Friday, July 11, 2008

Peminat Marseille berharap Drogba kembali ke Perancis

PEMINAT kelab Marseille melancarkan satu kutipan derma untuk mengumpul 22 juta pound (RM141.1 juta) yang dipercayai mampu membayar Chelsea bagi mendapatkan semula bintang mereka, Didier Drogba.

Pengurus baru The Blues, Luiz Felipe Scolari menjelaskan Drogba masih lagi dalam perancangannya musim depan namun penyerang Ivory Coast itu berkeras ingin meninggalkan Stamford Bridge.

Barcelona, AC Milan dan Inter Milan dikatakan berminat ke atas Drogba, namun peminat Marseille telah melancarkan usaha tersendiri bagi membawa pemain berusia 30 tahun kembali ke kelab lamanya empat tahun lalu.

Seorang peminat yang dikenali sebagai Kain telah menyediakan satu sistem kutipan dalam laman web untuk peminat mereka menderma satu, dua atau lima euro kepada kelab itu.

"Mari kita lihat sama ada peminat kami dapat membayar perpindahannya dengan setiap seorang menderma satu atau dua euro ke kelab ini," katanya.

Kutipan tersebut berjaya menarik perhatian segera peminat mereka dan setakat ini telah pun berjaya mengumpul sekitar 5,000 euro (RM25,583) hasil kutipan 800 peminat setakat ini.

"Kami tahu ia mungkin sangat rumit untuk dicapai, malah ia juga nampak mustahil," kata salah seorang penderma, Yaniss.

"Tapi apa yang kami mahu ialah usaha ini mendapat perhatian oleh Pape Diouf (presiden Marseille) dan ahli lembaga pengarah yang lain." - Kosmo

No comments: