Thursday, January 31, 2008

Le Roy tekad bawa Ghana muncul juara

Sedar risiko dipecat andai tuan rumah gagal

JURULATIH Ghana, Claude Le Roy bertekad untuk membawa pasukan bimbingannya, Ghana menjuarai Kejohanan Bola Sepak Negara Afrika tahun ini.

Ini kerana beliau menjangkakan dirinya akan dipecat jika Ghana yang menjadi tuan rumah kejohanan dua tahun sekali itu gagal memenangi Piala Negara-Negara Afrika.

"Jika kami tidak menjadi juara, saya pasti seorang jurulatih baru akan menggantikan tempat saya,' katanya.

"Keinginan saya ialah kekal di sini dan membuat persiapan untuk Piala Dunia 2010. Saya fikir Ghana boleh melakukan sesuatu. Tetapi saya faham perjanjian saya dan ia adalah untuk memenangi piala ini," kata jurulatih dari Perancis itu.

Le Roy merupakan jurulatih Cameroon semasa negara itu muncul juara pada kejohanan 1988.

Beliau juga memimpin Cameroon ke final 1986 dan menjadi jurulatih Senegal dalam kejohanan 1990 dan 1992, sebelum berpindah ke Republik Demokratik Congo untuk kejohanan 2006.

Ghana dijadualkan menentang Nigeria di Accra dalam suku akhir yang akan berlangsung Ahad ini.

Sementara itu pemain Chelsea, John Obi Mikel berkata, Nigeria harus menikmati kejayaan mereka layak ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika sebelum memikirkan pertemuan mereka dengan pasukan tuan rumah, Ghana.

Pemain midfield itu menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi untuk membantu Super Eagles (gelaran Nigeria) mengalahkan Benin 2-0 sementara Mali, yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara terus, kecundang 3-0 di tangan Ivory Coast kelmarin.

"Kami sedar peluang kami adalah 50-50," kata Mikel.

"Jadi, kami bermain dengan agresif kerana kami sedar bahawa kami perlukan kemenangan dalam perlawanan ini. Sekarang kami semua gembira dan kami mahu menikmati detik-detik ini.

"Kemudian, kami akan tidur nyenyak dan kami akan fikirkan pertemuan suku akhir menentang Ghana apabila bangkit nanti.

Jurulatih Nigeria dari Jerman, Berti Vogts, yang menghadapi bidasan selepas persembahan buruk apabila kalah 0-1 kepada Ivory Coast dan seri tanpa jaringan dengan Mali, tidak menghadiri sidang akhbar tersebut.

Sebaliknya, penolong jurulatih, Augustine Eguavoen, memberitahu wartawan: "Kami adalah antara pasukan yang terbaik di dunia. Jadi, semua pasukan mempunyai motivasi tambahan apabila mereka menentang Nigeria. Ia sungguh sukar tetapi akhirnya kami mara terus," katanya.

Keputusan Perlawanan

Sila Klik Link Di Bawah Untuk Keputusan Perlawanan Bola Sepak Terkini:

Keputusan EPL
Keputusan Piala Dunia
Keputusan Liga Juara Eropah
Keputusan Liga Sepanyol
Keputusan Liga Itali
Keputusan Piala Malaysia
Klik Di Sini Untuk Jadual Perlawanan Terkini
Klik Di Sini Untuk Keputusan Bola Terkini

Wednesday, January 30, 2008

Liga Perdana Inggeris: Arsenal di puncak liga

Manchester perlu tewaskan Portsmouth untuk kembali terajui liga

BINTANG Arsenal, Emmanuel Adebayor sekali lagi memain peranan utama di sebalik kejayaan skuad The Gunners membelasah Newcastle 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Lebih manis kemenangan itu membolehkan barisan bimbingan Arsene Wenger itu merampas kedudukan tangga teratas EPL daripada Manchester United yang hanya akan berentap awal pagi esok dengan Portsmouth di Old Trafford.

Bagaimanapun Red Devils boleh merampas kembali kedudukan itu seandainya mereka menewaskan Portsmouth pagi esok.

Arsenal yang mengharungi tujuh perlawanan tanpa kalah sebelum pertemuan dengan Newcastle menguasai sepenuhnya pertembungan itu lebih-lebih lagi beraksi di halaman sendiri.

Kemenangan itu juga hadir dalam tempoh empat hari selepas anak buah Wenger turut menang dengan keputusan serupa dengan lawan sama pada pertemuan ulangan pusingan keempat Piala FA.

Pemain Togo, Emmanuel Adebayor yang tidak beraksi pada Kejohanan Piala Afrika di Ghana sekali lagi memain peranan utama di sebalik kemenangan cemerlang itu.

Penyerang itu menanduk masuk gol pertama Arsenal hasil hantaran lintang rakan sepasukan Mathiew Flamini di minit ke-40 sebelum pemain Perancis itu menyempurnakan jaringan kedua di minit ke-72.

Pemain muda Sepanyol, Francesc Fabregas menambahkan lagi derita buat pasukan bimbingan Kevin Keegan itu apabila beliau menyempurnakan hantaran Bendtner 10 minit sebelum perlawanan sebenar tamat.

Dalam perlawanan berasingan Bolton sekadar seri tanpa jaringan dengan Fulham, Middlesbrough menewaskan Wigan 1-0 dan Sunderland mengatasi Birmingham City 2-0.

Dengan kemenangan itu Arsenal menerajui liga dengan memungut 57 mata, diikuti Manchester, 54, Chelsea, 50 dan Everton di tangga keempat dengan 42 mata.

Piala FA England: Arsenal, United berentap lagi

Manchester miliki kelebihan selaku tuan rumah

PELUANG dua pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memburu tiga kejuaraan dalam satu musim berdepan tugas getir apabila bakal bertemu sesama sendiri pada pusingan kelima Piala FA selepas undian kelmarin.

Situasi berkenaan menyaksikan salah satu pasukan bakal tersingkir daripada kejohanan bola sepak kalah mati tertua didunia itu.

United yang hanya mempunyai kelebihan jaringan untuk mendahului takhta liga EPL bersaing hebat dengan pasukan bimbingan Arsene Wenger itu dalam tiga kejohanan utama.

Selain Piala FA dan pemburuan mahkota kejuaraan EPL, kedua-dua pasukan turut bersaing di peringkat kalah mati Kejohanan Liga Juara-Juara Eropah.

Bagaimanapun dengan undian terbaru itu akan menyaksikan salah satu pasukan tersebut bakal tersingkir sebelum mereka mara ke suku akhir.

Bagaimanapun sedikit kelebihan dimiliki United apabila diundi sebagai tuan rumah bagi pertemuan tersebut.

Pasukan Alex Ferguson yang tewas dalam final musim lalu sudah menjulang trofi itu sebanyak 11 kali manakala Arsenal, 10.

Pada final Piala FA dua tahun lalu, Arsenal menewaskan United, 5-4 menerusi penentuan penalti yang kali pertama digunakan pada kejohanan itu di Stadium Millennium, Cardiff, selepas kejayaan menewaskan skuad Red Devils, 3-2 pada final mendebarkan di Wembley pada 1979.

Bekas pemain Arsenal dan United, Frank Stapleton, pemain yang membantu skuad Gunners mengatasi Red Devils 3-2 pada final Piala FA 1979 sebelum menyertai Old Trafford, memberitahu Sky Sports kelebihan beraksi di tempat sendiri akan menyebelahi United:

“Apabila anda beraksi pada undian peringkat ini dan anda mendapat pasukan yang besar, anda mahu mendapat undian di tempat sendiri, ia satu kelebihan yang besar,” katanya.

Hanya enam pasukan EPL mara ke kelompok 16 pasukan terakhir dengan empat skuad terbaik iaitu Arsenal, Chelsea, Liverpool dan United, menguasai Piala FA sejak kejayaan Everton pada 1995.

Juara bertahan, Chelsea beraksi di tempat sendiri menentang Huddersfield, pasukan divisyen ketiga bola sepak Inggeris selepas menjulang Piala FA pada 1992.

Sementara juara tujuh kali, Liverpool, yang dua kali ketinggalan pada pertemuan di Anfield kepada pasukan liga bawahan, Havant & Waterlooville sebelum menang, 5-2, turut beraksi di Anfield menentang pasukan divisyen kedua, Barnsley.

Bryan Robson bakal kembali ke pangkuan pasukan EPL, Middlesbrough, kelab pertama kendaliannya selaku pengurus dengan Sheffield United.

Kelab kejuaraan itu bakal memburu baki tiket berikutnya selepas menang, 2-1 ke atas Manchester City, kelmarin.

“Ia satu undian menarik. Setiap pasukan sekarang mungkin sedang memikirkan peluang menjuarainya,” kata Robson, bekas pemain tengah England yang pernah tiga kali menjulang Piala FA sebagai pemain ketika menjadi kapten Manchester United.

Kelab semakin meningkat dalam EPL, Portsmouth dilihat antara pasukan yang mampu memecah dominasi skuad ’Empat Terbaik’ Piala FA dan mereka bakal mengetahui kesudahan impian untuk menjulang piala itu buat kali pertama sejak 1939 apabila mengunjungi kelab bergelut dalam liga kejuaraan, Preston North End.

Sekurang-kurangnya, dua kelab kejuaraan bakal melangkah ke suku akhir selepas pendahulu, West Browmich Albion diundi berkunjung ke Coventry City manakala Cardiff berdepan Wolves dalam perlawanan yang menyaksikan pengurus skuad Welsh itu, Dave Jones bakal berdepan kelab lamannya.

Southampton, salah satu kelab kejuaraan masih meneruskan saingan dan selaku juara Piala FA 1976, mereka menanti kunjungan pasukan divisyen ketiga, Bristol Rovers, kelab ranking terbawah dalam undian.

Piala Afrika: Ivory Coast kekal rekod tanpa kalah

Kekalahan Mali bantu Nigeria layak

IVORY Coast muncul pasukan kedua selepas tuan rumah, Ghana layak ke suku akhir dengan rekod kemenangan 100% apabila membenam Mali 3-0 di Accra, awal pagi tadi.

Gol-gol jaringan Didier Drogba, Marc Zoro dan Boubacar Sanogo memastikan finalis 2006 itu mengekalkan rekod tanpa kalah dan bakal bertemu naib juara Kumpulan A, Guinea di peringkat suku akhir.

Kemenangan itu juga menyelamatkan pasukan favorite, Nigeria daripada tersingkir awal yang memungut mata sama dengan saingan terdekat, Mali, hanya perbezaan jaringan yang kecil menyaksikan skuad The Super Eagles itu mara ke saingan lapan terakhir.

Bintang Chelsea, John Obi Mikel muncul wira Nigeria apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi peluang membolehkan mereka menewaskan Benin 2-0 sekaligus menyingkirkan Mali daripada saingan kalah mati yang terpaksa berpuashati sekadar di tempat ketiga.

Bagaimanapun mereka bakal berdepan tugas sukar apabila diundi bertemu pasukan tuan rumah kejohanan, Ghana yang menjuarai Kumpulan A di saingan suku akhir kelak.

Tuesday, January 29, 2008

Piala Afrika: Ghana, Guinea ke suku akhir

Morocco tersingkir dari saingan

TUAN rumah Kejohanan Piala Afrika, Ghana mara ke suku akhir dengan mengekalkan rekod sempurna apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut menewaskanMorocco dua gol tanpa balas sekaligus menjuarai Kumpulan A dengan sembilan mata.

Turut mengiringi kemaraan Ghana ialah Guinea yang sekalipun terikat 1-1 dengan Namibia, namun berjaya mengatasi pencabar terdekat, Morocco dengan kelebihan satu mata untuk menduduki tempat kedua kumpulan.

Morocco di tempat ketiga dengan tiga mata diikuti Namibia satu mata.

Di Accra, Ghana membuka jaringan menerusi bintang Chelsea, Michael Essien di minit ke-26 bermula daripada sepakan percuma Sulley Muntari.

Pemain tengah itu kemudiannya mencipta satu lagi gerakan untuk jaringan kedua bagi membantu Ghana menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan mata maksimum selepas tiga perlawanan.

Ghana, yang akan terus kekal beraksi di ibu negara, Accra untuk perlawanan suku akhir, Ahad ini, akan berdepan naib juara Kumpulan B - berkemungkinan besar Mali sekalipun mereka juga mungkin berdepan musuh ketat, Nigeria.

Beraksi di depan penyokong yang memenuhi stadium di Accra, Sulley Muntari mencipta gerakan untuk Essien bagi gol pembukaan pada minit ke-26 melalui sepakan percuma yang disambut baik pemain tengah itu.

Essien membalas jasa rakan sepasukannya itu apabila melepasi barisan pertahanan Maghribi pada minit ke-45 sebelum membuat lorongan kepada Muntari untuk menjaringkan gol keduanya pada kejohanan itu, sekaligus menyingkirkan Morocco daripada saingan kalah mati.

“Kami mengambil keputusan sebelum perlawanan untuk melakukan serangan demi serangan. Kami membuat keputusan memberikan lebih banyak ruang kepada Essien untuk mengawal keadaan serta mara ke depan,” kata jurulatih Ghana, Claude Le Roy.

Jurulatih Maghribi, Henri Michel, yang mengendalikan Ivory Coast ke final Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika di Mesir pada 2006, berkata: “Kami perlu memandang ke depan dan membentuk satu skuad baru.”

Skuad Afrika Utara itu gagal melepasi halangan pertama buat kali kedua berturut-turut pada kejohanan itu.

Sementara itu Guinea berjaya memungut satu mata penting untuk ke kelompok lapan pasukan terakhir dengan mengikat Namibia 1-1.

Pasukan Robert Nouzaret itu membuka jaringan melalui Souleymane Youla pada minit ke-62 sebelum Namibia menyamakan kedudukan 11 minit sebelum perlawanan berakhir melalui jaringan kedua Brian Brendell di kejohanan itu.

Monday, January 28, 2008

Bola Sepak Piala Negara Afrika 2008

Angola cipta kejutan benam Senegal 3-1

TUNISIA dan Angola mencerahkan peluang untuk ke peringkat suku akhir apabila menumpaskan lawan masing-masing pada perlawanan Kumpulan D Kejohanan Bola Sepak Piala Negara-Negara, awal pagi tadi.

Paling mengejutkan kejayaan Angola menewaskan Senegal 3-1 selepas ketinggalan 0-1 pada babak pertama.

Ketiga-tiga gol Angola dijaringkan pada separuh kedua menerusi pemain Manchester United, Alberto Manucho di minit ke-50 dan 67 serta Amado Flavio 12 minit sebelum wisel penamat.

Gol tunggal Senegal dijaringkan Abdoulaye Faye di minit ke-20.

Sementara itu tuan rumah Piala Dunia 2010, Afrika Selatan di ambang tersingkir awal daripada kejohanan susulan kekalahan 1-3 di tangan Tunisia.

Pasukan bimbingan Carlos Alberto Pareira itu kini berada di tangga tercorot kumpulan dengan mengutip satu mata daripada dua perlawanan.

Mereka perlu menang pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Senegal Khamis ini (awal pagi Jumaat) sambil berharap pertemuan antara Tunisia dan Angola tidak berakhir dengan keputusan seri.

Real Madrid semakin selesa di puncak liga

Dua gol jaringan Robinho benam Villareal

JUARA bertahan Liga Primera Sepanyol, Real Madrid melebarkan jurang mata dalam carta kepada sembilan susulan kemenangan bergaya 3-2 ke atas pasukan tangga ketiga, Villareal serta kegagalan pesaing terdekat Barcelona mengutip tiga mata penuh.

Penyerang Brazil, Robinho menjaringkan dua gol manakala pemain gantian, Wesley Sneijder melengkapkan kemenangan buat Real di minit ke-77.

Villareal yang masih segar dengan kekalahan besar 5-0 di tempat sendiri kepada Real pada awal musim kekal di tempat ketiga dengan 38 mata.

Barcelona yang diikat 1-1 oleh pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Athletic Bilbao, di tempat kedua dengan 44 mata, ketinggalan sembilan mata di belakang Real.

Sementara itu penyerang Sevilla, Luis Fabiano mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu senarai penjaring gol apabila menyumbat gol kemenangan pasukannya melalui sepakan penalti penghujung perlawanan untuk mencatat kemenangan penting 2-1 mengatasi Osasuna.

Dengan kemenangan itu, Sevilla, yang menduduki tangga kedua liga pada tempoh sama musim lalu naik ke tangga ketujuh untuk menghampiri tempat kelayakan beraksi dalam slot Piala Uefa.

Serie A Itali - Kelibat Pato semakin digeruni

Jaringan pemain muda Brazil lonjak Milan

JUARA Eropah, AC Milan memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Serie A Itali selepas menewaskan pasukan pertengahan, Genoa 2-0 di San Siro malam tadi.

Pemain muda berbakat dari Brazil, Alexandre Pato menjaringkan kedua-dua gol Milan pada separuh masa kedua sekaligus memberi kelegaan kepada barisan kendalian Carlo Ancelotti selepas mempamer aksi hambar di awal musim.

Pato menanduk masuk hantaran Clarence Seedorf pada minit ke-69. Seminit kemudian, penjaga gol Genoa, Rubinho diarah keluar padang apabila dia keluar daripada kawasannya dan menggunakan tangan untuk menghalang Pato yang ketika itu bergerak secara solo menuju ke gawang lawan.

Pato menambah satu lagi gol pada minit ke-83 dengan menggelecek penjaga gol simpanan Genoa, Alessio Scarpi sebelum menyepak masuk gawang ternganga.

Sebelum ini, Pato turut menjaringkan gol dalam perlawanan sulungnya di San Siro dua minggu lalu dan Milan kini menang dua perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri selepas mengharungi tujuh perlawanan awal tanpa kemenangan di tempat sendiri.

Sementara itu penyandang juara, Inter Milan yang beraksi dengan 10 pemain kehilangan mata penting apabila sekadar seri 0-0 dengan Udinese.

Pemain tengah Inter dari Brazil, Cesar menerima dua kad kuning dalam tempoh 30 saat untuk dilayangkan kad merah pada minit ke-21 di Sadium Friuli.

Inter sebenarnya berpeluang menang, tapi Esteban Cambiasso, Julio Ricardo Cruz dan Zlatan Ibrahimovic masing-masing gagal memanfaatkan setiap peluang terhidang.

Keputusan seri bermakna Udinese kini muncul pasukan tunggal yang tidak mampu dikalahkan Inter dalam tempoh dua musim.

Bagaimanapun, Inter masih belum kecundang dalam liga sejak menentang AS Roma pada April tahun lalu yang menyaksikan mereka menang 20 dan enam seri.

Inter masih mendahului carta liga dengan 50 mata diikuti AS Roma yang menewaskan Palermo 1-0 dengan 45. Manakal Juventus dan Fiorentina masing-masing terikat dengan 37 mata di tangga ketiga dan keempat.

Sunday, January 27, 2008

Bola Sepak Piala Afrika: Cameroon hidup peluang ke suku akhir

Eto'o selangkah pecah rekod penjaring terbanyak sepanjang masa

BEKAS juara empat kali, Cameroon kembali mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan suku akhir selepas membenam Zambia 5-1 pada saingan Kumpulan C awal pagi tadi.

Selepas tewas kepada juara bertahan, Mesir 2-4 pada perlawanan pembukaan, skuad The Lions tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan Zambia.

Kejayaan besar tersebut menjadi lebih bermakna apabila penyerang terbaiknya, Samuel Eto'o menyamai rekod jaringan sepanjang masa kejohanan itu apabila menyempurnakan gol keempat pasukan menerusi sepakan penalti.

Gol tersebut juga adalah yang ketiga buat Eto'o di Ghana menjadikan jaringan keseluruhan dihasilkan sepanjang penyertaannya dalam kejohanan tersebut kepada 14.

Jika beliau berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Sudan Rabu (awal pagi Khamis) ini bermakna penyerang Barcelona itu akan memecah rekod kejohanan berusia 38 tahun sebagai penjaring terbanyak Piala Negara-Negara Afrika milik pemain Ivory Coast, Laurent Pokou yang dcipta pada 1970.

Sementara itu penyandang juara, Mesir meneruskan rentak cemerlang dengan menang bergaya ke atas Sudan 3-0 untuk mencerahkan peluang mengekal kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Juara bertahan itu mengatasi kekentalan Sudan apabila mendahului pasukan lawannya menerusi jaringan penalti Hosni Abd Rabou di separuh masa pertama sebelum menambah dua gol kilat melalui pemain gantian, Mohamed Aboutrika, selepas permainan diteruskan dalam separuh masa kedua.

Sudan menyajikan persembahan bersemangat pada awal permainan tetapi sebaik sahaja penjaga gawangnya, Mahjoub El Moez melakukan kesilapan memberi tendangan penalti, Mesir terus menguasai perlawanan.

Bola Sepak Piala FA England

Arsenal bangkit tewaskan Newcastle, Liverpool benam Havant 5-2

THE Gunners bangkit daripada kekalahan memalukan hujung minggu lalu dengan membenam Newcastle United 3-0 pada saingan pusingan keempat Piala FA England di Stadium Emirates malam tadi.

Semua gol kemenangan Arsenal dijaringkan pada separuh masa kedua menerusi Emmanuel Adebayor di minit ke-51 dan 83, manakala gol ketiga hasil jaringan sendiri pemain Newcastle, Nicky Butt di minit ke-89.

Sementara itu jaringan hatrik Yossi Benayoun membantu Liverpool membenam Havant 5-2 di Anfield, Middlesbrough pula menewaskan Mansfield 2-0,

Pasukan Liga Perdana, Derby County tewas mengejut di tempat sendiri kepada Preston North 1-4, Portsmouth menewaskan Plymouth 2-1.

Penyandang juara, Chelsea menewaskan Wigan 2-1 hasil jaringan Nicolas Anelka dan Shaun Wright-Phillips.

Saturday, January 26, 2008

Bola Sepak Piala Raja Sepanyol

Barcelona diikat Villareal 0-0

KETANGKASAN penjaga gol Barcelona, Victor Valdes menangkis percubaan-percubaan berbahaya menyelamatkan pasukannya daripada menerima kejutan di tangan Villarreal pada perlawanan pertama suku akhir Piala Raja Sepanyol (Copa Del Rey) semalam.

Kecekapan Valdes menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dan memberi kelebihan buat skuad Catalans itu menjelang pertemuan timbal balik kedua di Nou Cam Khamis ini.

Pada perlawanan semalam penjaga gawang utama Barcelona itu kelihatan lebih sibuk berbanding penjaga gawang Villarreal dalam pertarungan sengit itu, terutama dalam separuh masa pertama.

Beliau bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan berbahaya Villarreal menerusi Giuseppe Rossi dan Nihat Kahveci.

Villareal yang menewaskan Barcelona 3-1 dalam saingan Liga Primera pada Oktober lalu, kelihatan lebih tajam ketika melancar serangan.

Ini memaksa jurulatih Barcelona, Frank Rijkaard, menurunkan bintang muda Argentina, Lionel Messi, untuk menyemarakkan berisan serangannya.

Langkah itu menunjukkan hasil apabila Barcelona meningkatkan serangan dan Andres Iniesta hampir memecahkan kebuntuan apabila rembatannya terkena tiang dan satu percubaan jarak dekatnya diselamatkan.

Villarreal juga berpeluang memenangi perlawanan jika tidak kerana kecemerlangan Valdes menyelamatkan bola tendangan percuma Nihat pada minit terakhir permainan.

Sementara itu, Racing Santander menguasai permainan dalam pertarungan sengit dengan Bilbao tetapi hanya dapat membolosi gawang lawan pada minit ke-75 menerusi tandukan Mohamed Tchite.

Ebi Smolarek menambah jaringan empat minit kemudian meskipun ulang tayang televisyen menunjukkan beliau dalam kedudukan off-side ketika merembat bola umpanan Pablo Alvarez.

Dalam perlawanan lain kelmarin, Valencia dan finalis tahun lalu, Getafe, masing-masing menang 1-0 ke atas Atletico Madrid dan Real Mallorca.

Bola Sepak Piala Negara Afrika 2008

Skuad 'The Elephants' pasukan pertama layak ke suku akhir

Ketua pasukan, Didier Drogba mengemudi Ivory Coast muncul pasukan pertama daripada 16 pasukan yang bertanding layak ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Negara-Negara Afrika.

Kejayaan itu hadir ekoran kegagalan pasukan pilihan, Nigeria menewaskan Mali pada perlawanan kedua Kumpulan B awal pagi tadi. Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sekaligus menyulitkan peluang skuad 'The Eagles' untuk ke suku akhir.

Skuad The Elephants itu mengumpul maksimum enam mata daripada dua perlawanan selepas menang besar ke atas Benin 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Sekondi pagi tadi dan tempat ke suku akhir sudah terjamin sekalipun jika mereka tewas pada perlawanan terakhir kumpulan.

Bintang Chelsea, Didier Drogba menyumbat gol pertama pada minit ke-40 diikuti jaringan Yaya Toure seminit sebelum babak pertama berakhir.

Abdelkader Keita dan Aruna Dindane kemudiannya menambahkan lagi derita Benin apabila membocori gawang lawan untuk gol ketiga dan keempat Ivory Coast pada minit ke-53 dan 63.

Sementara itu hasrat Nigeria menebus kekalahan di tangan Ivory Coast pada perlawanan pembukaan tidak kesampaian apabila hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Mali.

Sehubungan itu mereka perlu menewaskan Benin pada perlawanan terakhir kumpulan dengan jaringan besar sekiranya mahu melayakkan ke saingan kalah mati sambil berharap Mali gagal menewaskan Ivory Coast.

Friday, January 25, 2008

Bola Sepak Piala Afrika 2008

Guinea kejutkan Morocco 3-2

Tiga pasukan kumpulan A berpeluang mara ke suku akhir

KEJAYAAN Guinea mengejutkan Morocco 3-2 menjadikan persaingan Kumpulan A terbuka buat tiga pasukan merebut dua slot ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Negara-Negara Afrika.

Bagaimanapun tuan rumah kejohanan kali ini, Ghana mempunyai peluang lebih cerah apabila hanya memerlukan satu mata untuk ke pusingan kalah mati.

Morocco yang sebelum ini membenam Namibia 5-1 pada perlawanan pembukaan kumpulan dikejutkan jaringan awal minit ke-11 menerusi sepakan percuma pemain tengah pasukan lawan, Pascal Feindouno.

Guinea kekal mendahului 1-0 sehingga berakhir babak pertama.

Ketua pasukan Guinea itu sekali lagi bertindak cemerlang apabila bola umpanannya berjaya disudahkan dengan baik oleh Ismael Bangoura untuk gol kedua Guinea.

Bagaimanapun selang seminit kemudian Morocco bingkas merapatkan jurang gol menerusi Hicham Aboucherouane.

Hanya tiga minit kemudian Guinea sekali lagi selesa di depan apabila Souleymane Youla dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh pemain lawan, Michael Basser.

Feindouno berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga Guinea dan jaringan kedua peribadinya pada malam itu.

Bagaimanapun Feindouno tidak bernasib apabila diperintah keluar padang empat minit kemudian kerana mengasari pemain lawan.

Beraksi dengan 10 pemain dengan permainan berbaki 20 minit Guinea kental bertahan sebelum pemain pertahanan Morocco, Abdelslam Ouaddou berjaya menambah gol kedua pasukannya, namun segalanya telah terlambat untuk mengubah keputusan.

Dalam satu lagi perlawanan, tuan rumah, Ghana berjaya mengutip tiga mata apabila menundukkan pasukan tercorot kumpulan, Namibia 1-0 untuk mengungguli Kumpulan A dengan enam mata maksimum.

Namibia yang tewas perlawanan pembukaan di tangan Morocco di tangga keempat tanpa sebarang mata.

Ghana hanya memerlukan keputusan dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Morocco untuk layak ke saingan suku akhir.

Chelsea buru kejuaraan ketiga Piala Carling

Persembahan cemerlang Petr Cech bawa Chelsea ke final ketiga dalam tempoh empat musim

PASUKAN tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, Chelsea berada di landasan tepat untuk merangkul trofi pertama musim ini selepas mempamer aksi konsisten dalam beberapa perlawanan terakhir.

Lebih menakjubkan persembahan hebat penjaga gol utama, Petr Cech yang kembali di tahap aksi terbaik selepas mengalami penurunan prestasi akhir-akhir ini.

Jurulatih Chelsea, Avram Grant percaya penjaga gawang utama pasukannya itu kembali ke tahap terbaik yang menjulang beliau sebagai penjaga gol terbaik dunia.

Tanpa berselindung Grant menamakan Cech sebagai tulang belakang kejayaan Chelsea mara ke final Piala Carling ketiga dalam tempoh empat tahun terakhir selepas membenam kelab sejiran, Everton 1-0 di Goodison Park semalam.

Chelsea mara ke perlawanan akhir dengan kemenangan agregat 3-1 selepas menang 2-1 pada perlawanan pertama di Stamford Bridge.

Jaringan cemerlang Joe Cole mematikan harapan Everton untuk bangkit daripada kekalahan 1-2 dalam pertemuan pertama peringkat separuh akhir.

Pemain midfield itu dengan cekap mengawal umpanan Florent Malouda sebelum merembat bola yang menewaskan penjaga gawang Everton dari Amerika Syarikat, Tim Howard.

Keputusan tersebut menghancurkan impian Everton untuk tampil buat pertama kali dalam pertandingan akhir domestik sejak lapan tahun.

“Petr sekali lagi menunjukkan dia berada dalam senarai penjaga gol terbaik dunia. Dia tidak melakukan walau satu kesilapan pun,” kata Grant.

“Dia terpaksa berjaga malam, bercakap kepada keluarganya melalui telefon di Prague. Dia gembira dengan kehadiran bayi barunya dan gembira dengan keadaan isterinya.

“Selepas melalui emosi itu, dia masih mampu beraksi pada permainan seperti ini untuk membawa Chelsea ke Wembley.” tambahnya.

Chelsea hanya tinggal satu perlawanan sahaja lagi untuk mengekalkan Piala Carling dan meraih trofi pertama mereka sejak Grant mengambil alih tugas Jose Mourinho sebagai pengurus.

Lawan Chelsea di final yang dijadual bulan depan di stadium Wembley juga kelab London, Tottenham Hotspurs yang menang besar ke atas Arsenal 5-1 sehari sebelum perlawanan Chelsea-Everton.

The Blues masih kekal berada dalam persaingan merebut mahkota EPL dan pada masa yang sama turut memburu kejuaraan Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah.

Grant berkata: “Setiap orang perlu menghormati apa dilakukan Chelsea sejak beberapa bulan lalu. Kami menang banyak perlawanan, bukan sekadar liga, tapi juga dalam Liga Juara-Juara dan kejuaraan lain.

“Ia bukan satu tugas mudah, kami beraksi tanpa ramai pemain utama. Ramai menjangkakan kami tidak akan berjaya sepertimana sebelum ini tapi kami kini berada di final di Wembley. Kami hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga perdana dan mara ke pusingan seterusnya dalam Liga Juara-Juara. Saya gembira,” katanya.

Bola Sepak Serie A Itali

Kekalahan mengejut jejas kedudukan Milan

SELEPAS menang besar ke atas pasukan pertengahan liga, Napoli 5-2 minggu lalu, prestasi juara Eropah, AC Milan kembali merudum berikutan kekalahan mengejut kepada Atalanta 2-1 dalam saingan Serie A Itali semalam.

Berikutan situasi tersebut, peluang untuk sekurang-kurangnya berada di tangga keempat liga iaitu slot terakhir ke saingan Liga Juara-Juara musim depan makin terjejas walaupun masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan.

Kekalahan itu menyaksikan mereka menduduki tangga ke-10, mengutip 24 mata daripada 17 perlawanan, ketinggalan 25 mata di belakang pendahulu, Inter Milan dan 10 mata di belakang pasukan tangga keempat, Fiorentina.

Sehubungan itu bos Milan, Carlo Ancelotti mahu juara Kelab Dunia Fifa itu segera bangkit dengan menewaskan Genoa di tempat sendiri, Ahad ini.

“Kami perlu memandang ke depan kerana masih banyak perlawanan untuk diharungi serta cara untuk kembali bersaing,” kata Ancelotti.

“Kami kini menumpukan perhatian terhadap setiap perlawanan, tapi kami perlu belajar bersikap lebih sinis dalam sesetengah perlawanan.

Pemain baru dari Brazil, Pato adalah salah seorang pemain mendapat perhatian Ancelotti yang diperlukan untuk lebih agresif.

Penyerang muda itu dipanggil buat pertama kali membarisi skuad utama Brazil kelmarin, bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Ireland di Dublin, 6 Februari depan dan terlepas peluang terbaik menjaringkan gol sewaktu Milan mendahului 1-0 di Atalanta.

Genoa, menang tiga perlawanan terakhir liga bakal berkunjung ke San Siro tanpa pemain pertahanan digantung perlawanan, Domenico Criscito.

Sementara itu juara bertahan, Inter Milan yang masih belum tewas, kini dalam misi melebarkan penguasaan sembilan kemenangan berturut-turut dalam Serie A apabila mengunjungi pasukan tangga kelima, Udinese.

Penyerang antarabangsa Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang menjaringkan dua gol lewat ketika Inter menang 3-2 ke atas Parma, minggu lalu, dijangka kembali beraksi selepas direhatkan ketika pasukannya seri 2-2 sewaktu menentang Juventus dalam saingan Piala Itali, kelmarin.

Pemain antarabangsa Argentina, Julio Cruz yang menjaringkan kedua-dua gol untuk pasukannya pada pertemuan pertama suku akhir menentang Juve, dilihat pilihan utama untuk bergandingan bersama Ibrahimovic di bahagian serangan.

Manakala pencabar terdekat Inter, AS Roma yang ketinggalan tujuh mata di belakang skuad juara itu, berharap mendapat semula khidmat kaptennya, Francesco Totti yang diserang selsema untuk menghadapi perlawanan menentang Palermo di tempat sendiri, esok.

Keputusan Perlawanan Bola Sepak Malam Tadi

Sila Klik Link Di Bawah Untuk Keputusan Perlawanan Bola Sepak Terkini:

Keputusan EPL
Keputusan Piala Dunia
Keputusan Liga Juara Eropah
Keputusan Liga Sepanyol
Keputusan Liga Itali
Keputusan Piala Malaysia
Klik Di Sini Untuk Jadual Perlawanan Terkini
Klik Di Sini Untuk Keputusan Bola Terkini

Thursday, January 24, 2008

Jadual Perlawanan Bola Sepak

Sila Klik Link Di Bawah Untuk Jadual Perlawanan Bola Sepak Terkini:

Jadual EPL
Jadual Piala Dunia
Jadual Liga Juara Eropah
Jadual Liga Sepanyol
Jadual Liga Itali
Jadual Piala Malaysia
Klik Di Sini Untuk Jadual Perlawanan Terkini
Klik Di Sini Untuk Keputusan Bola Terkini

Bola Sepak Piala Negara Afrika

Angola ikat Afrika Selatan, Senegal kongsi mata dengan Tunisia

AFRIKA Selatan dan Tunisia, terpaksa berpuashati dengan satu mata selepas diikat lawan masing-masing dalam perlawanan pertama Kumpulan D Kejohanan Piala Negara Afrika awal pagi tadi.

Afrika Selatan diikat 1-1 oleh Angola, manakala Tunisia berkongsi mata dengan Senegal selepas terikat 2-2.

Keputusan tersebut membolehkan kesemua empat pasukan berkongsi satu mata untuk menjadikan saingan lebih terbuka menjelang pertemuan kedua nanti.

Bola Sepak Piala Itali

Juve lega ikat Inter

PENDAHULU Liga Itali, Inter Milan terlepas peluang memenangi pertemuan dengan musuh ketat, Juventus apabila dua gol jaringan Del Piero dan Boumsong dalam tempoh enam minit di hujung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi suku akhir pertama Piala Itali awal pagi tadi.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain pada hampir keseluruhan permainan, skuad bimbingan Roberto Mancini itu masih mampu mendahului Juve dengan dua gol jaringan Julio Cruz di minit ke-54 dan 74.

Bagaimanapun Juve bangkit menyamakan kedudukan di hujung permainan menerusi jaringan bekas penyerang kebangsaan Itali, Del PIero pada minit ke-79 sebelum Boumsong menambah satu lagi gol menerusi tandukan lima minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Dua lagi pertemuan berkesudahan Roma berjaya diikat 1-1 dengan Sampdoria manakala Udinese mengalahkan Catania 3-2 di kandang sendiri.

Lazio akan bertemu Fiorentina dalam satu lagi pertemuan suku akhir pada awal pagi esok.

Wednesday, January 23, 2008

Copa Italia harapan realistik Juventus

JUVENTUS yang tidak beraksi di peringkat Eropah sedar bahawa harapan untuk merangkul kejuaraan Liga Serie A musim ini hampir pudar.

Berada di tempat ketiga carta liga bukanlah sesuatu yang buruk tetapi ketinggalan sedozen mata dengan pendahulu, Inter Milan boleh dikatakan agak mustahil untuk merampas kejuaraan yang terlepas dari genggaman dua musim lalu gara-gara skandal mengatur perlawanan.

Justeru pasukan yang dilatih bekas bos Chelsea itu mengambil serius kejuaraan Piala Itali, satu-satunya gelaran yang masih boleh dikejar mereka musim ini.

Bagaimanapun, tugas getir pastinya dihadapi buat anak buah Claudio Ranieri kerana lawan yang bakal ditentang bukan calang-calang pasukan, juara bertahan Serie A dan pendahulu carta liga ketika ini, Inter Milan.

Jika silap percaturan bermakna harapan untuk sekurang-kurangnya menjulang satu piala musim ini pasti berkecai.

Kedua-dua pasukan itu sudah membuktikan pada pusingan sebelum ini bahawa mereka tetap mengambil serius kejohanan itu dan bermain atas alasan berlainan.

Inter yang dibarisi ramai pemain barisan kedua, mahu membuktikan bahawa mereka sebenarnya layak untuk disenaraikan dalam skuad utama dan Piala Itali akan menjadi landasan terbaik mereka untuk membuktikan keupayaan masing-masing.

Perkara itu dibuktikan barisan Inter yang membenam Reggina 7-1 menerusi agregat pada pusingan sebelum ini manakala Juve bangkit daripada ketinggalan 2-1 pada perlawanan pertama dan mengatasi Empoli 5-3 sekali gus menempah tiket untuk bertemu pendahulu Serie A itu.

Inter mungkin turun selaku pasukan pilihan tapi Juventus pula membariskan pemain lebih berpengalaman.

Begitupun, jurulatih Juve, Claudio Ranieri tidak menjangka pasukannya akan meniti laluan mudah.

“Kami akan bermati-matian. Pada peringkat liga, kami sudah melakukan yang terbaik. Kami ketinggalan dan menyamakan kedudukan menerusi (Mauro) Camoranesi. Kami mahu layak ke pusingan seterusnya dan kami akan mengharunginya,” katanya.

Juve mengikat Inter dengan keputusan 1-1 di Turin menerusi jaringan Camoranesi yang menghampakan lawan yang membuka jaringan menerusi Julio Cruz.

Pada satu lagi perlawanan, Roma bertandang ke Sampdoria tapi akan bermain tanpa penyokong kerana mereka dilarang memasuki stadium Genoa.

Udinese menentang Catania manakala Lazio akan menanti kunjungan Fiorentina.

Perlawanan Malam Ini

Sila Klik Link Di Bawah Untuk Jadual Perlawanan Bola Sepak Terkini:

Jadual EPL
Jadual Piala Dunia
Jadual Liga Juara Eropah
Jadual Liga Sepanyol
Jadual Liga Itali
Jadual Piala Malaysia
Klik Di Sini Untuk Jadual Perlawanan Terkini
Klik Di Sini Untuk Keputusan Bola Terkini

Carling Cup: Ego Wenger tercalar

Spurs Akhiri rekod 21 perlawanan tanpa kemenangan di tangan Arsenal dengan bergaya
TOTTENHAM Hotspurs melangkah ke perlawanan akhir piala liga (Carling Cup) dengan bergaya apabila membenam pencabar kejuaraan Liga Perdana, Arsenal dengan kemenangan besar 5-1 di White Hart Lane, awal pagi tadi.

Pada perlawanan timbal balik pertama di Stadium Emirates kedua-dua pasukan terikat 1-1, menjadikan aggregat keseluruhan 6-2 buat anak buah Juande Ramos.

Kemenangan itu juga mengakhiri rekod buruk sepanjang 21 pertemuan dengan Arsenal sebelum ini di mana kali terakhir Spurs menewaskan anak buah Arsene Wenger pada tahun 1999.

Bermain di depan penyokong setianya, Spurs bermula baik apabila Jermaine Jenas menggegar gawang pelawat kira-kira tiga minit perlawanan berlangsung.

Manakala gol sendiri Nicklas Bendtner di minit ke-27 menambahkan lagi derita anak buah Arsene Wenger sebelum memasuki babak kedua.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk terus merobek gawang Arsenal menerusi percubaan Robbie Keane tiga minit perlawanan bersambung.

Aaron Lennon kemudiannya menambah gol keempat buat menggamatkan stadium dengan gerakan serangan balas pantas hasil hantaran Dimitar Berbatov.

Kemasukan penyerang Togo, Emmanuel Adebayor menggantikan Theo Walcott memberi sedikit kesan kepada barisan hadapan Arsenal dan berjaya merapat sedikit jurang di minit ke-70.

Bagaimanapun segalanya sudah terlambat buat The Gunners. Steed Malbranque melengkapkan kemenangan besar Spurs dengan gol kelima pada waktu kecederaan.

Piala Negara Afrika: Mesir beri amaran kepada pencabar


Benam cabaran Cameroon dengan bergaya

MOHAMED Zidane menjaringkan dua gol pada babak pertama buat juara bertahan, Mesir memulakan kempen mempertahan kejuaraan dua tahun lalu di landasan tepat apabila membenam pencabar utama dalam kumpulan C, Cameroon 4-2 di Kumasi awal pagi tadi.

Pemain tengah, Hosni Abd Rabou menyumbat gol pertama Mesir minit ke-14 menerusi sepakan penalti sebelum Zidane menambah jaringan tiga minit kemudian dan melengkapkan gol kedua peribadi pada masa kecederaan babak pertama.

Penyerang Barcelona, Samuel Eto'o merapatkan jurang buat Cameroon enam minit sebaik babak kedua bermula dan menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua peribadi di hujung permainan.

Kemenangan selesa itu sebagai amaran awal buat semua pencabar bahawa mereka serius dalam misi mempertahan kejuaraan dan isyarat jelas bahawa kemenangan merangkul trofi berprestij dua tahun lalu di halaman sendiri bukan kerana nasib.

'Kami datang ke sini bukan untuk mencukupkan bilangan pasukan yang bertanding, tapi kami datang dengan misi untuk mempertahankan trofi dua tahun dulu.

"Kami mengerah segenap tenaga kami, kami ingin berada di final sekali lagi," tegas Zidane.

Sementara itu, Zambia mencatat kemenangan besar mengatasi Sudan 3-0 untuk menerajui kumpulan C, mengatasi Mesir dengan kelebihan jaringan gol.

Gol-gol Zambia dihasilkan James Chamanga seawal minit kedua, diikuti Jacob Mulenga minit ke-51 sebelum Felix Katongo melengkapkan kemenangan di minit ke-60.

Tuesday, January 22, 2008

Piala Liga England (Carling Cup) - Separuh Akhir Kedua


Peluang Spurs akhiri rekod tanpa kalah dengan Arsenal
INILAH peluang terbaik Tottenham Hotspur mengakhiri rekod tanpa kalah dengan Arsenal dalam 20 pertemuan mereka sejak 1999.

Dan tempat ke pertandingan akhir Piala Liga tentu cukup untuk menjadi motivasi kuat kepada anak buah Juande Ramos mengakhiri penantian tersebut.

Arsenal tanpa tonggak pertahanan, Kolo Toure, di samping Johan Djourou dan Alexandre Song, yang terlibat dalam pertandingan Piala Negara-Negara Afrika di Ghana.

Tambahan pula, ia akan bermain di White Hart Lane dan selepas menyekat Arsenal 1-1 di Stadium Emirates, anak didik Ramos menjadi pilihan dalam perlawanan separuh akhir kedua malam ini (awal pagi esok).

Para pemain Spurs juga tentu belum dapat melupakan kekecewaan apabila Arsenal menyingkirkan mereka di peringkat yang sama pertandingan ini tahun lalu.

Spurs mendahului dua gol di padang sendiri dalam perlawanan separuh akhir pertama tetapi Arsenal bangkit menyamakan kedudukan 2-2.

Arsenal kemudian menang 3-1 dalam perlawanan kedua sebelum tewas kepada Chelsea dalam final.

Kekalahan tersebut cukup untuk menjadi peringatan kepada Spurs supaya lebih berwaspada sekalipun pengurus Arsenal, Arsene Wenger, seperti yang lazim dilakukannya, menurunkan ramai pemain simpanan.

Biar siapa juga yang membentuk kesebelasan Arsenal, Ramos dijangka menurunkan barisan terbaiknya untuk memanfaatkan peluang keemasan ini.

Jurulatih asal Sepanyol itu telah pun membayangkan akan menurunkan kesebelasan utamanya selepas merehatkan penyerang handalan, Dimitar Berbatov, Steed Malbranque dan kapten Ledley King ketika menang 1-0 ke atas Sunderland dalam perlawanan Liga Perdana Sabtu lalu.

Ramos juga mahu mengekalkan rekod cemerlangnya memenangi piala dengan menjulang Piala Uefa dua kali dan begitu juga Piala Sepanyol semasa memimpin Sevilla.

Tidak boleh dinafikan bahawa beliau mempunyai skuad yang berkualiti.

Selain Berbatov, Malbranque dan King, Spurs mempunyai bintang-bintang seperti Aaron Lennon, Jermaine Jenas, Jermaine Defoe, Pascal Chimbonda, Michael Dawson dan penjaga gawang Paul Robinson.

Tetapi pemain yang menjadi harapan Ramos untuk memenangi perlawanan ini ialah penyerang Republik Ireland, Robbie Keane, yang menjaringkan gol kemenangan Spurs ke atas Sunderland meskipun hanya beraksi selama 15 minit.

Gol kemenangan itu merupakan yang ke-100 bagi Keane. "Ia merupakan satu pencapaian yang hebat bagi dirinya, Tottenham dan semua keluarga Spur.

"Saya amat gembira bagi pihaknya kerana pencapaian ini tidak mudah dikecapi," kata Ramos.

Bukan saja Keane, Ramos pasti mengharapkan Berbatov dapat membuktikan kemampuan dan ketajaman sebenarnya - sejajar dengan reputasinya yang menjadi buruan beberapa kelab utama di England.

Sekalipun banyak fakta menyebelahi Spurs, yang menjadi tanda tanya ialah dapatkah para pemainnya mengikis perasaan rendah diri setiap kali berdepan dengan jirannya itu?

Jika hambatan ini dapat diatasi, para penyokong Spurs akan merayakan kunjungan mereka ke Wembley pada akhir perlawanan ini nanti.

Piala Negara Afrika 2008

Eto’o sandaran Cameroon robek gawang Mesir

JUARA bertahan, Mesir akan memulakan saingan bagi mempertahankan mahkota selaku juara Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika apabila berdepan ujian pertama menentang musuh ketat, Cameroon di Kumasi, hari ini (awal pagi esok).

Mesir kembali menyertai kejohanan itu dengan pasukan terbesar yang menang di tempat sendiri, dua tahu lalu tetapi pasukan itu mencetuskan kebimbangan terhadap kualiti benteng pertahanan dan mewujudkan ruang pada bahagian serangan berikutan ketiadaan penyerang Middlesbrough, Mido yang tidak beraksi pada kejohanan kali ini.

Lawan bakal dihadapi, Cameroon, mendapat semangat yang disemarakkan dengan kehadiran Samuel Eto’o yang memburu impian untuk memecahkan rekod jaringan terbanyak dilakukan pada kejohanan bola sepak terbesar negara Afrika.

Penyerang Barcelona itu hanya kekurangan tiga gol berbanding 14 gol dilakukan Laurent Pokou dari Ivory Coast yang bertahan sejak 38 tahun lalu.

Sudan dan Zambia beraksi dalam perlawanan lain Kumpulan C di stadium yang dipertingkatkan kualiti di bandar kedua terbesar di Ghana.

Ia penampilan pertama Sudan dalam tempoh 32 tahun dan sekalipun begitu menyerlah pada kempen kelayakan, mereka hanya diramal memiliki peluang tipis untuk menjuarai kejohanan ini.

Jurulatih Zambia, Patrick Phiri berkata, dia memiliki barisan menyeluruh sewaktu membuat persiapan menghadapi kejohanan ini dengan melalui beberapa perlawanan pemanas badan di Sepanyol, Tunisia dan Maghribi.

“Kami melakukan persiapan yang terbaik pernah kami lakukan untuk menghadapi kejohanan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Zambia memiliki penyerang utama, Chris Katongo dan pemain tengah, Isaac Chansa yang menjalani penggantungan dan tidak dapat beraksi pada perlawanan pembukaan.

Cameroon dan Mesir memperbaharui permusuhan mereka sejak kali terakhir bertembung pada kelayakan Piala Dunia 2006 apabila keputusan seri di Yaounde menyebabkan skuad ‘Indomitable Lions - Singa Sukar Dijinakkan’, terlepas mendapat slot beraksi pada pusingan akhir di Jerman.

“Kami memiliki peluang terbaik untuk menang dalam perlawanan ini,” kata jurulatih Cameroon, Otto Pfister yang mula mengendali sepenuhnya skuad itu mengharungi perlawanan antarabangsa sejak mengambil alih tugas itu pada November tahun lalu.

Eto’o dilihat sebagai kunci utama terhadap peluang jika meneruskan aksi cemerlang sepertimana beraksi bersama kelab Barcelona sejak pulih kecederaan pada penghujung tahun lalu.

“Pada hari terbaiknya, saya akan mengatakan dia penyerang terbaik di dunia,” kata Pfister.

Perlawanan Hari Ini - 22 Januari 2008

Sila Klik Link Di Bawah Untuk Jadual Perlawanan Bola Sepak Terkini:

Jadual EPL
Jadual Piala Dunia
Jadual Liga Juara Eropah
Jadual Liga Sepanyol
Jadual Liga Itali
Jadual Piala Malaysia
Klik Di Sini Untuk Jadual Perlawanan Terkini
Klik Di Sini Untuk Keputusan Bola Terkini

Liga Perdana Inggeris (EPL)


Liverpool cicir mata lagi - Crouch muncul penyelamat

Liverpool kini semakin tercicir daripada pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris apabila sekadar seri 1-1 menentang Aston Villa di Anfield, awal pagi tadi.

Meskipun mencipta hampir sedozen peluang di hadapan gawang lawan namun segalanya serba tidak menjadi buat anak-anak buah Rafael Benitez.

Bermain di hadapan penyokong sendiri, The Cops bermula baik apabila kerap kali mengancam kubu lawan. Hasilnya gol pertama muncul menerusi Yossi Benayoun pada minit ke-19 untuk memberi kelebihan buat tuan rumah.

Bagaimanapun pelawat bangkit di babak kedua dan berhasil mencipta dua gol dalam tempoh tiga minit menerusi jaringan Marlon Harewood dan gol sendiri pertahanan Liverpool, Fabio Eurelio pada minit ke-69 dan 72.

Ketika pelawat dilihat mampu membawa balik tiga mata penuh, penyerang tinggi lampai, Peter Crouch menyelamatkan Liverpool daripada menanggung aib di depan penyokong sendiri dengan gol menarik dua minit sebelum waktu sebenar tamat.

Meskipun hanya mampu mengutip satu mata, pengurus Liverpool, Rafael Benitez ternyata lega dengan situasi tersebut.

"Kami menguasai permainan dan mencipta banyak peluang, tapi kami gagal menghasilkan gol kedua untuk memberi tekanan kepada lawan. Kalau kami menjaring gol kedua, saya yakin kami akan menambah lebih banyak gol karena kami bermain lebih bagus (daripada mereka)," kata Benitez agak kesal seperti dilapor di laman web rasmi Liverpool (22/1/2008).

"Pada masa rehat saya nyatakan kepada para pemain bahawa jika kamu tidak upaya menambah jaringan, maka kamu akan memberikan harapan pada lawan dan itulah yang terjadi. Mereka menunggu (mendapat) tendangan bebas dan mereka menjaring gol setelah memperoleh dua bola mati," katanya.

"Kami memiliki peluang menang, tapi kami tak mampu meraihnya dan pada akhirnya anda harus senang kerana kami mungkin boleh tewas," tambahnya lagi.

Liverpool kini berada di tangga kelima liga berkongsi 40 mata dengan Aston Villa, namun kelebihan jaringan membezakan kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun dengan hanya satu mata yang mampu dikutip, Liverpool kini ketinggalan 14 mata dengan pendahulu liga, Manchester United, situasi yang dianggap sukar buat The Reds untuk merangkul kejuaraan.

Kejohanan Bola Sepak Piala Negara Afrika 2008


MOROCCO cipta kemenangan besar, Ivory Coast lepasi cabaran Nigeria, Mali catat kemenangan tipis

Jaringan Hatrik pada babak pertama menerusi pemain tengah, Soufiane Alloudi membantu Morocco mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke atas Namibia dalam perlawanan kumpulan A, awal pagi tadi.

Kemenangan besar pasukan bimbingan Henri Michel itu mengubati kekecewaan dialami skuad Morocco pada edisi terdahulu di mana mereka tersingkir seawal pusingan pertama tanpa menjaring sebarang gol!

Dua lagi gol disumbang Tarik Sektioui menerusi sepakan penalti pada minit ke-40 dan gol terakhir dijaringkan oleh Monsef Zerka pada minit ke-74.

Gol tunggal Namibia dijaringkan oleh Brian Brendell pada minit 23.

Sementara itu jaringan tunggal bintang Chelsea, Salomon Kalou membantu finalis edisi 2006 Ivory Coast mengatasi Nigeria 1-0 dalam perlawanan tumpuan kumpulan B yang berlangsung di Sekondi.

Nigeria yang turun dengan misi membalas dendam kekalahan kepada lawan sama di peringkat separuh akhir pada edisi 2006 lalu memberi saingan hebat kepada skuad 'The Elephant' itu, namun ketiadaan penyudah berkesan menyaksikan mereka terpaksa berputih mata sekali lagi.

Satu lagi perlawanan kumpulan B berkesudahan Mali berjaya menewaskan pasukan bukan pilihan, Benin juga dengan keputusan 1-0 hasil jaringan penalti bintang sensasinya, Frederic Kanoute pada minit ke-49.

Malam ini (awal pagi Rabu) dua lagi perlawanan dalam kumpulan C akan berlangsung dengan tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan dua gergasi Afrika melibatkan juara bertahan, Mesir yang akan berdepan Cameroon.

Satu lagi perlawanan membabitkan pertemuan Sudan melawan Zambia.

Mali cari ruang buat kejutan

Piala Negara Afrika 2008
Mali lwn Benin (22 Jan, 3.30 pagi Selasa)

MALI memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika menentang Benin pada perlawanan pembukaan Kumpulan B, awal pagi ini dengan misi membuktikan keupayaan status mereka sebagai pasukan bukan pilihan yang mampu mengugat serta melaung amaran kepada lawan.

Berbanding lawan dalam kumpulan membariskan negara barat daya benua Afrika itu, skuad ‘Eagles’ berpeluang cerah menamatkan saingan dalam kelompok dua pasukan terbaik untuk layak ke peringkat kalah mati.

Walaupun Pemain Terbaik Afrika 1988 dari Zambia, Kalusha Bwalya menyifatkan Mali berpeluang cerah muncul juara, keupayaan Ivory Coast dan Nigeria dalam saingan liga-mini itu menjadikan saingan bertambah sukar.

Ivory Coast, naib juara dua tahun lalu selepas kecundang kepada tuan rumah, Mesir dan pasukan kerap menduduki tangga ketiga, Nigeria berada dalam kelompok saingan bersama tuan rumah, Ghana serta juara empat kali, Cameroon yang turun selaku pilihan.

Situasi itu menyaksikan Mali, dibarisi pemain tengah berpangkalan di Sepanyol, Seydou Keita, Mahamadou Diarra dan penyerang, Frederic Kanoute perlu mencatat kemenangan ke atas Benin di Stadium Essipong bagi memecah monopoli pasukan pilihan.

Perlawanan pertama menentang Benin pada pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika dilihat bakal berlangsung sengit apabila dua negara barat Afrika itu mencatat keputusan seri ketika berada dalam satu kumpulan sama pada pusingan kelayakan sebelum ini.

Setinggi mana keazaman pemain Mali beraksi selaku pasukan pilihan, tekanan lebih menjurus kepada jurulatih kelahiran Perancis, Jean-Francois Jodar serta sebahagian besar pemainnya berpangkalan di Eropah, dengan Benin diletak selaku pasukan kedua paling lemah di Ghana selepas Namibia.

Kanoute mengelak daripada menyifatkan Benin sebagai skuad ‘tupai’ dengan menjalankan analisis mengenai ‘kumpulan maut’, apabila sepak mula diadakan hari ini, membabitkan Ivory ‘The Elephants’ dan Nigeria ‘Super Eagles’ di venue sama.

“Kami memiliki pemain bagus, tapi tidak setaraf aksi kelas dunia seperti Ivory Coast dan Nigeria yang sentiasa memberi cabaran garang dalam posisi,” kata penyerang itu yang kini beraksi bersama juara Piala Uefa dan Piala Sepanyol, Sevilla.

“Mali bangkit menutup kekurangan itu dengan membentuk satu skuad yang kemas dan saya yakin perebutan ke pusingan kalah mati masih menjadi satu kemungkinan berada dalam kumpulan paling sukar berbanding tiga kumpulan lain dalam kejohanan ini,” katanya.

Pertemuan sengit dua gergasi Afrika

Piala Negara Afrika 2008
Nigeria lwn Ivory Coast (22 Jan, 1.00 pagi Selasa)

SKUAD Ivory Coast yang mendapat gelaran ‘The Elephants’ mungkin salah satu pasukan pilihan menjulang gelaran Kejohanan Bola Sepak Piala Negara-Negara Afrika 2008 tetapi pencabar Kumpulan B, Nigeria yakin mereka memiliki kekuatan mencukupi untuk mengatasi lawannya dalam mencari gelaran ketiga takhta benua itu.

Perlawanan menemukan dua pasukan, hari ini, bakal menjadi pertembungan kelima antara dua negara Afrika barat itu dalam kejohanan terbesar bola sepak Afrika dengan Nigeria pernah menang dua kali dalam pertembungan mereka sebelum ini.

Salah satu kemenangan itu ialah sewaktu separuh akhir 1994 penuh mendebarkan di Tunisia apabila pasukan terbabit bertarung sengit mencatat keputusan seri 2-2 sebelum kebuntuan itu ditentukan melalui sepakan penalti sebelum Nigeria meraih gelaran kali kedua kejohanan itu.

Bagaimanapun, ketika perlawanan di Mesir dua tahun lalu, skuad Ivory menang 1-0 hasil jaringan Didier Drogba untuk mara ke final.

Keadaan itu kini menjadi pencetus ‘nada’ yang digunakan menjelang perlawanan itu.

“Semangat kami berada pada tahap tertinggi untuk menang di Ghana dan kami hanya memerlukan sedikit nasib untuk melakukannya” kata Nwankwo Kanu, pemain tertua dan paling berpengalaman dalam skuad Nigeria.

Pemain tengah berpangkalan di Bulgaria, Richard Eromoigbe berkata, dia lega apabila pasukan Nigeria atau ‘Super Eagles’ itu diletakkan selaku pasukan bukan pilihan.

“Kami gembira dengan status pasukan bukan pilihan. Ia bukan sesuatu membimbangkan kerana semua kami tahu kami mampu melakukannya. Ia bagus kerana tekanan kali ini beralih kepada Ivory Coast untuk menang,” kata Eromoigbe.

“Menang atau kalah, kami akan layak ke suku akhir,” kata pegawai Nigeria, Amos Adamu.

“Kami memberikan sokongan penuh kepada pasukan dan mengharapkan mereka untuk membawa pulang piala kejohanan itu.

“Kejohanan ini sebahagian persiapan untuk menjuarai Piala Dunia 2010, dan kami berharap untuk meneruskan kemaraan dan sekurang-kurangnya mara hingga separuh akhir.

Bola Sepak Serie A Itali

AC Milan menang tipis, Inter kekal rentak kemenangan

DUA kelab gergasi sejiran, AC Milan dan Inter Milan melakar kemenangan penuh dramatik ke atas lawan masing-masing dalam saingan Liga Serie A Itali awal pagi tadi.

Persamaan bagi kedua-dua pasukan ialah masing-masing memerlukan gol di minit terakhir perlawanan untuk memastikan tiga mata mutlak.

Di San Siro, Inter bermula dengan langkah kanan apabila pemain Kebangsaan Argentina, Esteban Cambiasso menggegar gawang pelawat pada minit ke-30.

Parma berjaya bangkit dengan dua gol menerusi Cigarini dan Gasbarroni di minit ke-40 dan 69.

Hanya tinggal dua minit masa permainan sebenar akan ditamatkan, segalanya berubah apabila pertahanan Parma, Fernando Couto diperintah keluar padang pada minit ke-87.

Menambah derita Parma, tuan rumah turut dihadiah sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Zlatan Ibrahimovic.

Beliau sekali lagi menjadi wira apabila menyumbat gol kedua peribadi pada minit terakhir perlawannan.

Sementara itu Juara Eropah, AC Milan nyaris berkongsi mata dengan Udinese jika tidak kerana jaringan Alberto Gillardino pada minit ke-90.

Monday, January 21, 2008

Perlawanan Pembukaan Kejohanan Bola Sepak Negara-Negara Afrika 2008


Ghana nyaris terima aib di halaman sendiri

TUAN rumah Kejohanan Bola Sepak Negara-Negara Afrika 2008, Ghana melepasi ujian awal dengan kemenangan tipis mengatasi negara kerdil, Guinea menerusi gol pada waktu kecederaan oleh Sulley Muntari di Accra.

Bekas juara empat kali kejohanan itu yang dilatih bekas jurulatih Malaysia dari Perancis, Claude Le Roy membuka jaringan menerusi sepakan penalti pemain Portsmouth, Asamoah Gyan pada minit ke-54.

Guinea bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Oumar Kalabane pada minit ke-64.

Ghana yang dilihat bakal berkongsi mata dengan pelawat itu bagaimanapun menggembirakan ribuan penyokongnya apabila Sulley Muntari memecah kebuntuan di minit=minit akhir perlawanan untuk memastikan tiga mata penuh buat tuan rumah.

Everton lonjak ke tangga keempat liga


Manchester City pintas Liverpool

DUA gol pantas di hujung babak pertama sudah cukup buat Everton mengatasi Wigan Athletic 2-1 sekaligus melonjak naik ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) memintas Liverpool yang turun dua anak tangga selepas satu lagi pasukan, Manchester City berkongsi mata dengan West Ham United.

Pasukan bimbingan Rafael Benitez itu bagaimanapun boleh merampas kembali kedudukan tersebut seandainya mereka dapat menewaskan Aston Villa di tempat sendiri, awal pagi esok.

Jaringan dalam tempoh tiga minit di penghujung babak pertama melalui Andy Johnson dan Joleon Lescott memberikan kelebihan selesa kepada Everton sebelum jaringan sendiri menerusi pemain pertahanan, Phil Jagielka membolehkan Wigan merapat kedudukan pada separuh masa kedua.

Sementara itu, Manchester City mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri apabila sekadar seri 1-1 menentang West Ham United.

West Ham bagaimanapun mendahului melalui sepakan akrobatik Carlton Cole seawal minit ke-8 tetapi Darius Vassel menyamakan kedudukan lapan minit kemudian dan kedudukan tersebut kekal hingga wisel penamat.

Satu mata berharga itu sudah cukup buat anak buah Erickson naik ke tangga kelima liga menolak Liverpool ke tempat keenam.

Everton kini mengutip 42 mata, tiga mengatasi Liverpool, manakala City mengumpul 40 mata melalui 23 perlawanan. Bagaimanapun Liverpool mempunyai baki dua perlawanan dalam tangan.

Piala Negara Afrika 2008 janjikan saingan sengit

Kehadiran bintang-bintang ternama dari kelab Eropah tambah kemeriahan kejohanan

SIAPA tidak kenal Samuel Eto'o, Didier Drogba dan Michael Essien bahkan bintang sensasi terkini Emmanuel Adebayor.

Dengan kehadiran barisan pemain handalan tersebut, Piala Negara-Negara Afrika yang bermula awal pagi tadi bakal menjadi kejohanan yang paling sengit dalam sejarahnya.

Empat pemain berkenaan mendahului senarai pemain antarabangsa yang dikenali ramai untuk menambah saingan sengit yang bakal tercetus dalam pusingan akhir yang melibatkan 16 pasukan di Ghana.

Pasukan tuan rumah akan memulakan kempen tahun ini dengan menentang Guinea di Accra.

Kehadiran mereka akan turut membuatkan persaingan lebih tegang sejak kejohanan itu diadakan pada 1957 dan kini menikmati liputan televisyen yang luas sehingga ke 100 negara di seluruh dunia.

Ghana yang telah membina empat stadium baru untuk menganjurkan kejohanan itu meletakkan harapan tinggi untuk menjulang mahkota kejohanan.

Bagaimanapun, mereka akan menghadapi tentangan daripada juara bertahan, Mesir, Cameroon, Nigeria, Ivory Coast dan Senegal.

Pemain midfield Chelsea, Essien, kini memikul tugas yang lebih berat di bahunya bagi juara empat kali itu yang kini kehilangan kapten pasukannya, Stephen Appiah, kerana cedera.

Tekanan menggunung juga mencengkam skuad yang baru tiba di Accra selepas mengadakan latihan pusat 10 hari di Abu Dhabi berdasarkan sambutan hangat daripada para penyokong di lapangan terbang kelmarin.

Drogba pula mengemudi jentera serangan Ivory, yang dijangka mendapat manfaat daripada sokongan penyokongnya yang berada di sempadan.

Eto'o yang baru pulih dari kecederaan akan mengetuai cabaran Cameroon dan dalam masa yang sama memburu but emas rekod penjaring terbanyak Piala Negara-Negara Afrika.

Eto'o yang berjaya menjaringkan lima gol dalam kejohanan di Mesir dua tahun lalu telah menyumbat 11 gol sejak kali pertama tampil dalam pusingan akhir 2006 dan masih dipisahkan tiga gol daripada jumlah yang dicatatkan oleh Laurent Pokou pada 38 tahun lalu.

Nigeria dan Senegal juga disifatkan memiliki barisan pemain yang kuat untuk menjulang trofi kejuaraan dalam pertandingan akhir pada 10 Februari ini.

Namun, beberapa pasukan berjaya melangkah secara mengejut ke pusingan akhir seperti Sudan, tuan rumah kejohanan 1957 bersama Benin dan Namibia, yang mara untuk kali kedua dalam final ini.

Semua pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan untuk bermain di Accra, Kumasi, Tamale dan Sekondi.

Sunday, January 20, 2008

Eto’o, Drogba intai Raja Bola

Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika

DAKAR: Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika di Ghana yang bermula esok bakal menyaksikan pemain bertaraf dunia dari benua itu merebut kejuaraan paling berprestij.

Dua nama besar yang mengetuai cabaran di kejohanan kali ke-26 ini sudah pasti bintang Cameroon yang beraksi untuk Barcelona, Samuel Eto’o dan penyerang berbisa Chelsea dari Ivory Coast, Didier Drogba.

Kejohanan kali ini disifatkan sebagai pentas Eto’o dan Drogba beradu skil untuk merebut gelaran ‘Raja Bola Benua Afrika’.

Ia bertepatan dengan puncak prestasi kedua-duanya apabila berjaya mengangkat kelab masing-masing menduduki kelompok atas saingan di Liga Perdana England dan Liga Sepanyol.

Jika tidak, masakan kedua-dua kelab mereka ‘pening kepala’ kerana terpaksa melepaskan Eto’o dan Drogba untuk menyertai kejohanan kali ini.

Apa pun, Eto’o dan Drogba tidak bersaing dua penjuru, berapa pemain terkenal dalam liga utama Eropah turut ‘menyengat’ seperti dua pemain dari Mali, Mahamadou Diarra (Barcelona) dan Frederick Kanoute (Seville), pemain Nigeria Obafemi Martins (New Castle) dan Nwankwo Kanu- (Portsmouth), Yaya Toure (Barcelona) bintang tuan rumah, Micheel Essien (Chelsea) dan ramai lagi.

Kepantasan Eto’o digeruni

Dikenali sebagai penyerang yang pantas dan tendangan kencang yang kerap menggegar jaring, Eto’o merupakan tulang belakang Barcelona selain gandingannya dengan Ronaldinho.

Dihormati sebagai penyerang semula jadi terbaik di dunia, Eto’o membuktikan mana-mana kelab yang mendapatkan khidmatnya pasti akan bergelar juara.

Ketika bersama Real Mallorca, Eto’o muncul penjaring terbanyak dalam sejarah kelab itu dengan 54 gol.

Keupayaan menjaring dan skil kawalan bola menakjubkan, memikat kelab-kelab bola sepak gergasi Eropah.

Jadi tidak hairanlah ketika Eto’o ke Barcelona pada 2004, kelab itu sanggup membayar sehingga RM116.3 juta kepada Real Madrid.

Harga tinggi itu berbaloi apabila Eto’o yang membuat kemunculan bersama Barcelona pada Ogos 2004 pantas meletakkan dirinya dalam kesebelasan utama.

Pada 2006 Eto’o dianugerah gelaran “pichichi” atau penjaring terbanyak liga iaitu 50 gol pada musim 2005 dan 2006.

Rekod untuk pasukan kebangsaannya juga cemerlang apabila mula menyarung jersi Cameroon pada usia 15 tahun.

Dia merupakan pemain termuda pada kejohanan Piala Dunia 1998 iaitu 17 tahun tiga bulan.

Dia dipilih sebagai Pemain Terbaik Afrika 2003, 2004 dan 2005, pemain pertama memenangi anugerah tersebut sebanyak tiga kali.

Drogba julang Chelsea

Kehadiran Drogba menjulang kelab Chelsea dalam saingan Liga Perdana England dengan mencatat musim gemilang pada 2006-2007.

Pemain Terbaik Afrika 2006 itu menjaringkan 33 gol, menjadikan dia penjaring terbanyak Chelsea selepas Kerry Dixon pada musim 1984/85.

Dia yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Perancis menyertai Chelsea dari Marseille pada 2004 dengan bayaran perpindahan sebanyak RM116 juta.

Apa yang menarik tentang pemain yang dilahirkan di Abidjan pada 11 March 1978, dia menghabiskan zaman kanak-kanak di negara kelahirannya, Ivory Coast dan dibesarkan di Perancis.

Dikenali sebagai ‘Tito’ di kalangan rakan-rakan, keluarganya berhijrah ke Perancis ketika dia berusia lima tahun dan diperkenalkan kepada dunia bola sepak oleh bapa saudaranya, Michel Goba, seorang pemain profesional.

Drogba membantu negaranya layak pertama kali ke Piala Dunia 2006 di Jerman.

Kemunculan sulung Drogba untuk kebangsaan ialah pada September 2002 menentang Afrika Selatan.

Manchester United kekal di persada liga

Liga Perdana Inggeris

DUA jaringan menerusi Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo pada lewat permainan membantu Manchester United menewaskan Reading 2-0 untuk kekal di puncak Liga Perdana England, malam tadi.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Rooney bijak menyambut hantaran Carlos Tevez dengan sentuhan bertaraf dunia untuk gol pertama pada minit ke-76.

Gol Ronaldo pula menjelma menerusi satu serangan balas pantas dan gerakan solonya pada masa kecederaan.

Turut mencatat kemenangan adalah dua pencabar terdekat United iaitu Arsenal dan Chelsea.

Arsenal menang 3-0 ke atas Fulham manakala Chelsea menang 1-0 ke atas Birmingham.

Dua daripada tiga gol Arsenal disumbang Emmanuel Adebayor di babak pertama manakala satu gol lagi oleh Tomas Rosicky pada lewat permainan.

Chelsea pula memperoleh gol kemenangan menerusi tandukan Claudio Pizzaro pada minit ke-79.

Dengan kemenangan itu, United mengumpul sama mata, 54 dan jumlah jaringan sama, 46, dengan Arsenal tetapi dipisahkan jumlah gol dibolosi.

Chelsea pula mengekori rapat di tangga ketiga liga dengan 50 mata. Liverpool yang hanya akan beraksi esok di tangga keempat dengan 39 mata.

Tuesday, January 15, 2008

Liverpool perlu menang malam ini

Peluang Benitez kembalikan keyakinan pemilik kelab

SEGALA-GALANYA tampak kurang menjadi buat Liverpool akhir-akhir ini. Mahkota Liga Perdana England semakin jauh daripada jangkauan dan Piala Liga pula sudah terlepas daripada buruan.

Kini Liverpool mesti memastikan perjuangannya dalam Piala FA tidak terbantut apabila berdepan dengan Luton Town dalam perlawanan ulangan pusingan ketiga hari ini (3.45 pagi Rabu waktu Malaysia).

Berdasarkan pengalaman dan barisan pemain, Liverpool seharusnya menang mudah - lebih-lebih lagi bermain di Anfield.

Tetapi kegigihan kelab Liga Bahagian Bawah yang dicengkam masalah kewangan menyekat Liverpool 1-1 di Kenilworth Road dalam pertemuan pertama cukup menjadi peringatan kepada anak buah Rafael Benitez.

Bagi Luton, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Malah, apa juga keputusannya mereka tetap puas hati - sekurang-kurangnya meraih ganjaran kewangan jika gagal mencatatkan kejutan.

Benitez, yang ketika ini diselubungi pelbagai tekanan, sedar tentang ancaman pasukan pimpinan Kevin Blackwell ini dan beliau dilaporkan akan menurunkan kesebelasan terkuatnya untuk mencerahkan peluang ke pusingan keempat.

Penyerang Sepanyol, Fernando Torres, yang menjaringkan golnya yang ke-17 musim ini ketika seri 1-1 dengan Middlesbrough dalam Liga Perdana hujung minggu lalu, pasti akan dikekalkan untuk memastikan ketajaman jentera serangan Liverpool.

Tetapi mungkinkah penyerang England, Peter Crouch, akan digandingkan dengan Torres? Atau sama ada Dirk Kuyt dan Andriy Voronin menjadi pilihan?

Crouch merupakan penjaring gol ketika seri 1-1 di Luton dan Benitez mungkin terdorong untuk menurunkannya, apatah lagi Kuyt gagal menjaringkan gol sejak Oktober lalu, sementara Voronin hanya menyumbatkan empat gol sejak tiba di Anfield sebelum bermula musim ini.

Bagaimanapun, Liverpool tidak boleh terlalu bergantung kepada Torres untuk menyumbangkan gol dan ini diakui oleh pemain pertahanan veteran, Samy Hyppia.

Sekali pun beliau gembira dengan prestasi Torres, bintang Finland itu menegaskan para pemain lain juga perlu memainkan peranan mereka.

"Kita tidak boleh bergantung kepada Torres untuk menjaringkan semua gol," kata Hyppia. "Pemain lain juga perlu dapat bertindak lebih tajam bagi menyumbatkan gol," katanya.

"Kami mempunyai beberapa peluang jaringan dalam perlawanan dengan Middlesbrough tetapi gagal memanfaatkan, termasuk saya sendiri selepas menerima bola umpanan tendangan sudut," tambah beliau.

Hyypia, yang memburu pingat Piala FA ketiganya selepas membantu Liverpool menjadi juara pada 2001 dan 2006, menggesa rakan-rakan sepasukan supaya jangan membenarkan suasana di luar padang yang melibatkan Benitez menjejas perhatian mereka menghadapi perlawanan ini.

Dengan 12 mata di belakang pendahulu liga, Manchester United, Benitez perlukan kemenangan memberangsangkan ke atas Luton untuk mengembalikan keyakinan pemilik Liverpool, George Gillett dan Tom Hicks, yang dilaporkan sedang mencari pengganti jurulatih dari Sepanyol ini.

Dengan keputusan Juergen Klinsmann memilih Bayern Munich, kedudukan Benitez nampaknya selamat - sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.

Tetapi jika beliau gagal memperoleh keputusan yang diharapkan, Benitez mungkin akan menghitung hari mengenai kedudukannya di Anfield.

Jadual Perlawanan malam ini - 15 Jan 2008

Sila Klik Link Di Bawah Untuk Jadual Perlawanan Bola Sepak Terkini:

Jadual EPL
Jadual Piala Dunia
Jadual Liga Juara Eropah
Jadual Liga Sepanyol
Jadual Liga Itali
Jadual Piala Malaysia
Klik Di Sini Untuk Jadual Perlawanan Terkini
Klik Di Sini Untuk Keputusan Bola Terkini

Monday, January 14, 2008

Malam cemerlang buat 'trio' Brazil


Ronaldo, Kaka, Pato robek kubu lawan


MILAN: Juara Kelab Dunia dan Eropah, AC Milan akhirnya mencatat kemenangan pertama liga di tempat sendiri musim ini dengan membelasah Napoli 5-2 di San Siro.

Perlawanan tersebut juga merupakan malam yang akan diingati oleh tiga serangkai dari Brazil, pemain terbaik dunia, Kaka, pemenang tiga kali, Ronaldo serta pemain remaja yang membuat kemunculan pertama untuk AC Milan, Alexandre Pato. Satu lagi gol sumbangan pemain veteran, Clarence Seedorf.

Ronaldo yang hanya bermain dua perlawanan untuk Milan musim ini akibat masalah kecederaan meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-15. Bagaimanapun pelawat menyamakan kedudukan 13 minit kemudian sebelum Seedorf kembali memastikan tuan rumah di depan tiga minit kemudian.

Bagaimanapun kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila kesilapan pemain pertahanan, Kakha Kaladze membuka ruang buat pemain lawan menyamakan kembali kedudukan menerusi Maurizio Domizzi. Kedudukan 2-2 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Permainan separuh masa kedua ternyata milik pasukan tuan rumah sepenuhnya dengan tiga serangkai dari Brazil bergilir menyumbat tiga gol untuk memastikan tiga mata berharga buat Milan yang ketika ini ketinggalan 25 mata di belakang pendahulu, Inter Milan yang turut mengutip tiga mata penuh hasil kemenangan 3-2 ke atas pasukan bawahan Siena.

Bagaimanapun AC Milan masih mempunyai tiga perlawanan dalam tangan akibat terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang ketat termasuk menyertai Kejohanan Kelab Dunia FIFA.

Jika memenangi semua baki tiga perlawanan tersebut Milan mampu mengurangkan jurang mata dengan Inter kepada 16 mata.

Real Madrid kekal di persada liga

Dua gol Nistelrooy pastikan Real lebar jurang mata

MADRID: Dua gol lewat perlawanan oleh penyerang kelahiran Belanda, Ruud van Nistelrooy memastikan Pendahulu Liga Primera Sepanyol, Real Madrid kekal mengungguli carta liga apabila menewaskan pasukan tercorot, Levante 2-0.

Dengan Barcelona memenangi perlawanan sehari sebelumnya, membenam Murcia 4-0, Real perlu menewaskan lawan mereka untuk terus selesa memimpin carta liga.
dengan kelebihan tujuh mata.

Walaupun berada di kedudukan terbawah liga dengan hanya mengumpul lapan mata, Levante ternyata bukan lawan yang mudah untuk dijinakkan barisan bintang Real Madrid.

Pasukan tuan rumah yang hanya menjaring satu gol dan memungut hanya satu mata daripada lima perlawanan terakhir, Levante berjaya menunjukkan permainan berkualiti dan berupaya mempertahankan kubu mereka daripada dibolosi sepanjang separuh masa pertama.

Bagaimanapun segalanya berubah buat tuan rumah pada 15 minit terakhir perlawanan apabila hantaran lintang pemain gantian, Gonzalo Higuain terkena tangan Jose Serrano untuk pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat.

Nistelrooy yang mengambil sepakan tenang untuk memecah kebuntuan jaringan buat Real.

Bekas penyerang Manchester United itu sekali lagi tenang mengawal bola umpanan Guti untuk jaringan kedua peribadi dan pasukannya pada malan tersebut.

Sementara itu, Athletico Madrid merampas kedudukan tempat ketiga dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Valencia hasil jaringan Sergio Aguero dibantu kekalahan mengejut Espanyol di tangan Almeria dengan keputusan yang sama.

Arsenal hilang mata berharga

LONDON: Arsene Wenger jarang mengecam pasukannya secara terbuka tetapi semalam beliau seperti terpaksa menyuarakan kehampaannya.

Gara-gara anak buahnya hilang penumpuan, Arsenal seri 1-1 dengan Birmingham dan kini berada di belakang Manchester United dalam pertandingan Liga Perdana England.

Arsenal kelihatan akan memungut mata maksimun setelah meluru 1-0 melalui tendangan penalti Emmanuel Adebayor tetapi Birmingham menyamakan kedudukan melalui tandukan Garry O'Connor pada minit ke-48.

Ini adalah kali kedua musim ini, Arsenal kehilangan mata di Stadium Emirates dan di akhir pertarungan, Wenger tidak dapat menyembunyikan riak kehampaannya.

'Ternyata, saya sungguh kecewa. Sedang penonton memberikan sokongan kami, para pemain pula yang hilang tumpuan dalam permainan ketika menghadapi set-piece.

'Saya fikir apabila meluru ke depan, kami tidak akan menghadapi masalah untuk memenangi perlawanan ini. Malangnya, kami jarang merintis peluang jaringan.

'Kami juga kurang tangkas dalam memanfaatkan peluang. Selain itu, Birmingham telah bertahan dengan baik,' jelas Wenger.

Menurutnya lagi, setiap perlawanan adalah penting.

'Tetapi sayangnya, kami telah kehilangan dua mata yang sepatutnya tidak berlaku. Namun begitu, saya yakin para pemain akan kembali beraksi cemerlang dalam perlawanan akan datang kerana kecewa dengan keputusan ini.

'Yang jelas, kami tidak memberikan penumpuan sepenuhnya dalam perlawanan,' tambah Wenger selanjutnya.

Pengurus pasukan Birmingham, Alex McLeish, berkata keputusan perlawanan itu sungguh melegakan kerana pasukannya telah dimalukan Huddersfield dalam Piala FA England seminggu yang lalu.

'Kami menentang sebuah pasukan yang istimewa dan kesungguhan para pemain yang telah membantu kami mencatatkan keputusan ini.

'Satu perkara yang kami harus baiki ialah memungut mata dalam perlawanan yang kami mempunyai peluang untuk menang. Justeru, kami harus mendapatkan pemain yang berkualiti dalam pasukan kami bulan ini,' jelas bekas pengurus pasukan Scotland itu.


Birmingham mendapat ganjaran atas persembahan bersemangat apabila penyerang Scotland, Garry O’Connor menanduk masuk gol penyamaan, tiga minit selepas rehat.

Kejutan itu mendorong bos Gunners, Arsene Wenger menuduh pemainnya bersikap selesa.

“Kami kehilangan dua mata yang tidak sepatutnya berlaku. Saya berasa kami terperangkap dengan sangkaan bahawa ia akan mudah dan hilang tumpuan,” kata warga Perancis itu.

Chelsea meletakkan penyerang baru bernilai 15 juta pound (RM95.63 juta) di bangku simpanan hampir setengah jam tetapi masih terlalu bagus buat Tottenham di Stamford Bridge.

Juliano Belletti membawa barisan Avram Grant mendahului selepas 19 minit dan kecemerlangan Shaun Wright-Phillips mengakhiri kesangsian mengenai keputusan perlawanan, 10 minit terakhir.

Anelka yang diperoleh minggu ini dari Bolton, hampir mencatat penampilan sulungnya dengan satu gol tetapi rembatannya pada minit terakhir melantun daripada bawah palang gol.

Joleon Lescott menebus kesilapan gol sendiri dalam separuh akhir Piala Liga di Chelsea, pertengahan minggu lalu dengan menjaringkan gol tunggal untuk kemenangan Everton ke atas Manchester City.

Ia merupakan satu kekalahan yang menyaksikan City terjunam dari tempat keempat ke tujuh dalam carta itu.

Liverpool melonjak ke tangga keempat dengan mata mereka di Middlesbrough tetapi ia tidak memuaskan bosnya yang tertekan, Rafael Benitez selepas pasukannya terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan Arsenal.

Boro mendahului pertengahan babak pertama menerusi George Boateng yang merembat dari jarak dekat selepas umpanan penyerang Turki, Tuncay Sanli.

Satu rembatan menarik Fernando Torres - golnya yang ke-17 musim ini - membawa Liverpool menyamakan kedudukan tetapi di sebalik tekanan lewat, mereka masih gagal meraih kemenangan.

Aston Villa mengekalkan pemburuan tempat di Eropah musim depan dengan kemenangan selesa 3-1 ke atas Reading yang menaikkan barisan Martin O’Neill ke tempat keenam.