Wednesday, August 20, 2008

Piala Malaysia: Final impian peminat bola sepak

SELEPAS mengharungi pelbagai kesukaran terutama di peringkat awal kumpulan, dua pasukan pilihan, Kedah dan Selangor berjaya juga menempatkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadual 23 Ogos ini.

Kedah mengejutkan ramai peminat setianya apabila beraksi longlai pada awal saingan, di mana pasukan itu hanya berjaya mengumpul lima mata dalam empat perlawanan pertama aksi peringkat kumpulan.

Bagaimanapun pasukan Kenari itu mula menunjukkan taringnya apabila saingan memasuki pusingan kedua.

Satu demi satu pasukan dibahamnya dan berjaya muncul juara kumpulan B, sekali gus mengelak pertemuan dengan Selangor di peringkat suku akhir.

Begitu juga dengan pasukan Red Giants itu, pada satu ketika berada di ambang penyingkiran daripada saingan ke peringkat kalah mati apabila ketinggalan di belakang pesaingnya.

Sebagaimana Kedah, Selangor bangkit perlahan-lahan hingga berjaya muncul juara kumpulan A.

Kini kedua-dua pasukan akan bertarung bagi merebut piala keagungan bola sepak Malaysia apabila kedua-duanya berentap di perlawanan akhir Sabtu ini.

Selangor bermegah dengan 32 gelaran Piala Malaysia yang dimenanginya manakala Kedah unggul selepas menyapu bersih semua gelaran utama musim lalu.

Tahun ini, dua gelaran telah berjaya digapainya, salah satu daripadanya dicapai dengan menundukkan Selangor dalam aksi final.

Adakah Kedah bakal mengulangi sejarah musim lalu atau pun Gergasi Merah berjaya 'mencuri' satu trofi daripada dibolot Sang Kenari?

Tunggu aksi final Sabtu ini.

Kedah, Selangor bertemu pada final Piala Malaysia

Amirulhadi tidak sabar bantu Selangor rampas Piala Malaysia

Hajat Badrol lakar sejarah buat Kedah

Kedah, Selangor terima tentangan sengit sebelum ke final

EPL: Scolari lulus ujian pertama, juara bertahan cicir mata

Arsenal & Liverpool menang tipis, Agbonlahor ledak hatrik sulung

SAINGAN Liga Perdana Inggeris 2008/09 yang memulakan tirainya Sabtu lepas (16 Ogos) menyaksikan juara bertahan, Manchester United gagal mencipta kemenangan dalam perlawanan pembukaan apabila sekadar seri 1-1 dengan Newcastle United.

Sebaliknya musuh ketat, Chelsea memulakan langkah awal dengan bergaya selepas menjadikan Portmouth mangsa pertama mereka di bawah era baru jurulatih dari Brazil, Luiz Felipe Scolari.

Chelsea membaham Portsmouth 4-0 untuk berada di tangga teratas carta liga, manakala Aston Villa di tempat kedua selepas menang 4-2 ke atas Manchester City. (carta liga)

Gabriel Agbonlahor menjadi tumpuan dalam aksi pembukaan selepas meledak hatrik pertama musim ini, sekali gus memberi amaran kepada pencabar lain.

Liverpool pula bernasib apabila mendapat gol kemenangan di hujung perlawanan menerusi ayam tambatannya, Fernando Torres ketika berkunjung ke Sunderland.

Arsenal, di sebalik menguasai perlawanan sekadar menang tipis 1-0 ke atas pendatang baru, West Bromwich hasil gol tunggal Samir Nasri yang membuat penampilan pertama bersama The Gunners.

Satu lagi pendatang baru, Hull City memulakan aksi mereka dengan langkah kanan selepas menundukkan Fulham 2-1 di tempat sendiri.

Nasib Stoke City pula agak malang apabila tumbang 1-3 kepada Bolton dalam aksi pertama mereka dalam kancah Liga Perdana.

Tottenham Hotspurs turut gagal menyerlah apabila tewas 1-2 di tangan Middlesbrough di tempat lawan hasil jaringan kemenangan bekas penyerang kontroversinya, Mido.

Malang turut menimpa Everton yang gagal mengutip sebarang mata selepas tumbang 2-3 kepada Blackburn, walaupun beraksi di gelanggan sendiri.

Dua gol Dean Ashton dalam tempoh 10 minit pertama memastikan tiga mata penuh dikutip West Ham selepas menundukkan Wigan 2-1. (Jadual dan Keputusan Perlawanan)

Dalam pada itu saingan Liga Sepanyol dan Liga Itali akan hanya bermula pada 30 Ogos ini.

Laporan berkaitan:

Newcastle cacatkan kempen awal Manchester United

Agbonlahor jaring hatrik bantu Villa belasah Man City 4-2

EPL: Permulaan cemerlang Chelsea, Scolari

EPL: Arsenal lepas ujian pertama

Saturday, August 16, 2008

Liga Perdana Inggeris 2008/2009 bermula

SAINGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal memulakan tirainya malam ini dengan juara bertahan, Manchester United terus menjadi pilihan utama untuk merangkul gelaran buat kali ketiga berturut-turut.

Begitupun kempen United pada awal musim agak terbantut apabila bintang utamanya, Cristiano Ronaldo masih mengalami kecederaan.

Begitu juga Wayne Rooney masih belum sembuh sepenuhnya daripada serangan virus sementara seorang lagi penyerang, Louis Saha, besar kemungkinan diterima sebagai 'penduduk tetap' hospital kerana sering sangat dilanda kecederaan.

Chelsea yang dibimbing jurulatih baru dari Brazil, Luiz Felipe Scolari dijangka akan menjadi saingan utama United musim ini. (Laporan penuh)

Piala Malaysia: Johor FC atau Selangor?

JOHOR FC masih berharap mereka mampu menterbalikkan defisit dua gol pada perlawanan pertama tiga hari lalu untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia.

DI atas kertas Selangor dilihat agak berpeluang cerah untuk mara ke perlawanan akhir selepas mengungguli saingan peringkat pertama hasil jaringan Safee Sali dan percubaan lewat R Surendren.

Begitupun kemampuan Johor FC tidak seharusnya diperkecilkan apatah lagi pasukan kelab itu berjaya menyingkirkan MyTeam di peringkat suku akhir sekalipun ketinggalan 1-3 pada perlawanan pertama.

Ancaman besar Selangor dijangka hadir menerusi pemain import dari Argentina, Andres Fuentes Gustavo.

Penyerang berusia 34 tahun itu sudah meledak lima gol dan mungkin mampu merobek gawang Selangor pada malam ini.

Begitupun dengan sandaran kepada trio importnya - Frank Seator, Elie Aiboy dan Evans Chisulo - harapan Selangor untuk mara ke perlawanan akhir tetap cerah.

Berita berkaitan:

Johor FC tekad tebus kesilapan lawan Selangor

Safee: Moral pemain Selangor di tahap terbaik

Selangor masih perlu waspada ancaman Johor FC

Jadual perlawanan

Thursday, August 14, 2008

Bisa Sang Kenari, amukan 'Red Giant'

JUARA Liga Super dan Piala FA, Kedah meneruskan rentak cemerlang apabila membelasah Terengganu 3-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam ini.

Skuad kendalian jurulatih Azraai Khor Abdullah itu membuka jaringan menerusi Baddrol Baktiar pada minit ke-25 sebelum penyerang St Vincent & Grenadines, Marlon Alex James menyumbang gol kedua lima minit sebelum rehat.

Jaringan Khyril Muhymeen Zambri (ke-75) memperlengkapkan kemenangan bergaya Kedah.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pertama, Selangor menumpaskan Johor FC 2-0 di Stadium Shah Alam.

Skuad "Red Giant" yang dikendali bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh itu memperoleh gol pertama menerusi Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-18), manakala R Surendren menyumbang gol kedua di saat akhir perlawanan.

Pertemuan separuh akhir kedua buat Selangor dan Johor FC akan diadakan di Stadium Jcorp, Pasir Gudang pada Sabtu ini, manakala Kedah bertandang ke Stadium Sultan Mizan Shah, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu Ahad ini.

Lagi laporan berkaitan:

Kedah, Selangor hampiri final Piala Malaysia

Jadual Piala Malaysia

Keputusan Piala Malaysia

Monday, August 11, 2008

Olimpik: Brazil dan Argentina mara, nasib Belanda belum pasti

BRAZIL, Argentina dan Itali meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir acara bola sepak Sukan Olimpik Beijing selepas menang perlawanan kedua peringkat kumpulan masing-masing semalam.

Brazil menang bergaya 5-0 ke atas New Zealand, manakala Argentina mengatasi Australia 1-0. Itali pula menundukkan Korea Selatan 3-0.

Ketiga-tiga pasukan terbabit turut menang perlawanan pembukaan masing-masing untuk mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan.

Begitupun nasib Belanda dalam kumpulan B masih belum pasti apabila mencatat keputusan seri kedua selepas diikat 2-2 oleh Amerika Syarikat.

Pada perlawanan pertama, Belanda seri tanpa jaringan dengan Nigeria.

Amerika mendahului kumpulan B dengan empat mata, sama dengan Nigeria, manakala Belanda sekadar di tangga ketiga dengan dua mata.

Lagi laporan berkaitan:

Olimpik: Brazil, Argentina mara ke suku akhir

Olimpik: Sentuhan Ronaldinho belum pudar

Langkah bergaya Manchester United

MANCHESTER United memulakan langkah bergaya bagi mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila muncul juara Piala Perisai Kemasyarakatan selepas menewaskan Portsmouth malam tadi.

Perlawanan yang menemukan juara Liga Perdana England itu dengan Portsmouth selaku juara Piala FA menyaksikan anak buah Alex Ferguson menang 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Terdahulu, pada aksi di Stadium Wembley, kedua-dua pasukan gagal mencipta sebarang jaringan dan sekadar berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan selepas berakhirnya 90 minit perlawanan.

Penjaga gol antarabangsa Belanda, Edwin Van der Sar muncul wira United selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti Arnold Mvuemba.

Dua lagi sepakan penalti Portsmouth yang diambil Lassana Diarra dan Glen Johnson sekadar melepasi palang gol.

Sebaliknya, tiga pemain United, Carlos Tevez, Ryan Giggs dan Michael Carrick masing-masing bijak memperdayakan penjaga gol Portsmouth, David James.

Lagi laporan klik di sini: Manchester United juara Perisai Kemasyarakatan 2008

Kelantan julang Piala Belia 2008

KELANTAN berjaya menundukkan juara bertahan, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 3-1 untuk muncul juara edisi terakhir kejohanan Piala Belia di Stadium Sultan Mohd ke-IV, semalam (10 Ogos).

Kemenangan itu bagaimanapun tidak mudah buat skuad belia Kelantan apabila terpaksa mengharungi 30 minit masa tambahan sebelum ditabalkan selaku juara.

Kemenangan itu sekurang-kurangnya mengubati kegagalan pasukan negeri dalam kempen Piala Malaysia apabila hanya mampu menduduki tangga keempat kumpulan A.

Kelantan merobek gawang SSBJ yang juga juara bertahan seawal minit ke-9 menerusi Muhd Farhan Yaakub. Namun Saiful Ridzuan Selamat mengimbangi kedudukan pada minit ke-60.

Biarpun mengatur gerak ke kubu lawan, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan, memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Berita penuh klik di sini: Kelantan juara Piala Belia 2008

Piala Malaysia: Empat pasukan buat perhitungan

BOLEH dikatakan tiada kejutan berlaku setelah berakhirnya saingan peringkat suku akhir Piala Malaysia, kelmarin kecuali penyingkiran MyTeam yang pada awalnya kelihatan selesa untuk meneruskan kemaraan.

Sebaliknya pasukan kelab itu tunduk kepada Johor FC dengan aggregat 4-6, biar pun MyTeam memenangi perlawanan pusingan pertama dengan keputusan 3-1.

Seperti dijangka dua finalis Piala FA musim ini, Kedah dan Selangor terus mara untuk membuat perhitungan di peringkat separuh akhir.

Satu lagi pasukan yang mara ke separuh akhir ialah Terengganu selepas berjaya menyingkirkan bekas juara, Perlis menerusi penentuan penalti dramatik di Stadium Utama, Kangar.

Di Separuh akhir nanti, Kedah akan bertemu Terengganu manakala Selangor membuat perhitungan dengan Johor FC.

Lagi laporan berkaitan:

Keputusan Suku Akhir Piala Malaysia

Selangor, Kedah mara separuh akhir, MyTeam kecundang

Jadual Piala Malaysia - Separuh Akhir

Berita Piala Malaysia