijkaard yakin anak buahnya mampu menjinakkan Celtic dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok.

Tambahan pula skuad Catalan itu bakal menerima sokongan padu daripada penyokong setianya di gelanggang keramat mereka, Nou Camp. Tuan rumah juga beroleh kelebihan selepas memenangi perlawanan pertama dengan keputusan 3-2 di tempat lawan.

"Kini, kami perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan menentang Celtic dan perlu bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan yang kami raih pada perlawanan pertama lalu," kata Rijkaard.

"Kami perlu berjaya untuk memastikan kemenangan dalam perlawanan serupa ini, terutama apabila kami menguasai permainan," tokok pemain tengahnya Xavi selepas perlawanan dengan Atletico.

"Ia cerita lama dan kami akan menerima padah jika kami terus melakukan kesilapan. Mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan bermain lebih agresif. Dengan separuh peluang mereka menyumbatkan dua gol kilat ke atas kami," tambahnya.

Bagaimanapun jika tidak berhati-hati, Celtic bakal mengambil kesempatan berikutan kegoyahan di barisan pertahanan Barca. Siapa tahu kejutan besar mungkin boleh berlaku di Nou Camp pagi esok!

No comments: