Wednesday, July 30, 2008

Peminat Malaysia hampa tiada siaran langsung

Perlawanan Malaysia lawan Chelsea

BOLA sepak memang sukan nombor satu di Malaysia. Buktinya perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Chelsea malam tadi disaksikan 50,000 penonton yang hadir di Stadium Shah Alam.

Sayangnya, stesen televisyen kita tidak berminat untuk menyiarkan perlawanan berkenaan secara langsung, jika tidak lebih ramai lagi akan terpacak di depan tv malam tadi.

Apa tidaknya, kehadiran sebuah kelab terkemuka dunia dan penuh dengan limpahan pemain bertaraf bintang tentunya peminat ingin menyaksikan, lebih-lebih lagi ia membabitkan skuad kebangsaan kita.

Kalau begini keadaannya tidak perlulah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susah-susah membuat promosi besar-besaran jika sekadar untuk mengajak peminat ke stadium sahaja.

Rasanya tidak sukar mana untuk mengajak peminat memenuhi stadium jika membabitkan sebuah kelab seperti Chelsea.

Dalam perlawanan malam tadi, semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain negara selain sokongan padu lebih 50,000 penonton di Stadium Shah Alam masih belum cukup untuk mengekang kehebatan pemain berkelas dunia dari kelab Chelsea.

Sebaliknya, skuad Pilihan Malaysia kendalian B. Sathianathan itu terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0-2 kepada Chelsea pada perlawanan persahabatan sempena siri Jelajah Asia Chelsea 2008.

Bagi The Blues, kemenangan itu sekali gus melengkapkan rekod bersih mereka sepanjang siri jelajah musim ini selepas skuad kendalian Luiz Felipe Scolari itu menewaskan Guangzhou Pharmaceutical (4-0) dan Chengdu Blades (7-0) sebelum ini.

Begitupun, pujian seharusnya diberikan kepada pemain negara berdasarkan corak permainan yang disajikan sekali gus berjaya memberi tekanan kepada jentera pertahanan The Blues sepanjang 90 minit permainan itu berlangsung.

Buktinya, dua percubaan daripada pemain muda Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal pada awal babak pertama permainan hampir membolosi gawang Chelsea yang dikawal bintang Republik Czech, Peter Cech.

Namun, pada minit ke-29, Nicolas Anelka berjaya menyentap semangat juang pemain negara menerusi gol pertama Chelsea hasil rembatan jarak dekat yang menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohd. Helmi Eliza.

Selain itu, bintang baru Chelsea, Deco turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun percubaan pemain antarabangsa Portugal itu pada awal permainan gagal menerjah jaring.

Pada minit ke-52, Chelsea berjaya menambah gol kedua menerusi Ashley Cole yang menyempurnakan hantaran daripada Frank Lampard.

Berita dan laporan berkaitan:

Keputusan perlawanan Malaysia - Chelsea

Tiada siaran langsung perlawanan Malaysia-Chelsea

Chelsea gagal benam Malaysia

50,000 saksi perlawanan Malaysia-Chelsea

Scolari salahkan keadaan padang

Lawan Chelsea: Malaysia perlu guna kesempatan terbaik buktikan kebolehan

1 comment:

mirul said...

MALAYSIA PERLU BANGKIT DR MIMPI..